Translate

Tuesday, November 25, 2008

KERAJAAN PUSAT HARUS RESPONSIF MENDENGAR BISIKAN SUARA ORANG SABAH


AKHIR-AKHIR ini semakin banyak perbahasan disuarakan mengenai isu royalti minyak yang diterima Sabah daripada Kerajaan Pusat.

Umumnya, kenyataan daripada pimpinan politik mahukan kadar yang diterima oleh Sabah sekarang ini dikaji semula. Kajian semula tentunya bermaksud supaya ia ditambah ke satu kadar yang dianggap munasabah, bersesuaian dan realistik.

Nada suara pimpinan politik pembangkang dan sesetengah kerabat Barisan Nasional (BN) dalam isu royalti ini agak lantang. Macam-macam alasan dan perkiraaan dibuat.

Yang pasti, apa yang disuarakan itu tentunya mewakili suara sebahagian orang Sabah (kalaupun tidak keseluruhannya) yang terpisah jauh dari Kuala Lumpur oleh Laut China Selatan.

Mengambil kira bahawa apa yang disuarakan itu sebagai satu bisikan permintaan, maka Kerajaan Pusat perlulah mendengarnya dan mencari jalan bagaimana, apa cara, kaedah atau mekanisme untuk menimbangkannya.

Soal jumlah kenaikan tidak harus difikirkan sehingga membebankan pula kerana kerajaan tentunya mempunyai banyak cara untuk mencari jalan penyelesaian.

Sikap dan kesediaan untuk mendengar suara bisikan sememangnya prinsip yang menjadi amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini. Kerajaan BN sentiasa responsif terhadap keadaan dan keperluan, dan bersedia mencari kaedah terbaik untuk kebaikan semua.Yang penting pada akhirnya nanti, orang Sabah pasti mengharapkan hasil daripada minyak ini ditambah.

Dalam isu royalti ini, pimpinan sesetengah parti komponen BN di Sabah kedengaran agak kritikal. Suara mereka semacam mendesak dan bernada marah. Mungkin disebabkan kenyataan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, yang menyatakan bahawa isu royalti minyak sukar dibangkitkan kerana perjanjian tahun 1976 tidak menyediakan peruntukan bagi semakan semula terhadap kadar royalti lima peratus yang dipersetujui.

Bagi menjernihkan keadaan, Ketua Menteri memberi penjelasan terbaru kelmarin dengan meminta mana-mana pihak supaya tidak menjadikan isu berhubung tuntutan kenaikan royalti minyak bagi Sabah, sebagai agenda politik.

Datuk Musa mengharapkan semua pihak supaya bersikap lebih rasional dan melihat perkara itu dengan lebih jelas dan tepat kerana sememangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah sama-sekali mengetepikan kepentingan rakyat dan negeri Sabah berhubung isu royalti minyak itu.

"Saya berharap semua pihak khususnya dalam kalangan BN supaya tidak terikut-terikut atau terperangkap dengan rentak pembangkang dalam isu ini," katanya.

Seperti yang dijelaskannya, semua pihak tidak seharusnya melihat dari aspek royalti saja. Sebaliknya, soal pembangunan juga harus diambil kira memandangkan Sabah telah menerima peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan dalam melaksana pelbagai program pembangunan.

Apapun pertimbangan dan rasional, Kuala Lumpur tidak harus melihat suara dan bisikan orang Sabah itu sebagai bersifat emosi dan kenegerian.

Sementara fakta perjanjian diakui sebagai fakta, namun banyak cara dan kaedah boleh dilakukan untuk menimbangi tuntutan serta keperluan.

Yang penting dan diharapkan oleh orang Sabah ialah tambahan hasil daripada sumber minyak yang dikeluarkan dari negeri ini.


No comments: