Translate

Monday, September 29, 2008

SALLEH CADANG KL ROMBAK JPN SABAH

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Datuk Salleh Said Keruak meminta kerajaan Pusat supaya merombak dan melantik anak jati Sabah untuk menerajui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di negeri ini.

Ketika membuat seruan itu, beliau berkata langkah itu penting bagi melenyapkan persepsi negatif orang awam terhadap JPN berhubung pengeluaran dokumen yang ada kaitan status kewarganegaraan.

"Sekiranya tidak ada pegawai kanan dari Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan yang sesuai atau layak untuk memegang jawatan itu maka mereka boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk melantik pegawai kanan negeri secara kontrak.

"Sepatutnya ada mekanisme untuk tujuan ini dan saya fikir sekiranya semua pihak jujur dalam hal ini, ia boleh dilakukan," katanya, di sini hari ini.

Salleh berkata demikian ketika mengulas rasa tidak puas hati UPKO dengan tindakan JPN menukarkan status kerakyatan seorang wanita berusia 78 tahun, Yong Lee Hua, daripada warga negara kepada pemastautin tetap selepas kad pengenalan wanita ituhilang di Penampang tahun lepas.

"Tindakan menurunkan kedudukan daripada seorang berstatus anak negeri kepada penduduk tetap tidak boleh diterima sama sekali...tentu sekali ada sesuatu yang tidak kena. Tambahan pula terdapat dakwaan bahawa ada pendatang tanpa izin yang memperolehi MyKad secara meragukan dan ada kes tertentu yang dibuktikan betul di Makhamah.

"Oleh itu, terdapat keperluan untuk menyusun semula atau merombak struktur pentadbiran Jabatan Pendaftaran Negara di Sabah untuk kebaikan semua pihak. Kita tidak mahu orang ramai mempunyai persepsi bahawa masyarakat Sino-Kadazan di Sabah adalah warganegara kelas kedua dan bukan berstatus anak negeri," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Presiden UPKO Datuk Wilfred Bumburing dilaporkan berkata parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN jika kesilapan dalam kes Yong itu tidak diatasi.

Bagaimanapun, Salleh berharap UPKO tidak menjadikan satu "kesilapan kecil" oleh JPN berhubung taraf kerakyatan seorang penduduk Sabah sebagai alasan untuk keluar daripada Barisan Nasional.

"Kita tidak mahu ia menjadi isu besar sehingga menjejaskan kestabilan politik," katanya.

Sambil menyifatkan kesilapan itu bukannya dilakukan oleh BN, Salleh berkata isu itu perlu ditangani dengan melihat kepada puncanya.

"Jika ia disebabkan kesilapan pegawai berkenaan, maka pegawai itu perlu ditukar. Begitulah juga jika ia disebabkan oleh dasar, maka dasar itu perluditukar," katanya.

Sehubungan itu, Salleh menyeru kementerian berkenaan supaya mencari jalan terbaik mengatasi masalah itu.

No comments: