Translate

Wednesday, May 28, 2008

PERPADUAN AGENDA UTAMA NEGARA,PEMANGKIN KEMAJUAN TAMADUN BANGSA

SAYA bersama keluarga kini berada di Perth, Australia, bercuti sambil melawat anak-anak yang sedang menuntut di sebuah universiti di sini.

Inilah antara amalan saya setiap kali musim cuti sekolah, iaitu membawa keluarga melancong sama ada dalam atau luar negara.

Bagi saya, cara ini bukan saja dapat terus memperkukuhkan institusi kekeluargaan, tetapi juga membolehkan kita melihat tempat-tempat menarik, sambil anak-anak merehatkan otak daripada kesibukan dengan buku-buku pelajaran.

Dalam percutian sebegini, kita juga dapat melihat gelagat dan sikap manusia di tempat-tempat yang kita kunjungi. Memang pun menjadi minat saya memerhati kehidupan masyarakat.

Begitu pun, dalam percutian seperti ini, saya tetap mengikuti perkembangan di negara sendiri dengan melayari internet. Jadi, tidaklah tertinggal maklumat mengenai apa yang berlaku di tempat sendiri biarpun berada jauh di luar negara.

Inilah kecanggihan dunia tanpa sempadan, dengan sentuhan jari saja, kita dapat “kembali” ke tanah air.

Sehari selepas tiba di sini, saya melayari laman web Bernama untuk mengetahui perkembangan di tanah air. Dan saya tertarik dengan satu berita bertajuk “Jadikan perpaduan agenda utama negara” yang memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan Bulan Perpaduan peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Laporan itu menyebut Najib mahu setiap rakyat memperkasakan perpaduan sebagai agenda utama negara kerana ia merupakan asas penting dalam menentukan kejayaan negara.Menurutnya, rakyat bukan tidak boleh mempunyai perbezaan pendapat tetapi hendaklah menyuarakannya secara berhemah.

Secara peribadi, saya juga sependapat pentingnya perpaduan itu dipelihara dan terus diperkukuhkan kerana ia menjadi prasyarat untuk kemajuan sesebuah tamadun bangsa.

Secara perbandingan, tahap perpaduan rakyat majmuk di Sabah cukup tinggi biarpun berlainan fahaman dan latarbelakang. Dengan memiliki lebih 32 kaum dan sub-etnik, negeri Sabah begitu padu dan intim perpaduan mereka. Mereka bersuara dalam satu nada, bergerak dalam satu matlamat dan melangkah dalam satu destinasi.

Bukan rahsia lagi realiti di Sabah di mana masyarakatnya boleh bercampur gaul dalam suasana muhibah. Misalnya di kedai-kedai makan di mana-mana bandar di Sabah, sebuah kedai itu biasanya dikongsi bersama oleh peniaga Islam yang menjual soto dan rojak dengan peniaga Cina pula menjual minuman atau masakannya sendiri, justeru pelanggan mereka juga tentulah dari pelbagai kaum.

Begitu juga dalam sambutan perayaan, ternasuk Pesta Kaamatan (Menuai) yang kemuncaknya diraikan pada 30 dan 31 Mei ini, secara tradisi, pastinya dihadiri ribuan rakyat daripada pelbagai latarbelakang dan kepercayaan.

Dengan tema sambutan Pesta Kaamatan kali ini, iaitu Keamanan Menerusi Kaamatan, sudah pasti ia akan menjadi satu lagi wadah atau jambatan memperkukuhkan jalinan perpaduan antara rakyat yang berbilang kepercayaan, fahaman dan ideologi.

Perpaduan dan muafakat rakyat Sabah menjadi model terbaik kerana mereka sentiasa komited dalam sesuatu perkara, malah sedia bertindak senada dalam banyak hal.

Sunday, May 25, 2008

ANTARA URA-URA LOMPAT PARTI DAN TUNTUTAN LAYANAN YANG BERPAKSI SEMANGAT KEMERDEKAAN

BULETIN Utama TV3 malam Jumaat (16 Mei) menyiarkan laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan melawat Sabah penghujung bulan ini -- dikatakan untuk menangani beberapa isu semasa, termasuk cerita lompat parti penyokong kerajaan, pendatang tanpa izin (PTI) dan pembangunan infrastruktur.Lawatan itu tentunya dinantikan penuh “excited” oleh pemimpin dan rakyat Sabah, berikutan banyaknya isu tertangguh yang menanti jawapan dan penyelesaian di pihak Kerajaan Persekutuan.Malahan, sejak seminggu lalu, kebanyakan akhbar tempatan di Sabah dan juga media online memberi fokus kepada cerita pemimpin Sabah yang menyuarakan bermacam tuntutan mengenai pelbagai hal dan isu semasa.Seperti biasa, saya turut membaca akhbar dan melayari internet setiap kali ada kesempatan. Apa yang saya dapati, semakin ramai pemimpin berani tampil memberi komen, pandangan dan ulasan mereka secara terbuka dan berterus-terang. Akhbar-akhbar juga bersikap terbuka dengan menyiarkannya mengikut keutamaan dan berasaskan kepada nilai berita itu sendiri.Apa yang disuarakan oleh mereka meliputi banyak isu, kebanyakannya isu tertangguh, misalnya soal royalti minyak, pendatang tanpa izin (PTI), soal pembangunan infrastruktur serta hak dan peranan orang Sabah dalam sistem pentadbiran kerajaan.Kira-kira dua minggu lalu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, menyangkal dakwaan akan melompat parti, tetapi membayangkan tidak salah “berpindah dari banglo besar ke rumah teres” jika ia untuk kebaikan dan membawa keselesaan.Anifah turut menyifatkan dakwaan ada penyokong kerajaan yang akan lompat parti sebagai satu penghinaan kepada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah. Yang sedihnya, kata beliau, isu-isu berkepentingan rakyat Sabah kini tenggelam ekoran adanya dakwaan ada Ahli Parlimen BN akan melompat parti. Kenyataan beliau itu mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk dari kalangan pemimpin BN Sabah sendiri. Umumnya, ulasan mereka sependapat dengan isu serta perkara yang dibangkitkan oleh Anifah, malah ada yang memberi kredit kepadanya atas kelantangan suara yang berdasarkan fakta itu.Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghafur Salleh, juga merupakan antara pemimpin Sabah yang begitu lantang bersuara di dalam Dewan Rakyat mengenai isu Sabah. Beliau mahu supaya segala luahan dan keluhan rakyat Sabah mengenai pelbagai isu tidak dipandang ringan oleh kerajaan kerana ia boleh membawa implikasi besar pada pilihan raya akan datang.Sambil merujuk kenyataan Anifah sebelum itu sebagai mencerminkan sentimen rakyat Sabah, Ghapur tidak mahu orang Sabah dianggap sebagai mengarut.Ghapur turut menyifatkan jawatan Timbalan Menteri yang diberi kepadanya dan Anifah, sebagai suatu penghinaan kerana Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk semula Kerajaan Persekutuan sekarang.Berikutan kelantangan suara pemimpin Sabah di Parlimen, maka timbul pula cerita mengenai ura-ura penyokong BN melompat parti. Beberapa nama dikaitkan, tetapi sebahagian mereka sudahpun menafikannya.Sewaktu diminta mengulas ura-ura itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, memberi jaminan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen dari negeri ini tidak akan berpaling tadah kepada pakatan pembangkang.''Kita yakin mereka adalah wakil rakyat yang berwibawa dan tidak mudah dijual beli. Mereka sebelum ini dipilih oleh rakyat atas nama BN dan tidak boleh bertukar begitu sahaja," katanya.Keyakinan Musa itu turut dikongsi oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitingan, yang menyatakan bahawa usaha menjatuhkan kerajaan BN tidak akan berjaya.Pairin menjelaskan bahawa pengalaman kerajaan negeri dijatuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1994 adalah satu senario politik yang jauh berbeza berbanding hari ini.Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menafikan spekulasi baru kononnya terdapat parti komponen dari Sabah akan menyertai pakatan pembangkang dalam masa terdekat.Pertengahan minggu lalu, ura-ura lompat parti itu hangat dibualkan, malah dikatakan turut disebar menerusi khidmat pesanan ringkas ISMS) di sekitar lobi Parlimen.Cerita itu menjadi lebih panas berikutan kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, yang dilapor memberi tempoh sehingga Ogos bagi penyelesaian ke atas beberapa isu tertangguh membabitkan kepentingan rakyat Sabah.Yong dikatakan menemui Perdana Menteri pada Selasa, tetapi sebuah laman web yang menemuramahnya memetik beliau sebagai berkata: “Saya cuma mendapat penegasan semula daripada pertemuan itu dan tiada sesuatu yang kukuh diberikan.”Baginya, isu lompat parti itu sebenarnya berkait soal pelaksanaan janji-janji pembangunan untuk Sabah yang sudah ketinggalan selama 20 tahun.Terbaru, tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu turut dikaitkan dengan ura-ura lompat parti, biarpun beliau (Pandikar Amin) sudahpun memberi penjelasan bahawa tindakanya itu adalah untuk memberi tumpuan kepada tugas barunya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.Dengan hakikat Yong memberi tempoh sehingga Ogos dan Anwar pula memberi tarikh sebelum 16 September sebagai perubahan politik di Sabah, tidak hairanlah isu lompat parti ini akan terus mewarnai pentas politik Sabah dalam beberapa minggu ke hadapan ini.Secara peribadi, saya juga telah memberikan komen mengenai perkara yang dibangkitkan dalam akhbar di Sabah pada 12 Mei lepas, dengan menyatakan bahawa Kerajaan Pusat kena mengambil perhatian terhadap segala isu yang dibangkitkan oleh pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dari Sabah.Ini kerana apa yang disuarakan oleh pemimpin tersebut sebenarnya mewakili sentimen orang Sabah.Bagi saya, kerajaan kena mengambil tindakan sewajarnya. Jangan pandang ringan terhadap rungutan yang dibuat, sebaliknya mengambil langkah drastik.Lagipun, layanan yang dituntut adalah selari dengan semangat kemerdekaan dan berasaskan persefahaman ketika mencapai kemerdekaan dahulu.