Translate

Monday, August 25, 2008

MINYAK TURUN: MANIFESTASI KEPRIHATINAN KERAJAAN


Mulai Sabtu lepas, harga runcit petrol dan diesel diturunkan sedikit selepas dinaikkan pada awal Jun lepas. Keputusan dibuat kerajaan berikutan penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri membuat pengumuman itu, sambil mengharapkan peniaga turut menurunkan harga barangan yang sebelumnya dinaikkan selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel dahulu.


Kenyataan Pak Lah itu disambut baik dan dialu-alukan pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO). Malahan, orang ramai juga memberikan reaksi serupa sebagaimana dilaporkan oleh beberapa media tempatan.


Berdasarkan reaksi itu, nyata pada umumnya kenaikan yang berlaku sebelum ini sememangnya sesuatu yang sangat dirasai. Sebab itu, apabila kerajaan mengumumkan penurunan itu, biarpun pada kadar yang sedikit berbanding kenaikan dahulu, ia disambut gembira semua pihak.


Inilah manifestasi harapan rakyat yang barangkali merasakan tekanan kehidupan selama hampir tiga bulan harga minyak dinaikkan pada 5 Jun lepas.


Biarpun barangkali kadar penurunan kali ini dilihat kecil, tetapi jika semua pihak melihatnya secara mikro, ia boleh membawa kesan positif kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat secara umumnya.


Mengikut pengumuman yang dibuat kerajaan, harga runcit petrol RON97 dikurangkan 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter, manakala harga runcit petrol RON92 dikurangkan sebanyak 22 sen daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.


Harga runcit diesel pula dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter.


Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, keputusan menurunkan harga minyak itu dibuat setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan lepas.


Penurunan dibuat tidak sampai tiga bulan selepas kerajaan menaikkan harganya pada 5 Jun lalu. Pada ketika itu, kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter atau 41peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter, manakala diesel sebanyak RM1 atau 68 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.


Dan pada waktu itu, sememangnya kedengaran keluhan orang ramai yang merasakan tekanan hidup yang agak ketara. Ini kerana pada ketika itu, harga pelbagai jenis barangan mencatatkan kenaikan mendadak.


Justeru, adalah diharapkan agar penurunan harga minyak pada kali ini, biarpun dikatakan kecil akan disertai dengan penurunan harga barangan pengguna.

No comments: