Translate

Friday, June 6, 2008

PENERBANGAN TERUS MENARIK PELANCONG SABAH KE JAKARTA

AWAL minggu ini, saya sekali lagi ke kota Jakarta. Kali ini bersama kawan-kawan bagi satu program singkat. Bulan lepas, saya ke kota metropolitan itu juga bersama keluarga, menyaksikan perlawanan badminton Piala Thomas.

Kali ini penerbangan AirAsia kami terlewat sedikit. Sepatutnya bertolak jam 9 malam, tetapi dijadualkan semula dan kami berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.45 malam.

Dalam tempoh kira-kira dua jam 40 minit saja, kami sudah pun mendarat di Bandara Soekarno Hatta, Indonesia, iaitu antara lapangan terbang paling sibuk di rantau ini.

Saya menaiki teksi dan terus ke hotel penginapan. Perjalanan teksi juga lancar lantaran tidak banyak kenderaan kerana waktu sudah melewati dinihari.

Sepanjang perjalanan, saya terfikir betapa perkhidmatan udara oleh syarikat penerbangan tambang murah AirAsia itu sungguh memanfaatkan bagi kebanyakan orang. Kalau dahulu, penerbangan ke Jakarta perlu melalui Kuala Lumpur atau Bandar Seri Begawan, tetapi kini telah ada penerbangan terus dari Kota Kinabalu.

Dengan mengambil kira tempoh masa penerbangan dari Kota Kinabalu ke Jakarta hampir sama dengan penerbangan ke Kuala Lumpur, maka tidak mustahil jika semakin ramai orang Sabah bercuti ke Jakarta berbanding Kuala Lumpur.

Dengan berbekalkan belanja kurang RM2,000 saja, seseorang sudah menjadi jutawan di Jakarta, tinggal di hotel tiga malam dan membeli-belah pelbagai barangan di Pasar Tanah Abang atau Mangga Dua yang harganya jauh lebih murah berbanding di Sogo atau Mid Valley Kuala Lumpur.

Sebahagian daripada kawan-kawan dalam rombongan kami adalah kali pertama melancong ke Jakarta. Ada juga yang sudah beberapa kali. Yang menariknya, seorang Pak Haji yang bersama kami pula sudah pernah ke Jakarta kira-kira 20 tahun lalu.

Pesawat yang kami naiki juga penuh. Sebahagian besar orang Sabah yang melancong bersama keluarga sempena cuti penggal persekolahan sekarang.
Seorang daripada rombongan kami bercerita, ketika kami menunggu di balai berlepas, bahawa tidak mustahil jika ramai orang Sabah beralih untuk bercuti ke Jakarta berbanding Kuala Lumpur.

Dia menyatakan bahawa kadar tambang ke Jakarta jauh lebih murah, apatah lagi jika tempahan dibuat lebih awal menerusi internet. Katanya, dengan kadar tambang seorang pergi-balik ke Jakarta serendah RM500, seseorang sudah boleh berbangga kerana dapat bercuti di luar negara.

Kota Jakarta juga sememangnya syurga membeli-belah. Begitu banyak gedung membeli-belah yang besar merata lokasi.

Pasar Tanah Abang misalnya merupakan pusat tumpuan pelancong kerana di situ harga barangannya cukup murah kerana kebanyakannya dijual secara borong. Pakaian dan baju, yang dihasilkan kilang pakaian di Indonesia sendiri, dijual secara pakej satu dozen (12 helai) atau minimum setengah dozen (enam helai).

Lebih menarik lagi kerana peniaga dan jurujualnya begitu peramah melayani tetamu, apatah lagi jika mengetahui kita datang dari Malaysia. Harga boleh dirunding,ditawar dan diturunkan.

Banyak cerita menarik rombongan kami di Tanah Abang dan ia akan saya ceritakan dalam siri akan datang bertajuk “Sejenak Berkunjung ke Tanah Abang” kerana bagi saya, banyak pengalaman, pelajaran dan iktibar boleh diperolehi di situ.

Pada hari terakhir, saya dan kawan-kawan sempat meninjau ke kawasan beli-belah Metro Pasar Baru berhampiran hotel penginapan sebahagian ahli rombongan.

Premis perniagaan di sini dibuka mulai jam 9 pagi dan berterusan sehingga malam, manakala selepas senja, lorong pejalan kaki dan tempat laluan kenderaan bertukar menjadi pasar malam. Bagaimanapun, pasar malamnya dibuka hanya beberapa jam saja dan ditutup sebelum jam 9 malam.

Ketika berjalan-jalan di situ, kami terjumpa dengan beberapa orang Sabah yang sibuk membeli-belah. Ada yang memberitahu baru dua hari di Jakarta, ada yang sudah seminggu.

Sampai waktu berangkat pulang, kebanyakan rombongan kami bertambah beg mereka. Yang datang dengan satu beg, kini pulang dengan dua atau tiga beg, tentunya penuh diisi dengan pelbagai ole-ole dari kota Jakarta.

Dan ketika check-in di terminal untuk pulang, kami sekali lagi terserampak dengan dua kumpulan pelancong. Satu dari Tamparuli dan satu lagi dari Tuaran.
Saya melihat mereka juga membawa begitu banyak beg yang pastinya juga diisi dengan bermacam-macam hasil belian. Hati kecil saya berbisik betapa kota Jakarta ini sudah menarik hati ramai pengunjung dan pelancong dari Sabah.

No comments: