Translate

Wednesday, July 30, 2008

MENGELAK DILEMA MENJELANG MESYUARAT BAHAGIAN UMNO

BIARPUN mesyuarat bahagian-bahagian Umno belum bermula, tetapi kenyataan awal para pemimpin Umno di Sabah menunjukkan kesediaan mereka untuk mencalonkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Disember depan.

Biarpun Datuk Seri Musa sendiri belum membuat pengesahan untuk bertanding jawatan itu, namun sudah banyak bahagian secara terbuka menyatakan pendirian untuk mencalon dan menyokongnya bagi jawatan tersebut.

Inilah unik dan istimewanya Umno Sabah yang tetap senada suara mereka dalam menghadapi cabaran politik kepartian.

Inilah juga sebenarnya kekuatan Umno di Sabah yang semestinya memberi sokongan padu dan tidak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Musa selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah.

Melihat kepada trend pendirian pemimpin-pemimpin bahagian Umno Sabah setakat ini, adalah diyakini Datuk Seri Musa akan mendapat sokongan yang “solid” daripada kesemua 25 bahagian Umno di negeri Sabah.

Bermula dengan kenyataan terbuka Ketua Umno Bahagian Putatan, Datuk Yahya Hussin, untuk mencalonkan Datuk Seri Musa bagi jawatan Naib Presiden, ia kemudiannya diikuti oleh bahagian-bahagian lain, antaranya Kota Belud, Penampang, Kota Marudu, Tuaran, Sandakan, Sipitang, Kota Kinabalu dan banyak lagi.

Bagaimanapun, sehingga awal minggu ini, Datuk Seri Musa belum membuat keputusan sama ada bertanding Naib Presiden atau mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi(MT) yang disandangnya sekarang.

Menurut Datuk Seri Musa, beliau akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin Umno yang lain termasuk di Semenanjung sebelum membuat keputusan.

"Saya hanya akan membuat keputusan setelah berbincang dan mendapat pandangan dari pemimpin Umno di Sabah dan rakan-rakan di Semenanjung...adakah perlu saya bertanding untuk Naib Presiden ataupun pertahankan kerusi ahli Majlis Tertinggi," kata Datuk Musa.

Kenyataan Datuk Musa itu pastinya meletakkan pemimpin dan bahagian-bahagian Umno di Sabah dalam dilema.

Ini berikutan pada 15 Julai lalu, seorang lagi pemimpin Umno dari Sabah, iaitu Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, telah mengumumkan secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Disember nanti.

Ketika mengumumkan hasrat itu, Datuk Shafie berkata penawaran itu dibuatnya bagi memenuhi hasrat umum rakyat Sabah yang mahu diberikan tempat di dalam tampuk kepimpinan kanan dalam parti dan kerajaan.Shafie merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, iaitu pemimpin Nombor 2 dalam hieraki kepimpinan Umno Sabah selepas Datuk Seri Musa.

Lebih menjadi dilema lagi bagi bahagian-bahagian membuat ketetapan apabila Datuk Shafie dilaporkan berkata bahawa beliau mendapat restu daripada Datuk Seri Musa sendiri.

"Saya menawarkan diri bukan mahu mengejar jawatan, tetapi lebih untuk menjaga kebajikan parti dan ini tidak akan bermakna, jika kita menang tapi akhirnya parti berpecah belah," katanya.

Seperti yang dijelaskannya, penyatuan anggota Umno lebih penting daripada perjuangan peribadi yang hanya mahu merebut jawatan semata-mata tanpa memikirkan hakikat perjuangan sebenar.

Mengambil kira perkembangan politik mutakhir ini, barangkali elok jika ada “confirmation” awal daripada Datuk Seri Musa mahupun mana-mana pemimpin yang mahu bertanding jawatan tertentu, untuk mengelak kekeliruan dan dilema di kalangan ahli-ahli parti.

Ini jelas berlaku apabila Datuk Shafie mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden, sebuah akhbar nasional tersalah lapor dengan memetiknya sebagai berkata bahawa keputusan menawarkan diri bertanding Naib Presiden itu dibuat setelah tidak ada pemimpin dari Sabah yang menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan itu.

Keesokan hari ini, Datuk Shafie terpaksa membuat penafian bahawa dirinya bukanlah calon tunggal Naib Presiden dari Sabah.

Katanya, semua pemimpin Umno Sabah daripada pelbagai peringkat boleh menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu kerana tiada sekatan untuk berbuat demikian.Shafie yang juga Ketua Bahagian Umno Semporna berkata tidak benar beliau telah membuat pengumuman bahawa Ketua Menteri Sabah (Datuk Musa) tidak akan bertanding pada pemilihan parti.


Secara peribadi, saya berpendapat pengesahan awal diperlukan untuk memudahkan bahagian-bahagian menguruskan proses pencalonan dalam mesyuarat masing-masing.

Ini bukan saja terhad bagi pemimpin dari Sabah, tetapi bagi semua pemimpin Umno yang berhasrat bertanding apa-apa jawatan di peringkat kepimpinan MT pada Disember nanti.

Saya percaya banyak bahagian memerlukan ”signal” sebelum membuat pencalonan dalam mesyuarat mereka.

Bahagian-bahagian yang akan bersidang sudah tentu akan membuat keputusan siapa akan dicalonkan untuk Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, para AMT serta juga pemimpin di peringkat Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Persoalan mengenai siapa calon Naib Presiden dari Sabah tidak berbangkit lagi sekiranya Datuk Seri Musa menyatakan pendiriannya untuk menerima saranan bertanding jawatan itu.

Ini kerana, secara peribadi, saya percaya Datuk Seri Musa secara automatik akan menjadi wakil Umno Sabah atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan sekali gus akan diberikan sokongan padu oleh kesemua 25 bahagian.

Begitupun, ia tidak bermakna pemimpin lain seperti Datuk Shafie tidak lagi boleh bertanding. Ini kerana hak demokrasi dan Perlembagaan Umno tidak menghalang mana-mana ahlinya bertanding apa jua jawatan dan di peringkat mana sekalipun.

Tambahan pula, keputusan akhir terletak kepada perwakilan yang akan mengundi pada perhimpunan agung kelak.

Jika Datuk Seri Musa menyatakan pendiriannya awal, sudah tentu setiap bahagian tidak dilanda dilema dalam membuat pencalonan kelak. Apabila mesyuarat bahagian diadakan, mereka sudah tahu nama pemimpin mana dimasukkan satu daripada tiga slot Naib Presiden.

Pengumuman awal bukan sekadar dapat mengelak dilema, tetapi juga memperkukuhkan parti mengharungi cabaran menjelang mesyuarat bahagian-bahagian Umno tidak lama lagi.

Monday, July 28, 2008

KEBAIKAN MEMBUAT PERKARA YANG BAIK

MINGGU lalu, saya menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPPM) cawangan Sabah. Rombongan 10 orang itu diketuai oleh Yang Dipertua PBPPM Sabah, Datuk Khamis Noyo.

Mereka datang ke kediaman saya di Likas bagi menyampaikan keputusan melantik saya semula sebagai Penasihat persatuan itu bagi penggal 2008-2010.

Saya ucap terima kasih kepada mereka atas kepercayaan yang diberi. Saya terima pelantikan mereka itu atas prinsip tidak mahu menghampakan harapan mereka selain sama-sama menyumbang setakat mana yang termampu dan selagi diperlukan.

Saya menjamu mereka dengan sarapan pagi nasi lemak berbungkus yang disediakan oleh Isteri saya. Sambil makan dan minum kopi, kami berbual mengenai bermacam perkara. Daripada kisah kehidupan orang pencen sehingga kepada soal suasana ekonomi semasa dan perkembangan politik mutakhir ini.

Banyak hal mereka ceritakan dan saya mendengarnya dengan penuh minat. Ada juga yang bertanya kepada saya mengenai Usbo yang saya pimpin dan saya jelaskan kepada mereka perkara sebenar. Juga ada yang bertanya mengenai kepimpinan parti dan kerajaan. Dan saya perjelaskan kepada mereka dari sudut pandangan saya.

Saya turut menjelaskan kepada mereka bahawa dalam hidup ini kita perlu ambil pertimbangan dua perkara.

Pertama, fikirkan hal hari ke hari. Apa yang mahu disempurnakan hari ini? Apa yang mahu dimakan hari ini? Apa yang mahu dicapai hari ini? Jangan memikirkan hal-hal yang terlalu jauh ke hadapan.

Kedua, rancang kehidupan masa depan. Apa matlamat untuk meningkatkan ekonomi, berniaga? Ke universiti atau Institusi Pengajian Tinggi mana hendak menghantar anak belajar? Ke negara atau negeri mana hendak bercuti, sama ada dengan keluarga atau sesama ahli persatuan? Kita ada matlamat dan sasaran.

Maknanya, kita kena fikir tentang perkara yang dekat dengan diri kita setiap hari terlebih dahulu sebelum merancang masa depan yang lebih jauh.

Saya berpesan demikian kerana pada pendapat saya, dalam hidup ini ada tiga perkara yang akan diingati.

Pertama, siapa keturunan kita, ibu bapa kita? Kedua, siapa diri kita. Dan ketiga, siapa pewaris kita, anak-anak kita?

Jika kita dapat memikirkan hal ini (memikirkan tentang urusan hari ini dan merancang masa hadapan), sudah pasti kita akan membuat sesuatu perkara yang baik saja, dan tiga perkara yang diingati itu akan menjadi perkara yang baik-baik belaka.

Sebaliknya, jika kita tidak memikirkan perkara hari ini dengan sebaik-baiknya, berkemungkinan kita melakukan sesuatu yang tidak baik. Begitu juga, jika kita tidak merancang masa depan dengan baik, berkemungkinan kita akan membuat suatu keputusan yang tidak baik. Akhirnya, tiga perkara yang diingati itu akan menjadi suatu perkara yang tidak baik.

Oleh itu, marilah kita buat sesuatu yang terbaik untuk diri kita, keluarga kita, bangsa kita dan negara kita. Banyak pahala dan kebaikan daripada perbuatan yang baik-baik.



Saturday, July 19, 2008

BERHATI-HATI, JANGAN DITIPU OLEH PENIPU

SEWAKTU berbual dengan beberapa kawan-kawan selepas bermain golf baru-baru ini, banyak kisah dan cerita menarik saya dengar. Daripada cerita mengenai politik hingga kepada soal harga barangan yang dikatakan semakin meningkat dan membebankan.

Tidak terlepas juga cerita kami berkisar mengenai hidup berkeluarga dan pendidikan anak-anak. Saya bersetuju dengan pendapat mereka bahawa dalam apa keadaan sekalipun, keluarga dan anak-anak,termasuk soal pendidikan perlu sentiasa jadi keutamaan.

Saya juga mendengar bermacam cerita bagaimana orang menipu dan mengharap dalam menghadapi zaman kegawatan ini.

Satu kisah yang diceritakan oleh seorang pegawai kerajaan kepada kami ialah tentang modus operandi pihak tertentu yang menjanjikan sesuatu pulangan yang lumayan kepada orang ramai, kononnya untuk menyertai satu projek besar dengan pendapatan cukup baik.

Menurut cerita pegawai tersebut, mereka yang mahu menyertai skim atau projek yang dicadangkan itu, yang kononnya dilaksanakan di luar negara, perlu menyediakan salinan geran tanah mereka, membuka akaun dan membayar RM50 kepada pihak terbabit untuk mendengar ceramah yang diadakan.

Khabarnya ramai juga orang kampung terpengaruh dengan cerita itu yang dikatakan sudah berlanjutan sejak beberapa bulan.

Tetapi yang peliknya, mereka yang awal-awal sudah menyertai skim tersebut dikatakan masih tidak mendapat apa-apa pulangan sebagaimana dijanjikan.

Tidak diketahui sejauh mana ketulenan skim yang dianjurkan itu. Barangkali selepas ini, akan ada “mangsa” membuat laporan polis setelah merasakan mereka tertipu atau ditipu.

Saya katakan kepada mereka bahawa dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, sememangnya banyak orang akan melakukan macam-macam hal untuk mencari duit. Mereka yang desperate akan mengambil kesempatan daripada kegawatan untuk meraih keuntungan. Sementara orang ramai yang juga tertekan akibat kegawatan akan mencuba nasib. Barangkali mereka berpendapat “tidak apa bayar RM50 saja, geran tanah pun bukan salinan asal diberikan…cuma fotostat, manalah tau projek ini menjadi kenyataan..untung besar.”

Tetapi bayangkan juga berapa banyak diperolehi oleh penganjur jika setiap minggu beliau berjaya memujuk 500 orang, jumlahnya RM25,000 dan itulah pendapatan mingguan.

Pesanan saya kepada semua, kita perlu berhati-hati sebelum membuat keputusan menerima sesuatu tawaran atau pelawaan apatah lagi yang melibatkan janji pendapatan yang luar biasa. Kita perlu dapatkan kepastian mengenai kesahihan sesuatu skim itu daripada pihak berkuasa, termasuk polis sebelum menyertainya.

SHAFIE TANDING NAIB PRESIDEN— KEPIMPINAN PRAGMATIK DAN PENGALAMAN LUAS JADI SANDARAN

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Haji Mohd. Shafie Haji Apdal telah membuat pengumuman untuk menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Dengan pengesahan Datuk Shafie bertanding jawatan itu, ia sekali gus menjadi sejarah kali kedua bagi pemimpin dari Sabah bertanding jawatan Naib Presiden Umno selepas Datuk Seri Panglima Osu Sukam mencuba nasib tidak berapa lama dahulu.

Secara peribadi, saya memang sudah lama mengenali Datuk Shafie. Dulu beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) yang saya pimpin. Dan apabila PSBB kini bertukar menjadi USBO, beliau terus bersama kami dengan menerima pelantikan sebagai Penasihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini.

Datuk Shafie sememangnya seorang pemimpin yang sudah bertaraf nasional.
Kepimpinan beliau dalam Umno mulai menonjol sewaktu menjadi Ketua Pemuda Umno Sabah, dengan pendirian tegas serta suara yang begitu vocal. Kemudian beliau menjadi Ahli Parlimen Semporna dan Ketua Umno Bahagian Semporna dan kini menduduki kerusi dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno. Kini Datuk Shafie menjadi orang nombor dua dalam Badan Perhubungan Umno Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Dalam kerajaan pula, Datuk Shafie juga menaiki tangga kejayaan yang begitu membanggakan, bermula sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan berpindah sebagai Timbalan Menteri Pertahanan sebelum menjadi menteri penuh di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri danHal-Ehwal Pengguna, dan kini berpindah ke Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian saja daripada profil kerjaya politik dan pentadbiran beliau kerana sememangnya banyak lagi fakta kejayaannya yang tidak saya sebutkan.

Jadi, apabila Datuk Shafie membuat pengumuman bertanding jawatan Naib Presiden, saya merasakan sudah tiba masanya bagi beliau menaiki satu lagi tangga dalam kepimpinan Umno.

Datuk Shafie kini sudah bertaraf pemimpin nasional, dikenali di seluruh negara.Hal ini penting kerana seseorang pemimpin yang mahu mengetengahkan diri dalam politik Umno, ia tidak boleh sekadar menjadi pemimpin negeri semata-mata. Seorang pemimpin Umno, baik pada sayap MT mahupun Naib Presiden, seseorang mesti menganggap dirinya sebagai pemimpin nasional dan bukan lagi sebagai pemimpin negeri yang diwakili saja.

Menyedari hakikat inilah, saya yakin dan percaya Datuk Shafie berpeluang untuk memenangi kerusi Naib Presiden , bukan saja kerana sokongan padu dan kuat daripada Umno Sabah, tetapi juga dari negeri-negeri lain di mana Shafie turut diiktiraf sebagai pemimpin kebangsaan.

Keyakinan ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Datuk Shafie ketika membuat pengumuman tempoh hari bahawa “keputusan ini (bertanding Naib Presiden) dibuat setelah berbincang dengan pemimpin kanan parti serta ahli akar umbi UMNO Negeri Sabah serta selepas mendapatkan nasihat dan pandangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.”

Dengan mengambil kira keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lepas di mana Sabah menjadi antara penyumbang terbesar kepada kemenangan Barisan Nasional (BN), saya yakin ahli Umno dari seluruh negara akan memberikan penghargaan atas sumbangan itu dan satu daripada caranya ialah dengan mengangkat serta meletakkan pemimpin dari Sabah ke satu kedudukan yang sewajarnya.

"Menyedari bahawa UMNO di negeri Sabah semakin kukuh sejak parti itu melebarkan sayapnya ke negeri ini, adalah menjadi hasrat umum agar suara rakyat di Sabah diberi tempat di dalam tampuk kepimpinan kanan dalam parti dan kerajaan," demikian kata Shafie.

Senario politik negara, khususnya Umno, juga sudah banyak berubah semenjak berakhirnya pilihan raya lepas. Malahan, persepsi politik pemimpin Umno terhadap Sabah pada waktu ini juga sudah jauh lebih baik berbanding dahulu.

Janji dan komitmen Datuk Shafie untuk memberi khidmat terbaik kepada Umno, dengan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden, tentunya akan menjadi pertimbangan perwakilan untuk membuat pilihan pada perhimpunan agung nanti.

Kepimpinan pragmatik dan pengalaman luas Datuk Shafie yang bermula dari bawah hingga ke peringkat nasional, tentunya menjadi sandaran baginya menuju kejayaan.

Apapun, keputusan akhir terletak pada perwakilan yang menjadi hakim untuk menentukan siapa yang akan dipilih nanti. Perwakilan menentukan halatuju dan masa depan parti dalam mengharungi cabaran yang terbentang luas di hadapan.

Thursday, July 17, 2008

DEBAT SUBURKAN DEMOKRASI

PETANG Selasa yang lalu, saya tidak bermain badminton bersama kawan-kawan seperti kebiasaannya kerana saya dan isteri mahu menonton siaran lansung perdebatan ala "Presidential Debate America" antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang amat bersejarah.

Menurut penganjur debat, Agendadaily, siaran lansung itu telah menarik minat 4.4 juta penonton dan ini membuktikan program seperti ini memang ditunggu-tunggu oleh masyarakat.

Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menyakinkan kedua-dua pihak untuk menyertai debat seperti ini. Sudah tentu ia bukan mudah dilakukan, tetapi ia telah menjadi realiti.


Sebenarnya, budaya berdebat perlu diterapkan kepada semua ahli-ahli masyarakat kerana ia mampu untuk mencari penyelesaian kepada banyak masalah. Ia membantu untuk "mengurus" perbezaan pendapat atau pendekatan. Ia juga menanamkan sikap menghormati pandangan dan prinsip mana-mana individu walaupun tidak dipersetujui. Ia juga mampu mendidik untuk membezakan soal isu dan peribadi.

Kesimpulannya, debat akan mematangkan pemikiran kita dan mengetepikan emosi dalam menghadapi apa-apa permasalahan yang dihadapi, khususnya dalam isu-isu politik.


Debat boleh dilakukan secara formal atau tidak formal. Kadangkala dilakukan melalui media massa sama ada melalui arus perdana atau media alternatif. Ia juga boleh berlaku di warung-warung kopi atau di pelbagai tempat. Khidmat Pesanan Ringkas(SMS) dan e-mail juga dimanfaatkan untuk berdebat.

Pokoknya ialah dalam perdebatan, ada pandangan berbeza dan masing-masing akan mempertahankan hujah dengan fakta yang mereka ketahui. Soal menang atau kalah bukan menjadi ukuran kepada siapa yang betul atau salah. Dalam sistem demokrasi, parti yang mendapat kepercayaan rakyat untuk memerintah dipertanggunjawabkan untuk melaksanakan dasar yang terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat setelah mengambil kira perdebatan umum mengenai sesuatu isu.

Parti pembangkang pula bertanggunjawab untuk mengemukakan pandangan dan teguran membina.


Debat yang berdisiplin membantu menambahkan ilmu kepada masyarakat dan menyuburkan sistem demokrasi.

Tuesday, July 15, 2008

KEPUTUSAN SPEAKER TOLAK USUL UNDI TIDAK PERCAYA TEPAT

KEPUTUSAN Speaker Dewan Rakyat untuk menolak Usul Tidak Percaya ke atas Perdana Menteri oleh Ketua Pembangkang amat bertepatan dan sepatutnya dihormati oleh ADR Pakatan Rakyat. Sudah tentu Speaker telah memikirkan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan tersebut dengan mengambil kira semua perkara.


Pakatan Rakyat hanya sekadar bermain politik apabila mengemukakan Usul ini. Mereka asyik berpolitik dan lupa tanggungjawab sebagai Wakil rakyat. Masyarakat sudah bosan dengan karenah seperti ini. Pilihan raya umum telahpun selesai dan rakyat telah memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara ini dan kewajipan BN sebagai Parti Pemerintah untuk mentadbir negara dengan sebaik-baiknya dan Parti Pembangkang pula menjalankan tugas sebagai yang diharapkan untuk menbuat cadangan dan teguran konstruktif.

Bila sampai pilihanraya umum akan datang kedua-dua parti akan bertembung semula dan rakyat akan membuat pilihan.


Usul Undi Tidak Percaya hanya sesuai jika ada "tanda-tanda" Parti Memerintah sudah kehilangan sokongan majoriti di dalam Parlimen. Ini biasanya berlaku bila ada ADR yang keluar dari Parti Pemerintah atau ada ADR yang menyatakan secara terbuka bahawa mereka sudah bersedia menyokong usul sedemikian dan jumlah kesemua ADR adalah mencukupi untuk mengundi Usul berkenaan dan memaksa Perdana Menteri untuk berundur.


Dalam suasana di Malaysia ketika ini, majoriti BN dalam Parlimen adalah selesa dan soal Undi Tidak Percaya tidak berbangkit dan Pakatan Rakyat hanya bermain politik semata-mata. Peraturan Mesyuarat tidak seharusnya diguna sekadar bersendiwara saja.

Monday, July 14, 2008

LUANG MASA BERSAMA KELUARGA, MEMBENTUK PEWARIS PIMPINAN NEGARA

KELMARIN saya berkesempatan menghadiri majlis Hari Keluarga Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud (KGRKB) di Mimpian Jadi Resort, Tuaran.

Saya bangga kerana ramai ahli kelab membawa keluarga masing-masing ke acara tahunan itu yang merupakan satu acara santai hujung minggu yang diaturkan untuk mengeratkan jalinan persefahaman sesama ahli.

Tahun lalu, kami mengadakan sambutan hari keluarga itu di Kelab Golf Kudat di utara Sabah dan pada waktu itu juga sambutannya begitu mengembirakan.

Sementara ahl-ahli kelab bermain golf, anak-anak pula mempunyai acara sendiri termasuk sukaneka.

Saya melihat anak-anak paling seronok mandi dan berenang di kolam renang pusat peranginan itu.Ketika duduk-duduk di tepi kolam bersama beberapa rakan melihat gelagat dan telatah kanak-kanak, hati kecil saya berbisik sendiri betapa pentingnya generasi muda hari ini dibentuk dengan sebaiknya untuk menjadi pewaris kepimpinan pada masa depan.

Banyak orang berkata bahawa anak-anak kecil itu umpama kain putih dan terpulang kepada ibu bapa mewarnakannya. Bermakna, jika anak-anak kecil itu diberikan didikan sempurna dan yang terbaik, mereka pastinya boleh menjadi harapan bangsa dan negara suatu hari kelak.

Sambutan Hari Keluarga, sebagaimana yang dianjurkan oleh KGRKB itu merupakan suatu wadah terbaik membentuk keperibadian anak-anak. Mereka dapat menemui kenalan baru, sekali gus berinteraksi dan ia merupakan satu proses pembentukan sahsiah.

Pembentukan sahsiah diri juga perlu diberi penekanan dan diseimbangkan dengan kemajuan akademik.

Bagi saya, amalan berkumpul mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Ia dianggap sebagai satu cara mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan antara satu sama lain, antara sahabat, antara adik beradik dan antara ibu bapa.

Sebab itu saya sentiasa memastikan setiap kali ada kesempatan dan peluang, saya akan makan bersama isteri dan anak-anak, apatah lagi isteri saya sememangnya seorang yang suka masak dan mencipta bermacam resipi baru.

Rezeki yang dikongsi bersama walaupun ia hanyalah hidangan biasa, tetapi begitu bermakna kerana disediakan isteri sendiri.

Dalam mendidik anak-anak ini untuk menjadi generasi pelapis pada masa depan,mereka perlu juga diberi kesedaran tentang pelbagai cabaran dalam kehidupan.

Paling penting hendaklah dipupuk semangat dalam diri mereka untuk menjadi insan terbaik. Berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik lagi.

Hijrah daripada konteks bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Secara konsepsualnya adalah suatu usaha mengubah nasib atau keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik.


Hijrah seseorang itu jika disertakan dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah s.w.t, maka dia akan dijanjikan kejayaan dan ganjaran pahala.

Tuesday, July 8, 2008

BERSUMPAH – MENCARI JUSTIFIKASI DI SEBALIK PROVOKASI POLITIK

SEJAK beberapa hari lepas, akhbar-akhbar perdana menyiarkan laporan berkaitan saranan supaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, bersumpah dengan menjunjung Al-Quran berhubung dakwaan liwat yang kini mencetuskan kontroversi berpanjangan.



Bermacam-macam pandangan dan pendapat dikemukakan oleh pelbagai pihak, termasuk tokoh agama dan ulama terhadap cadangan bersumpah atau “bermubahalah” itu.



Pemimpin politik, daripada kerajaan dan pembangkang, turut memberikan pendapat berhubung perkara sama,begitu juga orang awam yang memberikan komen menerusi forum atau surat pembaca dalam akhbar-akhbar.



Setiap pandangan itu diberikan dari perspektif yang berbeza. Orang agama dari aspek keagamaan, orang politik dari segi politiknya dan orang awam dari sudut pandangan umum yang mewakili pendapat sebahagian komuniti.
Antara yang mengulas perkara itu termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.Mufti Perak dan Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman.



Dr Mohd Asri antara lain menyarankan kedua-dua Datuk Seri Anwar dan Mohd Saiful 'bermubahalah' memandangkan isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.



"Semua orang tidak tahu siapa yang betul dan siapa yang bohong. Jadi bagi membantu menyelesaikan kekalutan isu liwat ini, saya syorkan kedua-dua mereka ini bermubahalah. "Mubahalah di sini bermaksud sumpah laknat," katanya.



Ekoran kenyataannya itu, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta beliau (Dr Mohd Asri) tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Mufti Perlis itu tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.



Bagaimanapun, dalam reaksi balasnya, Dr Mohd Asri mencadangkan pula Mursyidul Am Pas menjadi orang tengah bagi Datuk Seri Anwar dan Mohd Saiful untuk “mubahalah" atas alasan Menteri Besar Kelantan itu mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.




Cadangan bersumpah dengan menjunjung Al-Quran itu tercetus berikutan kemelut berpanjangan berhubung dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar serta suasana pertikaian mengenai kesahihan akuan bersumpah (yang dibuat dan kemudian ditarik balik) oleh seorang penyiasat persendirian dalam kes pembunuhan gadis Mongolia. Ia tercetus di sebalik pelbagai kenyataan dan provokasi politik yang dikatakan semakin kotor.



Andaian umum terhadap kemelut yang berlaku berpunca daripada ketidakpercayaan terhadap dakwaan-dakwaan dan pengakuan yang dibuat.
Ia juga disebabkan percanggahan kenyataan dan perubahan pengakuan bersumpah oleh individu-individu yang ada kaitan.



Sementara pertikaian mengenainya dibicara menerusi undang-undang dunia atau perundangan sivil, maka dicadangkan juga supaya ia diselesaikan mengikut hukum agama, iaitu dengan bersumpah, memandangkan kedua-dua individu (yang menuduh dan dituduh dalam kes liwat) ini adalah beragama Islam.




Bagaimanapun,Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman, menasihatkan agar dihentikan pertikaian pelbagai pihak yang saling cabar-mencabar agar mengangkat sumpah dan bermubahalah berkaitan kes liwat Datuk Seri Anwar. Menurut beliau, perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam terutama jika ia membabitkan unsur-unsur politik. Beliau berpendapat sumpah adalah suatu perkara yang tidak boleh dipermain-mainkan.



Dengan keadaan serta pertikaian yang semakin gawat ini, rakyat perlu membuka minda dan hati agar tidak mudah terpengaruh dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Hati dan minda kita perlulah bersih, membuat penilaian serta pertimbangan yang sebaik-baiknya. Hati yang bersih akan menolak sesuatu yang bersifat kotor daripada mempengaruhi minda. Elok lah kita biarkan pihak polis membuat siasatan terhadap perkara yang berlaku bagi mengelak kecelaruan yang berpanjangan. Lagipun, kerajaan mempunyai sistem perundangan yang baik bagi menjamin keadilan terhadap semua rakyat secara saksama.
Biarlah proses undang-undang berjalan. Sementara pihak berkuasa belum membuat apa-apa keputusan, janganlah pula rakyat membuat keputusan sendiri.

ENDS

Friday, July 4, 2008

AKUAN BERSUMPAH:KAEDAH BARU TIMBULKAN ISU?

TERBARU kelmarin, seorang penyiasat persendirian dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu membuat akuan bersumpah dengan mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes itu.

Menariknya, salinan akuan bersumpah itu diedarkan kepada media oleh penyiasat persendirian itu, P Balasubramaniam, dalam sidang akhbar bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya.

Balasubramaniam turut memberikan beberapa butiran yang didakwanya menunjukkan hubungan awal antara Altantuya dan Najib.

Dalam reaksi segeranya, Najib menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat.

Timbalan Perdana Menteri yakin perakuan terbaru itu merupakan usaha terdesak Anwar untuk mengalih perhatian umum daripada tuduhan liwat yang dihadapinya.

‘Akuan bersumpah berkenaan saya anggap sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat, rekaan semata-mata, berniat jahat, berunsur fitnah dan bertujuan mencemar imej saya,’’ kata Najib.

Beliau turut mempertikaikan kenapa cerita sedemikian baru timbul sekarang, setelah berlakunya aduan dan dakwaan liwat membabitkan Anwar.

Khamis minggu lalu, pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur, mendakwa dia diliwat oleh majikannya di sebuah kondominium di Bukit Damansara.

Pada 18 Jun lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, 58, telah memfailkan akuan bersumpah di Mahkamah Tinggi, yang menyatakan beliau mendapat maklumat bahawa tiga individu termasuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagai orang yang berada di tempat kejadian Altantuya dibunuh pada 2006.

Mengulas mengenai akuan bersumpah Raja Petra itu, Najib menyifatkannya sebagai ‘akuan sumpah sampah’.

Nampaknya, dakwaan menerusi akuan bersumpah seperti menjadi satu trend baru untuk “create” isu sebagaimana yang berlaku dalam kes terbaru ini.

Dengan adanya dakwaan bersumpah sedemikian, orang ramai mula bercerita mengenainya dan bertanya sesama-sendiri sama ada betul atau tidak, sekali gus mencetuskan polemik pula.

Perkembangan sedemikian bukan saja boleh mencetuskan suasana tidak menentu tetapi juga tidak baik dari segi politik dan ekonomi apatah lagi dalam keadaan ketidaktentuan di persekitaran ekonomi dunia pada hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam ulasannya kelmarin mengakui terlalu banyak fitnah ditaburkan ketika ini sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat, malah ia merupakan yang terburuk sepanjang 30 tahun beliau terlibat dalam politik.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya jangan panik dan kelam-kabut ekoran pelbagai perkembangan politik kebelakangan ini kerana negara masih berada dalam keadaan yang terkawal.

Menurut Perdana Menteri, fitnah kini seolah-olah bermaharajalela dan pelbagai cerita disebarkan sehingga ada rakyat yang mempercayai fitnah tersebut.

Katanya, cerita-cerita tersebut tersebar dalam masyarakat dan akhirnya bertukar menjadi cerita lain selepas ditokok tambah.


Walau apapun,pihak berkenaan wajib mengambil tindakan dan menyiasat dengan kadar segera semua surat akuan tersebut dan mungkin ada lagi surat-surat akuan yang serupa bakal muncul agar kebenaran akan diketahui oleh umum.Kita kena bersikap adil kepada semua pihak.










Wednesday, July 2, 2008

KONGSI ILMU

Alhamdulillah, urusan pendaftaran untuk program Doktor Falasafah di UPM telahpun selesai dan saya perlu susun jadual harian semula mengambilkira kedudukan saya sekarang sebagai seorang yang "bersekolah" semula.Saya kena pastikan masa yang mencukupi untuk menumpukan perhatian dalam pengajian ini.Ia bukannya mudah,tetapi saya yakin dengan displin diri yang kuat,saya mampu untuk menguruskan masa dengan sebaik mungkin.Kita ada mempunyai 24 jam setiap hari untuk diagih-agihkan kepada perkara-perkara yang ingin kita lakukan.

Dalam hidup ini,kita kena cari ilmu dan jangan jemu-jemu untuk berbuat demikian. Kita bukannya sempurna dan perlu tingkatkan diri dan kongsikan ilmu yang ada.Jika kita ingin menjadi pemimpin,kita seharusnya lengkapkan diri dalam semua aspek.Harapan orang yang dipimpin terlalu tinggi terhadap pemimpin.Dunia sekarang jauh berbeza dengan zaman dahulu.Cabaran pun berbeza dan pendekatan untuk menyelesaikanya juga berbeza.Tahap pemikiran yang dipimpin pun sudah meningkat dan jangan pula orang yang memimpin ketinggalan dalam hal ini.

Secara peribadi,sebagai seorang yang dianggap pemimpin,banyak perkara yang perlu saya pelajari lagi dan harapan saya dengan mengambil keputusan "bersekolah" semula,ia mampu meningkatkan ilmu untuk dikongsi dengan mereka yang saya pimpin.

Tuesday, July 1, 2008

POLIS JALANKAN SIASATAN, MAHKAMAH TENTUKAN KESALAHAN



SETIAP hari banyak laporan polis dibuat mengenai bermacam kes, melibatkan macam-macam orang – daripada remaja dan orang dewasa, sehingga kepada penjawat awam dan pemimpin politik.

Kes yang dilaporkan juga bermacam-macam, daripada sekecil kehilangan dokumen sehingga kepada kes jenayah seperti curi, ragut, rompak dan sebagainya.

Terbaru satu lagi laporan polis mengenai dakwaan liwat dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lapoan dibuat orang seorang lelaki berusia 23 tahun di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur, pada Sabtu lepas.

Oleh kerana laporan polis itu membabitkan Ahli politik ternama, maka ceritanya menjadi hangat dan mendapat liputan meluas media massa seterusnya menjadi bualan umum di kalangan masyarakat.

Pelbagai teori dan spekulasi kedengaran mengenai kes itu biarpun kenyataan rasmi sudah dibuat oleh pihak berkuasa.

Akhbar-akhbar arus perdana dan tempatan, media "on-line" termasuk blogger turut menyiarkan kenyataan, komen dan ulasan pelbagai pihak mengenainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, juga awal-awal lagi sudah membuat ulasan dengan meminta polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan liwat itu bagi menentukan kesahihannya.

Pada hari sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin, turut meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan kerana sebagai agensi bertanggungjawab, polis akan menyiasat perkara itu dengan seadil-adilnya.

Beliau turut meminta semua pihak jangan membuat andaian sendiri selagi polis menjalankan kerana andaian sedemikian dikhuatiri boleh menjejaskan proses siasatan.

Anwar dalam reaksi balasnya terhadap dakwaan itu menyifatkannya sebagai "rekaan semata-mata" yang bertujuan untuk menyekat kebangkitan karier politiknya selepas pakatan pembangkang mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum, Mac lalu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, turut menyifatkan dakwaan terhadap liwat terhadap Anwar itu sebagai konspirasi politik kedua terhadap suaminya.
Yang jelas dalam kes ini, banyak pihak mengambil kesempatan sama ada untuk populariti peribadi mahupun untuk "political mileage".

Ini jelas kelihatan dengan kebijaksanaan pihak-pihak terbabit melakukan "spin" cerita tersebut sehingga menjadikannya sebagai suatu isu besar lantas mengalihkan tumpuan serta perhatian umum daripada cerita asal dan sehingga menyebabkan masyarakat terlupa seketika isu-isu semasa seperti kenaikan harga barangan keperluan.

Apapun yang cuba dilakukan atau digambarkan oleh pakar-pakar "spin" ini, masyarakat tidak harus mudah terpedaya. Kita jangan mudah mendengar khabar angin yang masih samar kesahihannya.

Apa yang penting, pihak berkuasa seperti polis mesti diyakini untuk menjalankan penyiasatan mereka. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, polis merupakan penjawat awam yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan kesahihan sesuatu dakwaan atau maklumat.

Berbalik kepada kes dakwaan liwat terhadap Anwar, ia tentunya dianggap sebagai berprofil tinggi memandangkan ia membabitkan orang politik.

Tetapi banyak juga kes-kes seumpamanya berlaku sebelum ini. Terbaru, saya membaca laporan akhbar The Star pada Isnin lalu mengenai dakwaan dua anggota polis berpangkat lans koperal kononnya ketua mereka, berjawatan Ketua Polis Daerah (OCPD) di sebuah balai polis di pedalaman Terengganu, cuba meliwat mereka dalam dua insiden berasingan pada Mac dan Mei lalu.

Pihak polis juga sudah memulakan siasatan terhadap kes itu, manakala kedua-dua anggota yang membuat dakwaan sudah dipindah ke luar daerah berkenaan bagi membolehkan penyiasatan dijalankan.

Sebelum itu, saya juga pernah membaca kes dakwaan liwat terhadap penyanyi Datuk M Daud Kilau tidak lama dulu.

Bagaimanapun, dalam kes itu, penyanyi berkenaan didapati bebas daripada tuduhan berkenaan.

Mengambil kira semua insiden yang berlaku ini, adalah penting bagi kita menyerahkan kepada pihak berkuasa terutama polis untuk menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu sebalum membuat sebarang kesimpulan sendiri.

Kita percaya jika ada bukti yang didapati kukuh, maka pendakwaan akan dijalankan dan seseorang suspek akan dihadapkan ke mahkamah. Bagaimanapun, pada pringkat itu, ia masih bukan bermaksud seseorang itu sudah bersalah kerana hanya mahkamah yang menentukan seseorang itu bersalah atau sebaliknya.


Oleh hal yang demikian, sehingga mahkamah belum memutuskan seseorang yang didakwa itu bersalah, maka selagi itulah orang berkenaan tidak boleh dianggap bersalah.Proses Rayuan juga dibenarkan dalam sistem Kehakiman kita.