Translate

Wednesday, October 15, 2008

PENDEKATAN “POLITICAL WILL” MENGELAK “POLITICAL MILEAGE”

Nampaknya perhatian kita tertumpu kepada urusan politik terutama mesyuarat-mesyuarat Umno di peringkat bahagian.

Sabah tidak terkecuali. Banyak kawasan dan bahagian menjadi perhatian. Di peringkat Pusat pun begitu juga, tumpuan menghala kepada soal peralihan kuasa kepimpinan tertinggi Umno.

Tetapi saya tidaklah memberi fokus kepada soal politik Umno pada waktu ini. Biar ia selesai dahulu, baru kita tengok perkembangannya, trend dan halatujunya serta masa depan politik kepartian, khususnya Umno.

Bagaimanapun, tulisan saya kali ini juga menyentuh mengenai politik dalam konteks menyelesaikan sesuatu hal atau isu yang ada kaitan persekitaran kehidupan kita.

Saya tekankan perkara ini memandangkan “kesungguhan politik” merupakan jalan terbaik yang dapat membantu menyelesaikan sebarang kemelut yang barangkali lambat dilakukan menerusi proses pentadbiran akibat daripada karenah birokrasi dan sebagainya.

Telah berlaku dalam beberapa kes sebelum ini, apabila tercetus saja sesuatu isu, biasanya kita mendengar jawapan ”standard” daripada pihak-pihak tertentu yang mengatakan “kita akan kaji” atau “kita akan pertimbangkan” dan akhirnya isu itu lenyap tanpa sebarang penyelesaian.

Kesungguhan politik atau apa yang disebut ”political will” sangat besar kesan dan pengaruhnya.

Menyedari hakikat inilah juga mendorong saya membuat dua kenyataan baru-baru ini, apabila timbulnya kontroversi mengenai seorang wanita warga emas rakyat tempatan dari Penampang yang hanya diberikan status penduduk tetap setelah dia memohon gantian MyKad miliknya yang hilang.

Berikutan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjadi sasaran kritikan panas, apatah lagi ditambah pula dengan pendedahan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Eric Majimbun, yang juga Anggota Parlimen Sepanggar, mendakwa seorang pemegang MyKad dari Kampung Pomotodon, Inanam, menggunakan nama keluarganya, Majimbun, dengan ejaan yang berbeza sedikit (Majimbon), sebenarnya seorang warga Filipina yang nama keluarganya Maguil, dan lelaki itu mendakwa memperoleh dokumen pengenalan itu beberapa tahun lepas.

Pelbagai kenyataan dibuat oleh pelbagai pihak berhubung kes warga emas yang diberikan status penduduk tetap itu, dan akhirnya memaksa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, datang ke Kota Kinabalu pada minggu lepas.

Hasil daripada tindakan itu, wanita warga emas berkenaan, dikenali sebagai Yong Lee Hua, 78, dari Penampang, memperolehi MyKadnya pada hari sama Datuk Syed Hamid melawat dan mengadakan mesyuarat dengan JPN Sabah.

Inilah satu contoh pentingnya “political will” dan diharapkan agar dalam apa juga kes di masa depan nanti, kita tidak lagi mahu mendengar ungkapan “kita akan kaji”,”kita akan siasat”, “kita akan pertimbang” dan seumpamanya dalam sesuatu kes yang sudah berlarutan dan memang adapun penyelesaiannya berdasarkan fakta yang ada.Dalam hal seperti ini,sesuatu perkara itu wajar diselesaikan sesegera mungkin.

Penyelesaian yang cepat bukan saja mengembirakan pihak yang terbabit, tetapi juga meningkatkan imej dan kredibiliti organisasi atau agensi yang berkaitan. Lebih penting lagi, ia meningkatkan keyakinan umum terhadap sistem penyampaian kerajaan. Ia juga sejajar dengan komitmen pimpinan kerajaan untuk memberi khidmat terbaik untuk rakyat

Sekiranya sesuatu isu dibiar berterusan, ia dengan sendirinya menunjukkan kelemahan serta kelembapan jentera kerajaan. Dan ia satu perkembangan yang tidak sihat, yang pastinya memberi gambaran negatif terhadap perkhidmatan kerajaan.

Selain itu, penyelesaian yang lambat juga dikhuatiri diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk mempolitikkan isu yang tercetus bagi mendapatkan “political mileage” pula. Bukan rahsia lagi kini banyak pihak cuba menanguk air keruh untuk mencari populariti dan survival politik.

No comments: