Translate

Saturday, November 8, 2008

ANTARA HARAPAN DAN IKTIBAR DI SEBALIK KEMENANGAN BARRACK OBAMA

SEPERTI kehangatan politik di negara kita, nampaknya politik di Amerika Syarikat juga tidak kurang hebatnya. Pilihan raya Presiden yang baru saja berakhir menyaksikan perubahan dalam sistem politiknya. Barrack Obama mencipta sejarah menjadi warga kulit hitam pertama dipilih sebagai Presiden negara yang paling berkuasa itu.

Kemenangan Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44 mendapat perhatian masyarakat seluruh dunia. Ia juga mendapat liputan meluas, termasuk di negara kita apabila semua akhbar arus perdana menyiarkannya sebagai bahan muka hadapan beberapa hari lalu.

Masyarakat antarabangsa memberi tumpuan terhadap cerita Obama kerana semua benua, rantau dan negara mempunyai hubungan, sama ada secara langsung atau tidak, dengan Amerika Syarikat meliputi bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

Bagi negara kita, kemenangan Obama dari parti Demokrat itu diharap membawa dimensi baru, terutama dalam bidang perdagangan, apatah lagi dalam keadaan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu .

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Malaysia berharap menyaksikan persetujuan perdagangan yang lebih adil dan saksama dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baru Obama.


Sehingga kini, Malaysia masih mengadakan perundingan dengan kerajaan Amerika Syarikat berhubung perkara itu, tetapi masih belum mencapai sebarang penyelesaian."Kita berharap dapat mencapai kata sepakat yang lebih baik pada masa ini berbanding regim sebelumnya,” demikian kata Perdana Menteri.

Selain aspek ekonomi, khususnya perdagangan, kemenangan Obama juga membawa beberapa mesej mudah untuk difahami.

Pertama, soal warna kulit tidak lagi menjadi pertimbangan mutlak dalam sesuatu pemilihan. Obama pastinya mendapat sokongan daripada kulit putih juga kerana jika hanya bersandarkan sokongan kulit hitam, beliau mungkin tidak sampai ke White House.

Natijahnya, kita tidak boleh mengharapkan sokongan daripada komuniti sendiri saja jika ingin menjadi pemimpin sesebuah negara. Seorang pemimpin harus diterima oleh masyarakat terbanyak.

Kedua, kepetahan Obama berpidato serta dasar yang diperkenalkannya yang memberi harapan baru kepada rakyat biasa dan kumpulan pertengahan membolehkan beliau diterima oleh majoriti rakyat
Amerika Syarikat.

Natijahnya, rakyat akan membuat perubahan apabila sampai ke satu peringkat di mana mereka tidak lagi mampu bertahan menghadapi sesuatu kebiasaan yang membosankan.

Ketiga, perbezaan kaum dan warna kulit tidak menjadi penghalang bagi rakyat Amerika Syarikat bersatu ke arah perubahan yang mengharapkan kemajuan. Bukanlah satu rahsia lagi bahawa di Amerika Syarikat sendiri, jenayah yang melibatkan kebencian etnik berlaku secara berleluasa. Banyak kejadian jenayah adalah kes-kes yang melibatkan ahli kumpulan majoriti menyerang ahli kumpulan minoriti dan sebaliknya.

Natijahnya, hubungan kaum penting dipelihara dan dipertahankan bagi survival sesebuah negara bangsa. Pergeseran etnik dan persengketaan antara kaum perlu dielakkan kerana ia boleh meruntuhkan sebuah negara dan kerajaan yang didirikan.

Dalam hal ini, cadangan mengenai Akta Hubungan Kaum yang disuarakan sebelum ini perlu diperhalusi dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Ia bertujuan memastikan teras matlamatnya ke arah mengukuhkan perpaduan serta kesepakatan di kalangan rakyat, dapat dicapai sepenuhnya.

No comments: