Translate

Tuesday, December 30, 2008

ANTARA SANDIWARA DAN NATIJAH POLITIK KUALA TERENGGANU

PILIHAN RAYA kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini, semakin hangat diperkatakan. Ia menjadi topik bualan para pemimpin politik – baik kerajaan mahupun pembangkang serta menjadi tumpuan liputan media cetak dan elektronik.

Membaca akhbar setiap pagi, kita pasti dapat membaca cerita mengenai Kuala Terengganu. Menonton berita perdana televisyen setiap malam, kita pasti mendengar liputan mengenainya. Begitu juga jika melayari internet, ada saja cerita mengenai pilihan raya kecil itu dilaporkan. Itulah perihal pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang penamaan calonnya ditetapkan pada 6 Januari ini.

Bagi saya, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu hanyalah satu lagi pilihan raya kecil. Mengisi kekosongan tempat bekas penyandangnya, allahyarham Datuk Razali Ismail, yang meninggal dunia pada 28 November lepas.

Kuala Terengganu tidak sama dengan Permatang Pauh. Keadaannya berbeza, senarionya berlainan, lokasinya berjauhan dan isunya tiada persamaan. Malahan, kisah dan peristiwa yang membawa kepada kedua-dua pilihan raya kecil ini juga sangat kontras, justeru tempiasnya tidak mungkin sama.

Apapun, nampaknya pilihan raya kecil ini telah dijadikan gelanggang oleh pembangkang, untuk bekerja keras bagi menidakkan kemenangan Barisan Nasional sebagai penyandangnya.

Biarpun mengetahui kemenangan di Kuala Terengganu tidak mungkin mengubah landskap politik atau dasar kerajaan, namun pembangkang tetap dengan pelbagai ikrar dan menaburkan janji manis, semata-mata untuk meraih undi dan simpati pengundi.

Mereka cuba menjadikan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebagai fokus nasional sedangkan ia sepatutnya tertumpu kepada isu setempat dan hal-hal domestik.

Di tengah kerancakan persediaan menjelang pilihan raya kecil itu, sesuatu yang nyata, ia telah membongkar helah pakatan pembangkang yang hanya bersandiwara dan menunggu kehancuran kerana perbezaan pegangan dan prinsip politik mereka.

Jelas bahawa Pas sudah jadi parti yang kerap akur kepada tuntutan PKR dan DAP. Peranan mereka tidak berkesan di Perak dan Selangor.

Di pihak kerajaan pula, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tentunya satu peluang terbaik untuk menjelaskan kepada pengundi mengenai pelbagai usaha, pendekatan dan dasar kerajaan membantu serta membela nasib rakyat.

Ini termasuklah pendekatan kerajaan menangani kemelesetan ekonomi yang berpunca akibat daripada masalah global, komitmen memacu pembangunan serta usaha menjana pertumbuhan ekonomi jangka panjang.Penjelasan perlu dilakukan agar pemikiran pengundi tidak di pesongkan oleh pihak yang tidak bertanggongjawab.

Barisan Nasional tidak harus memberi tumpuan kepada kelompok masyarakat tertentu. Kita kena melihat semua pengundi sebagai sama dan hak satu undi tidak boleh dipersiakan. Kita tidak boleh bergantung kepada mana-mana kumpulan. Undi orang Melayu sama penting dengan undi orang India atau Cina, dan begitulah sebaliknya juga.

Maknanya, pengemblengan tenaga dan usaha semua parti komponen menjadi prasyarat kepada sebuah kemenangan yang hakiki.

Pengumuman awal calon BN menunjukkan parti pemerintah telah bersedia menghadapinya, sekali gus membolehkan persiapan kempen diatur lebih awal.

Calon BN, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh merupakan pilihan tepat dan diyakini berkemampuan menyambung legasi serta kerja-kerja yang ditinggalkan oleh allahyarham Datuk Razali Ismail.

Wan Ahmad Farid disifatkan sebagai pilihan tepat bukan saja kerana beliau Ketua Bahagian Kuala Terengganu, tetapi kerana sifat mesra rakyat dan prinsip perjuangannya kepada parti.Senyuman dan keramahannya menjadikan beliau mudah didekati dan sangat disenangi oleh penduduk Kuala Terengganu.

Lebih penting, Wan Ahmad Farid menjadi pilihan tepat berikutan komitmennya meneruskan usaha penyandang sebelum ini, terutama dalam bidang pendidikan yang merupakan antara agenda serta keutamaan kerajaan.

Tiada nama lain diura-urakan menjadi calon BN sebelum dan selepas nama Wan Ahmad Farid diumumkan, bermakna soal persaingan personaliti dan kredibiliti tidak berbangkit lagi. Tiada ruang untuk dimanipulasi. Isu calon tidak timbul.

Kemenangan mutlak BN banyak bergantung kepada komitmen seluruh jentera kempen yang bakal digerakkan nanti. Saya katakan demikian kerana cabaran BN di Kuala Terengganu tidaklah semudah yang dijangkakan.

Dengan tiga daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) berada dalam tangan pembangkang iaitu Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Burok, tanggungjawab semua parti komponen BN, khususnya sayap Umno, amat berat. Semua pihak harus bekerja keras untuk menemui pengundi dan memujuk mereka mengundi calun BN demi masa depan yang lebih terjamin di Kuala Terengganu.

Tuesday, December 23, 2008

KRISMAS DI AMBANG KEMELESETAN?

TANGGAL 25 Disember kita menyambut Hari Krismas. Merry Christmas and Happy New Year kepada semua yang meraikannya.

Saya sendiri mempunyai ramai keluarga keturunan Dusun dan beragama Kristian. Begitu juga sebelah isteri saya. Maka, pada Krismas ini, kami turut merasakan suasana sambutan itu.

Seperti perayaan lain, rumah-rumah terbuka turut diadakan sempena Krismas. Masyarakat pelbagai kaum, agama dan fahaman politik meneruskan amalan kunjung mengunjungi.

Demikianlah uniknya di Sabah pada setiap kali musim perayaan. Tidak ada batasan dan halangan untuk meraikannya bersama biarpun berbeza pendapat, fahaman dan kepercayaan.

Sememangnya, suasana Krismas begitu dirasakan. Termasuk di hotel, resort dan pusat beli-belah sekitar bandar raya Kota Kinabalu yang telahpun memasang pokok Krismas di premis masing-masing.

Namun, bagi sesetengah orang biasa, Krismas ini mungkin tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini lantaran kegawatan yang melanda, yang membawa kepada peningkatan harga barangan keperluan pengguna.

Biarpun harga runcit petrol dan diesel sudah tujuh kali diturunkan dan kini kembali kepada harga asal, namun masih kedengaran rungutan mengenai kedegilan segelintir peniaga yang tidak menurunkan harga barangan jualan mereka.

Seminggu selepas Krismas, kita pun meninggalkan tahun 2008 yang penuh dengan bermacam kenangan dan peristiwa. Kemudian kita melangkah pula ke tahun baru 2009 dengan pelbagai kemungkinan, cabaran dan ketidaktentuan.

Saya katakan demikian kerana laporan-laporan media serta perkembangan global menunjukkan dunia kini berada di ambang kemelesetan.

Terbaru dilaporkan bahawa seramai 4,749 pekerja bakal diberhentikan oleh 102 majikan pada tiga bulan pertama tahun depan.

Ini berdasarkan kepada perangkaan rasmi yang dilaporkan oleh majikan kepada Jabatan Tenaga Rakyat (JTR). Kebanyakan pekerja terbabit adalah dalam industri elektronik.

Pada masa sama, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.

Melihat kepada perkembangan ini, kita semua perlu mengambil iktibar dan perhatian, terutama dalam merancang dan mengatur perbelanjaan.
Amalan berjimat dan berhemah perlu terus dipupuk. Meskipun harga petrol dan diesel sudah kembali normal, namun ia bukan alasan untuk kita boros berbelanja pula.

Kita mesti bijak dalam pengurusan kewangan. Kita mesti menghargai nilai setiap wang yang ada.

Kebijaksanaan setiap individu penting bagi kelangsungan kehidupan, sementara kerajaan melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif untuk mengimbangi kesan kegawatan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa mengulas isu pemberhentian pekerja tahun depan berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan itu bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.

Menurutnya, mereka yang terlibat dengan program latihan semula kendalian Kementerian Sumber Manusia itu nanti akan turut menerima elaun bulanan sepanjang tempoh latihan dijalankan.

“Selain itu, para pekerja yang diberhentikan juga harus kembali memasuki pasaran buruh kerana memang terdapat kekosongan kerja dalam negara kita sekarang ini,” katanya.

Langkah yang dilaksanakan kerajaan ini akan membawa hasil dan kesan jangka panjang sekiranya mendapat sokongan daripada semua pihak.

Friday, December 12, 2008

TANGGUNGJAWAB PBT MEMENUHI HARAPAN TINGGI MASYARAKAT

TRAGEDI tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, minggu lalu, turut menjadi bualan sebahagian jemaah haji Malaysia yang kini sedang mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah.


Saya juga mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di tanah air dengan melayari internet di Mekah dan Medinah setiap kali ada kelapangan masa ketika beribadat di sini.


Sememangnya, kemudahan internet tersedia di sini untuk memenuhi keperluan para jemaah. Saya tengok, memang ramai jemaah yang memanfaatkannya.


Kejadian yang menimbus 14 banglo dan meragut empat nyawa itu sememangnya suatu peristiwa paling menyayat hati, terutama di kalangan mangsa. Ia mengakibatkan kerugian besar harta-benda, yang musnah dalam sekelip mata.


Di sebalik tragedi itu, banyak pengajaran dan iktibar harus dipelajari bersama oleh semua pihak -- sama ada pimpinan kerajaan, penjawat awam mahupun masyarakat.


Berikutan kejadian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyarankan kepada semua kerajaan negeri supaya menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi.


Menurut Perdana Menteri, keutamaan dari segi aspek keselamatan perlu dititikberatkan dan bukan memikir soal keuntungan semata-mata.


Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Seri Abdullah, kerugian mungkin lebih besar sekiranya tanah runtuh berlaku berbanding kerugian tidak menjalankan projek di tanah berisiko tinggi.


Ketegasan Perdana Menteri itu sewajarnya diberi perhatian serius oleh semua pihak, khususnya `local authority' atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini penting untuk mengelak kejadian seumpamanya terus berulang pada masa depan.


Bukan rahsia lagi bahawa kejadian tanah runtuh telah menjadi semacam satu fenomena di negara kita. Justeru, suatu langkah dan pendekatan proaktif perlu dilaksanakan untuk kebaikan jangka panjang.


Satu aspek yang perlu diberi penekanan ialah soal kelulusan bagi pelaksanaan sesuatu projek pembangunan di kawasan lereng bukit atau kawasan berisiko tinggi. Kelulusan di peringkat `local authority' mestilah telus, manakala masyarakat setempat harus diberi peluang memberi pendapat mereka.


Ini bertujuan menentukan agar proses kelulusan bagi sesuatu projek pembangunan itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk pakar dan juga masyarakat yang berada di sekeliling sesuatu projek itu.


Pihak berwajib elok menimbang untuk mempamerkan sebarang permohonan projek khususnya yang dianggap berisiko atau boleh menimbulkan masalah, supaya pada akhirnya nanti, tiada pihak menuding kesalahan kepada mana-mana pihak lagi sekiranya berlaku juga kejadian seperti bencana tanah runtuh.Jika perlu,undang-undang kecil atau by laws perlu di kemaskini jika tidak ada untuk tujuan ini.


Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang kecil perlu diperketatkan lagi agar semua peraturan dipatuhi dan tidak dipandang ringan.


Mungkin juga perlu bagi pihak berkuasa tempatan menambah pegawai pakar dan kakitangan di peringkat `local authority' supaya fungsi dan peranannya dapat dimantapkan lagi. Ini perlu dilakukan kerana jangkaan atau ekspetasi masyarakat terhadap pihak berkuasa tempatan begitu tinggi sekali.


Demikian juga bagi pembangunan di kawasan lain, yang juga dianggap mempunyai risiko. Umpamanya bagi projek yang melibatkan tebus guna laut, ia pasti juga menuntut ketelusan dalam membuat keputusan bagi mengelak sebarang risiko bahaya.


Natijahnya, fungsi dan peranan pihak berkuasa tempatan perlu diperkukuh dan dimantapkan lagi bagi memenuhi jangkaan tinggi masyarakat terhadapnya.