Translate

Monday, August 11, 2008

MENGIMBAU SEJARAH, MENGISI KEMERDEKAAN

KETIKA memandu sendiri sekitar bandar KK dua tiga hari lepas, masih tidak banyak bangunan dan premis perniagaan memasang Jalur Gemilang sebagaimana kebiasaan pada bulan Ogos setiap tahun.

Begitu juga di jalan-jalan raya, jumlah kenderaan yang memasang bendera negara dan negeri agak jarang kelihatan.

Bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan dan lazimnya kemeriahan suasana merdeka itu dapat dirasakan sebaik saja memasuki awal bulan.

Biarpun di pihak kerajaan telah menetapkan sambutan Bulan Kemerdekaan bermula 17 Ogos sehingga 16 September setiap tahun, namun biasanya sebaik saja bermulanya bulan Ogos, semua bangunan dan premis perniagaan berlumba-lumba memasang Jalur Gemilang terbesar, terbanyak atau terpanjang bagi menunjukkan semangat patriotisme, manakala pemilik kenderaan bersaing menghias kenderaan mereka dengan pelbagai cara dan konsep menggunakan Jalur Gemilang dan bendera negeri.

Tetapi pengamatan saya sejak awal bulan ini, nampaknya suasana sedemikian agak kurang pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mungkinkah keadaan ini ada kaitannya dengan soal kegawatan ekonomi?

Apapun, kita harus mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini. Negara kita telah 51 tahun bebas daripada belenggu penjajahan dan sepanjang tempoh itu kita telah menikmati banyak perubahan dan kemajuan.

Yang penting adalah pengisian kemerdekaan itu sendiri. Yang lebih utama ialah kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat, kerana semua itu menjadi prasyarat bagi Malaysia terus gemilang dan menuju status negara maju.

Sambil kita meneruskan agenda pengisian kemerdekaan, kita juga perlu mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan kerana di situlah sejarah kita bermula.

Tanpa pengorbanan mereka, tidak mungkin kita berada di tempat kita sekarang ini. Tanpa pengorbanan mereka yang berjuang membawa kemerdekaan, barangkali kita masih mundur kerana terus dijajah oleh kuasa-kuasa besar.

Dengan mengingati pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan, generasi muda yang lahir dalam suasana pasca merdeka yang serba maju ini tidak akan berani bertindak liar menggadaikan masa depan negara.

Dalam suasana menyambut kemerdekaan, kita juga seharusnya merenung dan menghayati hakikat kemerdekaan itu sendiri.Merdeka seseorang itu bukan sahaja bermaksud merdeka secara fizikal daripada penjajahan kuasa asing, malah ia juga bermakna bebas daripada belenggu penjajahan pemikiran.

Tidak dinafikan adanya generasi pasca merdeka yang mudah terpengaruh atau dipengaruhi oleh sentimen sempit, lalu bertindak melulu sehingga menjejaskan keharmonian dan kemakmuran dalam negara.

Banyak peristiwa dan perkembangan yang berlaku dalam negara kita akhir-akhir ini, sedikit-sebanyak ada kaitannya dengan kurangnya semangat patriotik dalam pemikiran mereka.

Saya masih ingat ucapan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada acara kemuncak Perayaan Raksasa Merdeka di Stadium Merdeka, tahun lalu, yang mengimbau sejarah kemerdekaan negara sehinggalah kepada pencapaiannya 50 tahun kemudian.

Menurut Perdana Menteri, merdeka bukan sekadar kata keramat, mengandungi tujuh huruf - memiliki tiga suku kata.

“Merdeka adalah hasil daripada azam kukuh untuk menebus maruah bangsa; merdeka adalah hasil daripada perjuangan suci untuk membela tanah pusaka.

“Merdeka adalah puncak pencapaian satu perjuangan untuk memulakan perjuangan yang baru. Merdeka terbina atas tiang sejarah, untuk membina sejarah baru.

“Merdeka adalah milik berharga negara bangsa; berdosa bagi mereka yang mempersia-siakannya; biadab bagi mereka yang tidak menghargai kemerdekaan negara kita,” demikian antara lain petikan ucapan Perdana Menteri, setahun lalu.

Apapun, pengisian kemerdekaan dituntut oleh semua pihak dan ia merupakan suatu proses berterusan. Sememangnya, tidak ada batas waktu bagi perjuangan untuk mengisi kemerdekaan.

Sempena detik bersejarah ini, elok kita merenung semula jejak-jejak kehidupan yang telah kita tinggalkan, sambil kita bermuhasabah diri tentang sejauh mana pencapaian kita di bumi Malaysia yang bertuah ini.


No comments: