Translate

Wednesday, June 11, 2008

PASAR TANAH ABANG MENJADI MAGNET BISNIS KOTA JAKARTA

"BELANJA pak…harganya bisa kurang. Harga spesial untuk bapak, harga tetangga," seorang jurujual sebuah kedai di Pasar Tanah Abang memujuk salah seorang daripada rombongan yang menyertai saya ke kota Jakarta baru-baru ini.

"Belanja pak" bermaksud mempersilakan kami membeli-belah."Harganya bisa kurang" pula menyatakan kesediaan memberi diskaun, sementara "harga spesial, harga tetangga" bermaksud harga istimewa untuk orang Malaysia sebagai sebuah rumpun bangsa senusantara.

Demikianlah keramahan peniaga dan jurujual lelaki dan wanita di Pasar Tanah Abang, sebuah daripada sekian banyak gedung membeli-belah popular di ibu kota Indonesia itu.

Saya sengaja membawa rombongan kami ke situ kerana banyak pengalaman dan iktibar boleh diperolehi selain membeli-belah kerana ia merupakan sebuah "one stop centre" yang lengkap segala-galanya.

Saya katakan ia sebuah pusat sehenti kerana kompleks setinggi 18 tingkat (orang Indonesia cakap 18 lantai) kerana jika penat membeli-belah, boleh menikmati juadah Indonesia di tingkat 8 dan solat di masjid yang terletak di bahagian atas. Menurut catatan sebuah laman web, Blok A terdiri dari 12 lantai pertokoan (premis perniagaan), 5 lantai parker (tempat letak kenderaan) dan satu lantai food court . Manakala di bahagian atap (atas), terdapat masjid yang mampu menampung 2,000 jemaah.

Blok A Pasar Tanah Abang yang kami kunjungi menjual pelbagai barangan dan komoditi. Daripada kelengkapan rumah seperti langsir, sehingga kepada pakaian dan peralatan, yang diniagakan oleh ribuan pedagang.

Selain padagang lokal Jakarta (Betawi), pedagang di Pasar Blok A juga berasal dari pelbagai etnik seperti Padang, Makassar, Jawa, keturunan Arab dan Tionghoa.

Beberapa ahli rombongan kami begitu terpegun dan seperti tidak percaya dengan tawaran harga barangan di situ.

Barangan yang dijual dihasilkan dari kilang-kilang sekitar Indonesia dan kualitinya sentiasa diutamakan. Harganya pun bervariasi, cukup murah untuk standard masyarakat kita pada umumnya..

Berdasarkan pengamatan kami, koleksi pakaian muslim di sini sangat lengkap. Semuanya ada. Sebagai pengunjung, kita akan dimanjakan sekali dengan tawaran ini. Yang penting kita harus pintar dan bijaksana dalam memilih untuk mendapatkan barang yang terbaik.

Sambil kami berjalan sekitar gedung itu, ahli rombongan kami terus membeli apa saja yang berkenan.

Saya turut mengajak mereka makan di tingkat 8 di mana pelbagai hidangan disajikan di situ. Nama-nama gerainya juga ala nusantara seperti Warung Aroma, Spesialis Makanan Betawi, Mie (mee) Mentang dan sebagainya.

Food court di lantai 8 gedung ini sangat nyaman. Kemudahan tandas dan tempat mencuci tangan sangat bersih. Makanan yang tersedia juga terdiri dari berbagai jenis. Kita hanya perlu memilih sesuai selera kita. Harganya antara Rp5,000 hingga Rp20,00

Selepas makan tengah hari, kami meneruskan rondaan secara berkumpulan. Tetapi perlahan-lahan, kumpulan kami semakin mengecil, seorang demi seorang hilang dan berjalan sendiri, kerana mencari barangan mengikut citarasa masing-masing. Akhirnya, saya pula ditinggalkan sendiri.

Keesokan harinya, ketika bertemu dengan ahli rombongan di lobi hotel penginapan sebelum kami berangkat ke lapangan terbang untuk pulang ke Kota Kinabalu, saya sedikit terperanjat melihat jumlah beg yang dikumpul. Apa tidaknya, ahli rombongan kami yang datang dengan hanya satu beg kecil, kini membawa dua hingga tiga beg tambahan.

Demikianlah tarikan istimewa kota Jakarta sebagai pusat beli-belah di rantau ini.Selain Pasar Tanah Abang, terdapat beberapa lagi pusat perniagaan terkenal di kota itu yang tidak mungkin dapat diterokai dalam kunjungan yang singkat.

Tetapi siapa saja yang ke Jakarta, Pasar Tanah Abang mestilah dikunjungi.Tidak syak lagi bahawa Pasar Tanah Abang, yang dibangunkan oleh pemerintah Kolonial Belanda sekitar 300 tahun lalu di sebuah kawasan yang diberi nama Weltevreden (yang bererti benar-benar puas), terus menjadi magnet bisnis yang besar di Jakarta.

No comments: