Translate

Tuesday, September 9, 2008

ANTARA LAWATAN MENUJU TAIWAN DAN PERJALANAN MENUJU PUTRAJAYA

WALAUPUN pelbagai spekulasi diandaikan, akhirnya sekumpulan 49 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berlepas ke Taiwan pada Isnin lepas dalam misi lawatan untuk mempelajari teknologi pertanian.

Ia diketuai oleh Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing dan disertai 10 Ahli Parlimen dari Sabah, 12 Ahli Parlimen Sarawak dan selebihnya dari Semenanjung.

Lawatan itu mendapat perhatian umum kerana dikatakan ada kaitan dengan desas-desus melompat parti daripada BN kepada pembangkang menjelang tibanya tarikh 16 September bagi mencapai apa yang disebut pembangkang sebagai perjalanan menuju ke Putrajaya.

Spekulasi yang tersebar menyatakan bahawa program lawatan sambil belajar itu adalah antara usaha BN memastikan tiada penyokong kerajaan melompat keluar sebagaimana dicanangkan oleh pembangkang.

Hal ini hangat diperkatakan bukan saja di kalangan pemimpin kerajaan dan pembangkang, tetapi juga kalangan rakyat biasa yang mengikuti perkembangan politik tanah air.

Bagaimanapun, ini telah diperjelaskan oleh pucuk pimpinan BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyatakan bahawa lawatan sambil belajar itu tiada kaitan dengan soal cerita lompat parti.

Menurut Perdana Menteri, program lawatan itu tidak perlu dikaitkan dengan penubuhan kerajaan oleh Pakatan Rakyat.

"Kalau mereka nak pergi, biarlah mereka pergi, apa nak hubung kaitkan dengan September 16. Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang ditemui pemberita sebelum berangkat ke Taiwan, juga menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya lawatan itu ada kaitan dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat daripada menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 16 September ini.

Biarpun penjelasan sudah diberikan, namun persepsi umum mengenai lawatan itu tetap menjurus kepada andaian bahawa ia berkaitan dengan ura-ura melompat parti oleh kalangan Ahli Parlimen kerajaan.

Ini disebabkan beberapa perkara, termasuk jadual lawatan yang dikatakan diatur secara spontan dan diadakan pada bulan Ramadan di mana pada kebiasaannya semua Ahli Parlimen seharusnya berada di kawasan masing-masing.

Oleh kerana lawatan sedemikian diatur seperti tergesa-gesa dan melangkaui tarikh 16 September, maka banyaklah spekulasi timbul yang mengaitkannya dengan misi perjalanan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuju ke Putrajaya.
.

No comments: