Translate

Wednesday, November 5, 2008

PEMIMPIN BERBAKTI, AHLI MEMBERI "REWARD"

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ahli-ahli Umno di kawasan saya, Kota Belud, kerana terus memberi sokongan padu ketika pemilihan diadakan pada 2 November lalu.

Sokongan mereka itu membolehkan saya kembali menerajui semula Umno Bahagian Kota Belud. Secara peribadi, pada peringkat awal, saya tidaklah menaruh harapan yang terlalu tinggi apabila dicalonkan oleh beberapa cawangan untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian, tetapi apabila semakin banyak pencalonan saya terima, ia memberi semangat, harapan dan kekuatan kepada saya.

Rupanya ahli-ahli Umno di kawasan saya tidak pernah meminggirkan saya biarpun tidak lagi menjadi Ketua Bahagian dan setelah tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum ke-12 pada bulan Mac lepas.

Beberapa minggu sebelum mesyuarat perwakilan diadakan, persoalan dalam pemikiran saya ia lah apakah pencalonan yang saya terima itu sememangnya berpaksikan keikhlasan. Biarpun ramai yang saya temui dan menemui saya menyatakan sokongan secara terbuka, namun hati berdebar juga menunggu hari penentuan 2 November.

Semua pertanyaan dan debaran itu akhirnya terjawab setelah keputusan pemilihan Umno Kota Belud diumumkan pada malam Ahad, 2 November. Keputusan rasmi menyatakan saya memperolehi kemenangan dengan majoriti 47 undi. Keseluruhannya, saya mendapat 341 undi, manakala penyandang jawatan itu, Datuk Musbah Jamli hanya memperoleh 294 undi.

Pemilihan yang dibuat menerusi proses demokrasi itu menunjukkan betapa ahli Umno akar-umbi menjadi penentu halatuju dan perjuangan parti serta kepimpinan. Inilah teras kekuatan Umno sebagai tunjang pemerintahan kerajaan dan negara kita. Keputusan ahli mesti dihormati. Pemilihan yang mereka buat harus disanjungi.

Saya menghargai dan menyanjung tinggi sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli Umno Bahagian Kota Belud. Mereka memberikan ”reward” sebagai penghargaan atas segala khidmat bakti yang saya curahkan kepada mereka selama ini.

Inilah manifestasi sebuah perjuangan. Kita harus bekerja dan terus bekerja biarpun tanpa jawatan dan kedudukan. Apabila tiba masanya, ahli parti akan memberikan reward serta penghargaan kepada kita menerusi pelbagai cara. Kita mungkin tidak mengharapkan apa-apa ganjaran daripada khidmat bakti yang diberi, tetapi ahli yang bijaksana dan pandai menilai, akan memberikan kita sesuatu yang barangkali tidak terfikirkan sebelum ini.

Jawatan dan kedudukan hanyalah satu platform untuk berbakti. Tetapi seorang ahli parti yang ikhlas dalam perjuangan tidak menjadikan ketiadaan jawatan sebagai penghalang untuk menabur bakti kepada ahli demi untuk perjuangan parti.

Kini, dengan jawatan sebagai Ketua Bahagian, sudah tentu saya mempunyai sebuah platform untuk terus berbakti kepada ahli dan parti secara lebih berkesan lagi. Usaha terawal saya selepas ini adalah untuk memastikan Umno Kota Belud bergerak pada landasan yang kukuh, seiring proses pengukuhan parti di peringkat Pusat.

Selaras dengan proses peralihan kepimpinan yang dijadualkan Mac tahun depan, dan setelah menghadapi suatu fasa yang tidak tenteram selepas berakhirnya pilihan raya umum lepas, kini adalah masa untuk memulihkan keyakinan di kalangan ahli Umno dalam ertikata sebenar.

No comments: