Translate

Wednesday, May 28, 2008

PERPADUAN AGENDA UTAMA NEGARA,PEMANGKIN KEMAJUAN TAMADUN BANGSA

SAYA bersama keluarga kini berada di Perth, Australia, bercuti sambil melawat anak-anak yang sedang menuntut di sebuah universiti di sini.

Inilah antara amalan saya setiap kali musim cuti sekolah, iaitu membawa keluarga melancong sama ada dalam atau luar negara.

Bagi saya, cara ini bukan saja dapat terus memperkukuhkan institusi kekeluargaan, tetapi juga membolehkan kita melihat tempat-tempat menarik, sambil anak-anak merehatkan otak daripada kesibukan dengan buku-buku pelajaran.

Dalam percutian sebegini, kita juga dapat melihat gelagat dan sikap manusia di tempat-tempat yang kita kunjungi. Memang pun menjadi minat saya memerhati kehidupan masyarakat.

Begitu pun, dalam percutian seperti ini, saya tetap mengikuti perkembangan di negara sendiri dengan melayari internet. Jadi, tidaklah tertinggal maklumat mengenai apa yang berlaku di tempat sendiri biarpun berada jauh di luar negara.

Inilah kecanggihan dunia tanpa sempadan, dengan sentuhan jari saja, kita dapat “kembali” ke tanah air.

Sehari selepas tiba di sini, saya melayari laman web Bernama untuk mengetahui perkembangan di tanah air. Dan saya tertarik dengan satu berita bertajuk “Jadikan perpaduan agenda utama negara” yang memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan Bulan Perpaduan peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Laporan itu menyebut Najib mahu setiap rakyat memperkasakan perpaduan sebagai agenda utama negara kerana ia merupakan asas penting dalam menentukan kejayaan negara.Menurutnya, rakyat bukan tidak boleh mempunyai perbezaan pendapat tetapi hendaklah menyuarakannya secara berhemah.

Secara peribadi, saya juga sependapat pentingnya perpaduan itu dipelihara dan terus diperkukuhkan kerana ia menjadi prasyarat untuk kemajuan sesebuah tamadun bangsa.

Secara perbandingan, tahap perpaduan rakyat majmuk di Sabah cukup tinggi biarpun berlainan fahaman dan latarbelakang. Dengan memiliki lebih 32 kaum dan sub-etnik, negeri Sabah begitu padu dan intim perpaduan mereka. Mereka bersuara dalam satu nada, bergerak dalam satu matlamat dan melangkah dalam satu destinasi.

Bukan rahsia lagi realiti di Sabah di mana masyarakatnya boleh bercampur gaul dalam suasana muhibah. Misalnya di kedai-kedai makan di mana-mana bandar di Sabah, sebuah kedai itu biasanya dikongsi bersama oleh peniaga Islam yang menjual soto dan rojak dengan peniaga Cina pula menjual minuman atau masakannya sendiri, justeru pelanggan mereka juga tentulah dari pelbagai kaum.

Begitu juga dalam sambutan perayaan, ternasuk Pesta Kaamatan (Menuai) yang kemuncaknya diraikan pada 30 dan 31 Mei ini, secara tradisi, pastinya dihadiri ribuan rakyat daripada pelbagai latarbelakang dan kepercayaan.

Dengan tema sambutan Pesta Kaamatan kali ini, iaitu Keamanan Menerusi Kaamatan, sudah pasti ia akan menjadi satu lagi wadah atau jambatan memperkukuhkan jalinan perpaduan antara rakyat yang berbilang kepercayaan, fahaman dan ideologi.

Perpaduan dan muafakat rakyat Sabah menjadi model terbaik kerana mereka sentiasa komited dalam sesuatu perkara, malah sedia bertindak senada dalam banyak hal.

No comments: