Translate

Saturday, June 21, 2008

SAPP BERTEGAS, POLITIK MAKIN PANAS


SEPERTI yang saya sebut dalam posting sebelum ini, politik negara akan melalui fasa berombak dalam beberapa hari selepas Parti Maju Sabah (SAPP) menyatakan secara terbuka pendiriannya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kelmarin, semakin banyak kenyataan dibuat pemimpin parti komponen BN termasuk daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Datuk Najib dilaporkan berkata bahawa Ahli Parlimen SAPP akan berhadapan tindakan disiplin daripada BN jika mereka meneruskan rancangan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

”Apa jua tindakan kedua-dua mereka, jika ia melanggar kod etika disiplin BN, ini akan menyebabkan mereka dihukum kerana melanggar disiplin parti."Secara teknikal mereka tidak boleh (mengemukakan usul) kerana kuasa itu terletak pada Speaker. Ia mungkin tidak berlaku,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Ulasan itu dibuat sebagai reaksi terhadap keputusan Majlis Tertinggi(MT) SAPP yang bermesyuarat di Kota Kinabalu pada sebelah pagi, yang mencapai persetujuan sebulat suara untuk meneruskan cadangan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, dalam sidang Dewan Rakyat bermula Isnin ini. Datuk Yong dilaporkan berkata semua anggota Majlis Tertinggi diberi peluang mengemukakan pandangan masing-masing mengenai usul itu.

Beliau berkata setelah menimbang semua pendapat, Majlis Tertinggi membuat keputusan menyetujui usul itu. "Saya juga telah berjumpa secara bersemuka dengan Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan; Setiausaha Agung SAPP, Datuk Richard Yong serta para pemimpin kanan parti yang lain berhubung usul itu. "Mereka kemudian hadir pada mesyuarat MT dan telah menyatakan persetujuan bersama-sama anggota Majlis Tertinggi lain," kata Yong.

Seramai 33 dari 35 anggota Majlis Tertinggi SAPP hadir, kecuali Timbalan Presiden yang juga Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Likas, Datuk Liew Teck Chan, yang kedua-dua berada di luar negara. Pendirian SAPP yang hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri itu turut mendapat reaksi daripada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Khairy mendakwa bahawa langkah Datuk Yong mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, dipercayai termakan tawaran daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau (Khairy) difahamkan Yong akan dilantik jawatan nombor dua kerajaan sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri kelak.

"Dengar kata macam-macam yang ditawarkan (kepada Yong) seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri dan royalti minyak.

"Sebenarnya saya nak tahu, apakah tawaran secara individu dari Anwar kepada Yong, adakah Yong ditawarkan jawatan TPM kalau Anwar jadi PM. Jika benar, ia membuktikan ini bukan pendirian berprinsip, tapi bersyarat sebab dia memang dah berjumpa," katanya.

Tindakan SAPP itu turut tidak disenangi oleh Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V K Liew, yang menyatakan bahawa BN perlu memenuhi kehendak Datuk Yong agar parti berkenaan disingkirkan dari gabungan itu.

Beliau berkata BN kini tidak ada pilihan lain kecuali menyingkirkan SAPP setelah Majlis Tertinggi parti itu memutuskan untuk menyokong desakan Datuk Yong bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

"Ini sejajar dengan keputusan yang diambil oleh mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Khamis,” katanya.


No comments: