Translate

Friday, June 13, 2008

MELIHAT PERALIHAN KUASA DARI SUDUT MIKRO POLITIK MUTAKHIR

HARI ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa perbincangan telah diadakan antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengenai masa yang sesuai untuk mengadakan peralihan kuasa.


Kedua-dua mereka sudah sepakat. Di London pula, Najib dilapor menegaskan bahawa beliau adalah seorang ahli parti yang setia dan tidak akan memusnahkan parti.


Kenyataan kedua-dua pemimpin ini bertujuan untuk menenangkan keadaan politik semasa menjelang pemilihan kepimpinan parti di semua peringkat yang bermula Julai ini.


Bila berbicara soal peralihan kuasa dalam konteks ini, ia bermaksud peralihan pemegang jawatan Presiden UMNO kerana secara tradisinya Presiden UMNO dilantik sebagai Pengerusi BN dan seterusnya sebagai Perdana Menteri dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dibentuk oleh Barisan Nasional.


Persoalan yang dibangkitkan ialah bila peralihan ini akan berlaku? Adakah selepas pemilihan pucuk pimpinan parti pada bulan Disember atau sebelum pemilihan? Jawatan Presiden mengikut Perlembagaan parti adalah jawatan yang dipertandingkan dan ahli-ahli yang menbuat pemilihan melalui proses proses tertentu seperti pencalonan yang perlu memenuhi syarat.


Jika melalui mesyuarat perwakilan bahagian pada bulan Oktober, hanya Pak Lah saja yang layak mendapat kuota mencukupi bagi pencalonan untuk jawatan Presiden. Ini bererti Najib akan hanya menjadi Pemangku Presiden bila Pak Lah berundur nanti dalam proses peralihan kuasa, sekira Najib tidak ditentang untuk jawatan Timbalan Presiden.


Yang akan menjadi tandatanya kelak ialah siapakah yang akan menjadi bakal Timbalan Perdana Menteri. Sudah tentu di antara Naib-naib Presiden parti yang bakal dipilih oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung Disember ini. Senario seperti ini akan menghangatkan lagi politik dalaman UMNO.


Hari ini pun kehangatan dan cakap-cakap mengenai siapa lawan siapa, siapa "running mate" siapa dan "siapa di belakang siapa" dalam barisan kepimpinan UMNO, baik pada peringkat induk mahupun sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, sudah mulai dirasakan.


Memangnya UMNO tidak pernah sepi daripada rentetan peristiwa sebagaimana dihadapi hari ini. Sejak diasaskan pada 11 Mei 1946, UMNO sudah menghadapi banyak pengalaman di sepanjang laluan perjuangannya sebagai sebuah parti politik Melayu terbesar.


Peralihan kepimpinan dalam UMNO sudah menjadi perkara lumrah. Ia kini sudah melepasi beberapa fasa kepimpinan dengan setiapnya mempunyai cerita dan kisah tersendiri.


Dalam proses peralihan yang disebutkan oleh Pak Lah ini, ada beranggapan bahawa ia ada kaitan dengan prestasi Barisan Nasional, khususnya UMNO dalam pilihan raya umum yang lepas.


Ini berikutan banyak suara lantang kedengaran berhubung keputusan tidak memberangsangkan BN, sehingga tercetusnya desakan supaya Pak Lah mengundur diri dan menyerahkan kepimpinan parti dan kerajaan kepada penggantinya.


Apapun langkah dan keputusan yang diambil, Pak Lah sudah menyatakan sebelum ini bahawa proses peralihan itu akan dijalankan secara tertib kerana beliau mahu menyerahkan parti kepada penggantinya dalam keadaan baik.


Pada awal April lalu, Pak Lah dilaporkan bahawa beliau akan tetap mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember ini dan hanya selepas pemilihan itu, barulah hal peralihan kuasa dibincangkan.


Selepas kenyataan itu, ada yang mahu supaya peralihan kuasa dipercepatkan menerusi cara yang terbaik kerana senario dalam negara dan parti kini berlainan berbanding ketika peralihan kuasa sebelum ini.


Bagi mereka, proses peralihan kuasa pada 2003 boleh memakan masa selama setahun kerana UMNO pada ketika itu berada dalam keadaan yang kukuh dan Barisan Nasional (BN) tidak tewas sehingga lima negeri kepada pembangkang.


Penganalisis berpendapat keadaan sekarang amat berbeza dan oleh sebab itu proses peralihan kuasa perlu dilakukan secepat mungkin. Dilaporkan juga bahawa maklum balas yang diterimanya daripada ahli UMNO di peringkat akar umbi menunjukkan mereka mahukan peralihan kuasa dilakukan secepat mungkin.


Kenyataan terbaru Pak Lah mengenai peralihan kuasa itu hendaklah dilihat dari sudut mikro politik mutakhir ini, kerana Perdana Menteri sebelum ini sudah juga berjanji untuk memulihkan parti terlebih dahulu.


Melepaskan jawatan begitu saja hanya semata-mata untuk memenuhi tuntutan serta desakan yang kedengaran dalam parti, barangkali tidak akan menyeleseikan sengketa.Mengundur diri tanpa mengambil usaha memulihkan parti juga nantinya akan mencetuskan kecaman dan kritikan mengenai ketidakbertanggungjawapan pimpinan terhadap parti dan ahlinya.

Yang penting, Pak Lah telah membuat komitmen berhubung pelan peralihan kuasa kepada timbalannya yang pasti menjanjikan bahawa proses pemulihan parti akan berjalan lancar seperti mana tradisi UMNO selama ini.

No comments: