Translate

Thursday, June 19, 2008

POLITIK BEROMBAK SEMULA

Saya menjangkakan politik negara akan melalui fasa pergolakan sedikit berikutan tindakan Presiden SAPP Datuk seri panglima Yong Teck Lee mengumumkan kelmarin mengenai pendirian partinya sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ini kerana kenyataan terbuka itu pastinya mengundang persoalan mengenai sejauh mana keutuhan dan kesepaduan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah gagasan besar yang menunjangi pemerintahan negara.

Sudahpun terdapat beberapa komen dan reaksi daripada pelbagai pihak menyusul selepas pendirian itu dinyatakan oleh Datuk Seri panglima Yong dalam sidang medianya di Kota Kinabalu pada petang Rabu.

Dalam sidang media itu, Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah memberikan pelbagai alasan mengenai sebab-sebab yang membawa kepada tindakan SAPP untuk menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, antaranya berkaitan pelbagai tuntutan yang dikemukakan bagi kepentingan rakyat Sabah.

Mengambil kira semua aspek itu yang dikatakan dipendamnya sejak sekian lama, maka dua Ahli Parlimen SAPP akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada persidangan Parlimen yang akan bermula Isnin depan. Soal siapa yang akan membentangkan usul itu, sama ada SAPP atau parti lain, tidak penting kerana SAPP akan mengambil inisiatif ke arah itu.

Kenyataan terbuka Datuk Seri Panglima Yong itu adalah kemuncak kepada beberapa kenyataan keras beliau sebelum ini serta surat yang dihantarnya kepada Perdana Menteri sebelum ini berkaitan pelbagai isu, termasuk autonomi politik dan pendatang tanpa izin .

Sebenarnya, pada awal Mei lepas, Datuk Seri Panglima Yong ada membuat kenyataan yang memberi tempoh sehingga Ogos bagi BN menyelesaikan isu-isu tertunggak di Sabah.

Perdana Menteri sudah pun membuat kenyataan ringkas mengenai Datuk Yong dengan menyifatkan tindakan itu adalah disebabkan "saya tidak dapat memenuhi ketamakan dirinya",manakala Ketua Mneteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman pula menyatakan rasa kesal dan kecewa dengan pendirian yang dinyatakan oleh Presiden SAPP itu.

Apapun, yang menariknya politik negara akan bergelora sedikit dalam beberapa hari akan datang, apatah lagi SAPP akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, Jumaat ini untuk menentukan halatuju dan masa depan parti itu.

No comments: