Translate

Monday, August 4, 2008

KEPUTUSAN BIJAK DAN MATANG

KELMARIN (3 Ogos) Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, mengumumkan keputusan muktamadnya untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Sebaliknya, beliau memutuskan untuk mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang disandangnya ketika ini.
Keputusan itu dibuatnya setelah berfikir panjang serta berbincang dengan rakan-rakan dalam Umno Sabah.

Sesungguhnya, keputusan Datuk Musa itu merupakan suatu keputusan yang bijak dan matang dengan mengambil kira perkembangan politik tanah air yang pastinya membawa kebaikan kepada parti Umno yang kita dokong bersama.

Pengumuman awalnya itu juga sudah tentu dapat mengelak dilema serta melegakan ahli Umno di peringkat akar-umbi menjelang mesyuarat bahagian pada Oktober nanti.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dan bahagian Umno di Sabah sudah menyatakan secara terbuka pendirian mereka untuk mencalonkan Datuk Seri Musa bagi jawatan Naib Presiden, malahan berikrar untuk memberikan sokongan sepenuhnya.

Menariknya, Datuk Seri Musa telah memilih Bahagian Libaran yang diwakilinya sendiri untuk membuat pengumuman mengenai keputusan tersebut.

Pengumuman tersebut bukan saja menamatkan pelbagai spekulasi yang tercetus berikutan keputusan beberapa pemimpin Umno di Sabah untuk mencalonkan beliau bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan nanti.

Alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Musa untuk tidak bertanding adalah bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan Sabah. Ini menunjukkan beliau mementingkan soal kerja dan usaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negeri Sabah.

Seperti yang dijelaskannya, dengan mengambil keputusan sedemikian (tidak bertanding Naib Presiden) maka beliau dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pentadbiran kerajaan negeri Sabah, terutama dalam pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).


Ini membuktikan tingginya komitmen beliau untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri Sabah.

Lebih penting, keputusannya itu bukan saja dapat mengelak perpecahan sesama ahli, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan yang sedia terjalin.

Hanya menerusi perpaduan saja dapat menjana kemajuan serta kemakmuran di kalangan rakyat.

Nyata Datuk Seri Musa mementingkan parti dan bukan jawatan. Ia mencerminkan perjuangannya tulus untuk bangsa, agama dan negara.

Berdasarkan kepada hakikat ini, saya yakin Datuk Seri Musa akan mencapai kemenangan besar dalam mempertahankan semula jawatan MT sebagaimana dalam pemilihan lepas.

Keyakinan ini juga berdasarkan rekod cemerlangnya memimpin Sabah dan pilihan raya umum lepas.

No comments: