Translate

Friday, September 5, 2008

POST-MORTEM PERMATANG PAUH: SEMOGA DITEMUI KEPASTIAN HAKIKI

DALAM setiap kes jenayah, bedah siasat atau post-mortem wajar dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian sebenar. Misalnya, jika mayat ditemui terapung di sungai – kematiannya tidak semestinya disebabkan lemas kerana berkemungkinan mangsa dicekik hingga mati sebelum mayatnya dibuangkan ke dalam sungai.

Dalam kes sedemikian, post-mortem akan meneliti semua andaian dan memberi kepastian sebenar. Kepakaran bidang forensik amat diperlukan untuk mengenal pasti punca kematian, sekali gus mencari bukti-bukti, jika ada, untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Kepakaran forensik adalah satu cabang sains perubatan yang diiktiraf dan penting kerana ahli-ahli forensik merupakan pakar yang dapat mengenal pasti punca sesuatu kes kematian selain berupaya mencari bukti-bukti yang boleh dibawa di mahkamah.

Definisi bedah siasat atau biasa kita dengar disebut post-mortem bermaksud pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan ke atas mayat. Ia melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenal pasti punca kematian dan ciri atau setakat mana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain.

Seperti dalam bidang perubatan, kita juga biasa mendengar post-mortem dilakukan dalam politik. Biasanya ini dilakukan apabila sesebuah parti politik itu mengalami kekalahan dalam pilihan raya, sama ada pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil. Jarang sekali post-mortem akan dibuat jika sesebuah parti politik itu mencapai kemenangan.

Dan seperti juga dalam bidang perubatan, post-mortem politik ini dilakukan oleh mereka yang boleh digelar sebagai “forensik politik” terdiri daripada kumpulan pemimpin politik yang mempunyai kewibawaan. Ia penting supaya apa juga penemuan (finding) tidak dipersoalkan dan saranan (recomendition) dilaksanakan.

Bagi saya, begitulah yang sewajarnya dilakukan oleh kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas berakhirnya pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Post-mortem bukan saja untuk mengenal pasti “penyakit” yang menjadi punca kekalahan BN kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi lebih penting mencari ubat penawar paling mujarab untuk menentukan “penyakit” di Permatang Pauh tidak merebak ke tempat lain.

Sesuatu yang menarik ialah Datuk Seri Anwar tetap dipilih dan mendapat sokongan lebih besar, biarpun dibebani dengan pelbagai dakwaan salah laku moral serta pertuduhan jenayah.

Ketika saya berada di Permatang Pauh dua hari sebelum pengundian, saya melihat jelas suatu realiti luar biasa – Anwar tetap disanjung dan dipuja walaupun dihujani bermacam tuduhan – daripada sumpah laknat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan,sehingga kepada dakwaan liwat di mahkamah serta tuduhan menggunakan wang haram hasil perjudian, salah laku semasa berada dalam kerajaan serta kontroversi seks – semuanya gagal menggoncang ketaksuban pengundi Permatang Pauh terhadap kredibiliti beliau.

Post-mortem oleh Umno dan BN hendaklah merangkumi aspek dalaman dan luaran parti, juga soal sentimen dan ideologi, kredibiliti dan populariti serta hal-hal yang bersangkut soal personaliti dan peribadi.

Banyak persoalan perlu dijawab. Apakah kekalahan ke tangan pembangkang itu disebabkan kemarahan rakyat terhadap individu tertentu atau parti keseluruhannya? Apakah kekalahan itu berpunca daripada soal politik semata-mata, atau juga berkaitan ekonomi, atau kedua-duanya sekali?

Persoalan lebih luas lagi, apakah sentimen pengundi Permatang Pauh hanya bersifat setempat (domestik) dan tidak mengambarkan suara rakyat seluruhnya?

Dan lebih penting lagi, kenapakah pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, jumlah majoriti undi pembangkang mencatat peningkatan ? Apakah ia manifestasi bahawa sokongan terhadap parti pemerintah semakin nipis dan terhakis?

Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dicari jawapan oleh “forensik politik” yang dipertanggungjawab melakukan post-mortem selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Selepas analisa dan kajian mengenai punca-punca kekalahan itu, post-mortem perlu juga membuat rekomendasi mengenai langkah-langkah yang harus dilakukan, dalam jangka masa pendek dan panjang, demi kelangsungan (survival) perjuangan serta menentukan parti sentiasa relevan sepanjang zaman.

Penting disebutkan dalam post-mortem itu ialah soal mesej yang cuba disampaikan oleh pengundi Permatang Pauh kepada kerajaan. Jika ini dapat difahami, maka mudah bagi pimpinan parti pemerintah mengambil tindakan-tindakan proaktif demi menyelamatkan parti dan kerajaan.

Kita perlu belajar dan mempelajari mesej tsunami politik yang cuba disampaikan oleh rakyat ketika pilihan raya umum lepas.

Semoga post-mortem yang bakal dilakukan oleh “forensik politik” BN dan UMNO nanti bakal menemukan suatu jawapan yang melegakan dan suatu kepastian yang hakiki.

No comments: