Translate

Thursday, June 26, 2008

KHABAR ANGIN CETUS SUASANA PANIK


DUA hari lalu, stesen-stesen minyak di Sabah mengalami kesesakan paling teruk. Kenderaan pelbagai jenis, kecil dan besar, berbaris panjang mahu mengisi minyak.

Semuanya gara-gara tersebarnya khabar angin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan kononnya pengusaha stesen minyak akan melancarkan mogok dan menutup operasi.

SMS dikatakan mula tersebar pada tengah hari dan menjelang petang, semua stesen minyak “diserbu” orang ramai.
Paling teruk mengalami kesesakan ialah di bandar Kota Kinabalu apabila kenderaan-kenderaan yang berbaris panjang ke stesen minyak tidak dapat bergerak, apatah lagi pada waktu itu kakitangan kerajaan dan swasta mula pulang selepas waktu kerja.

Inilah padah yang berlaku jika kita tidak “clarify” kesahihan sesuatu cerita yang dihantar, terutama menerusi SMS dan membuat kesimpulan sendiri.
Barangkali kerana terlalu percaya dengan khabar yang diterima, semua orang bertindak sendiri sehingga mencetuskan suasana panik.

Kejadian stesen minyak diserbu ini adalah yang kedua berlaku di Sabah selepas insiden pertama pada 4 Julai lalu, apabila pada waktu itu kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel.
Pada ketika itu juga, orang ramai yang mendapat berita itu daripada media elektronik (radio dan televisyen) menyebarkan ceritanya kepada rakan dan saudara mara, yang kemudian mengambil keputusan “menyerbu” stesen minyak pada malam itu juga sebelum harga baru dikuatkuasakan pada keesokan harinya.

Ada dua pengajaran dipelajari daripada insiden ini.

Pertama, orang ramai perlu mengesahkan kesahihan cerita yang diterima terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan. Caranya barangkali dengan menghubungi pihak berwajib.

Kedua, pihak berwajib pula perlu mengambil tindakan segera memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai situasi sebenar. Dalam hal ini, media massa seperti radio dan televisyen boleh dimanfaatkan sebagai saluran memberi penerangan.

Penjelasan segera perlu diambil untuk meredakan kerisauan dan suasana panik kerana jika dibiar berterusan, ia boleh menyusahkan banyak pihak.

Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bahawa polis akan mengambil tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap dalang penyebar SMS konon pengusaha stesen minyak, diharap menjadi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mencetuskan suasana panik itu.

Tindakan tegas sedemikian wajar diambil kerana perbuatan menyebarkan fitnah seumpamanya boleh dianggap sebagai mensabotaj ekonomi negara.

No comments: