Translate

Wednesday, November 12, 2008

MENYEMAI BENIH INTEGRITI, MENGHAPUS PERSEPSI NEGATIF


DI NEW SOUTH WALES, Australia, agensi antirasuahnya dikenali sebagai Independent Commission Against Corruption, manakala di Hong Kong, ia dikenali sebagai Independent Commission On Anti-Corruption (ICAC).

Kedua-duanya adalah antara model agensi antirasuah terbaik di dunia.

Sementara di negara kita, agensi pencegahan rasuah dikenali sebagai Anti-Corruption Agency (ACA) atau dalam Bahasa Melayunya, Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Apapun sebutan, nama atau singkatan akronimnya, fungsi dan matlamatnya adalah sama – untuk membanteras dan memerangi rasuah, sambil menegakkan integriti.

Bagi memantapkannya, kerajaan telah membangunkan Pelan Integriti Nasional (PIN) serta menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertujuan mendidik dan menggalakkan rakyat Malaysia menegakkan integriti dan memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.

Terbaru, kerajaan mengumumkan mengenai penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana rang undang-undang mengenainya bakal dibentangkan di Parlimen – dengan matlamat utama menjurus ke arah pembentukan sebuah badan pencegahan rasuah yang lebih berwibawa dan berkesan.

Selain menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997, SPRM juga akan membawa kepada pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Penubuhan SPRM adalah berdasarkan model agensi antirasuah di Australia dan Hong Kong yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.

Ketika mengumumkan penubuhan SPRM itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa suruhanjaya itu akan tertakluk kepada pemantauan luar melalui sistem semak dan imbang yang komprehensif.

“Segala usaha telah diambil untuk memastikan SPRM yang bakal diwujudkan benar-benar berkesan dan mampu memenuhi kehendak serta aspirasi rakyat,” katanya.

LPPR akan dianggotai oleh individu-individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Mereka akan terdiri daripada kalangan yang terpuji, berintegriti dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Mengikut konsepnya, lembaga penasihat itu akan bertanggungjawab menasihati suruhanjaya terhadap perkara-perkara berkaitan dengan masalah rasuah di Malaysia.

JKMR pula akan terdiri daripada kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk menerima dan meneliti laporan tahunan yang wajib dikemukakan oleh suruhanjaya.

Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan pembentukan dua panel lagi, iaitu Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Langkah dan usaha terbaru kerajaan ini merupakan antara pendekatan untuk membersihkan persepsi serta tanggapan bahawa BPR tidak bebas sebagaimana yang sering dikatakan oleh pihak-pihak tertentu.

Biarpun BPR melaksanakan tugas dan tanggungjawab berdasarkan fakta dan realiti, namun ada terdapat suara-suara sumbang terus bergema dengan melemparkan pelbagai tohmahan, dakyah dan fitnah. Kononnya BPR tidak bebas, kononnya BPR berat sebelah, kononnya BPR dipengaruhi campurtangan politik. Dan bermacam-macam kecaman pedas dan kritikan sumbang lagi.

Biarpun BPR telah mengambil tindakan terhadap para pembesar termasuk menteri, pemimpin politik pegawai tinggi kerajaan (malahan banyak kes berprofil tinggi kini dalam perbicaraan), namun masih kedengaran suara dan sebutan-sebutan liar kononnya BPR “memilih bulu” dan “mencari ikan bilis saja”.

Pemantapan kerangka undang-undang antirasuah menerusi SPRM, diharap dapat memperbetulkan persepsi umum terhadap kesungguhan dan komitmen kerajaan memerangi rasuah di negara ini.

Rakyat sememangnya mengharapkan suatu ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang, justeru pendekatan lebih komprehensif diperlukan untuk memupuk keyakinan masyarakat.

Penubuhan SPRM yang terhasil menerusi satu resolusi pada Konvensyen Integriti Nasional di Putrajaya tahun lepas, diyakini mampu membawa dimensi baru dalam sistem perundangan antirasuah di negara ini. Ia juga merupakan manifestasi terhadap komitmen pimpinan tertinggi kerajaan yang telah meletakkan integriti dan anti-rasuah sebagai salah satu prioriti utamanya yang diperhebatkan sejak 2003.

Saya masih teringat intipati ucapan Perdana Menteri di 'World Ethics and Integrity Forum' pada tahun 2005, yang menyatakan bahawa perjuangan integriti dan anti-rasuah harus dilihat dari sudut ekonomi, yakni keperluan negara untuk meningkatkan daya saing ekonominya.

Menurut Perdana Menteri, pelabur asing lebih berminat untuk melabur di ekonomi yang stabil, efisien dan 'cost-effective' di mana masalah rasuah berada pada tahap yang rendah.

Menyedari hakikat inilah, maka Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, perlu terus berusaha gigih untuk membanteras rasuah dan menegakkan integriti.

Inilah yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini -- menyemai benih integriti di semua peringkat masyarakat.

No comments: