Translate

Monday, January 19, 2009

IKTIBAR KEGAGALAN BN MEMPERTAHANKAN KUALA TERENGGANU

KEPUTUSAN pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sudah diketahui umum. Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankannya.

Pelbagai ulasan, komen dan reaksi kita dengar. Macam-macam analisa dan teori dibuat. Ada yang kritikal dan sinis. Tidak kurang juga yang proaktif dan membina.

Malahan, sudah ada suara-suara nyaring menyalahkan itu dan ini, menuding jari kepada orang itu dan orang ini, mengungkit kelemahan di sana-sini.

Demikianlah resam politik. Hanya selepas sesuatu hal terjadi, baru menyedari hal itu dan ini. Hanya selepas menemui kegagalan, baru mendapat keinsafan. Sedangkan ketika melalui proses tersebut, kita seperti dibuai keyakinan, impian dan angan-angan tinggi.

Yang pasti, selepas kecundangnya kita di Kuala Terengganu, BN perlu membuat post-mortem lagi. Untuk mengenal pasti sebab dan punca kita kehilangan satu lagi kerusi Parlimen selepas gagal menguasai Permatang Pauh, beberapa bulan lalu.

Apakah benar pembangkang semakin kuat dan berpengaruh? Atau mungkin BN sendiri semakin lemah dan terhakis pengaruh?

Saya lontarkan persoalan ini setelah membaca pelbagai komen dan reaksi, menerusi tv, suratkhabar dan intenet, berhubung keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN, Datuk Wan Farid Wan Salleh kecundang ke tangan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Wan Farid, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, memperolehi 30,252 undi, manakala Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi. Seorang calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mengumpul 193 undi.

Bagi BN dan Umno, analisa pelbagai pihak termasuk menerusi laman blog perlu diambil kira dalam melakukan port-mortem kelak. Memang banyak komen blogger yang pahit untuk dikunyah dan pedas untuk ditelan, namun pandangan mereka tentunya mewakili pendapat sebahagian daripada segmen masyarakat pada hari ini.

Ulasan dan sudut pandangan blogger serta penganalisa itu, dibuat dari luar kotak (outside the box), maka mereka dapat melihat kita dari perspektif lebih luas dan menyeluruh.

Justeru itu, kita perlu merenung semula ke dalam diri kita dan melihat Umno dari luar kotak. Dari situ, pandangan kita tidak terbatas dalam lingkaran kecil dan sempit.

Dalam konteks pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini, keputusannya tidak harus dijadikan sandaran untuk mencari kesalahan. Sekarang bukan masa untuk menuding jari. Sekarang adalah masa mencari jalan memperbetulkan keadaan.

Kita kena tengok, apakah masalah yang menyebabkan sokongan kepada BN merosot? Kenapa majoriti yang diperolehi oleh pembangkang boleh meningkat sebegitu tinggi? Golongan mana yang tidak keluar mengundi? Golongan mana yang dulu setia bersama BN telah berpaling tadah kepada pembangkang?

Lebih penting, apakah pendekatan yang diguna pakai BN, khususnya Umno sudah tidak relevan?

Apakah Umno dalam bentuk sekarang tidak laku atau tiada pasaran atau tidak dapat dijual? Apakah jentera BN dan Umno benar-benar melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, termasuk menjaga daerah mengundi masing-masing?

Inilah antara persoalan yang menuntut kepastian dalam post-mortem kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bakal mengambil alih kepimpinan kerajaan dan parti, kena melihat semua perkara ini dari sudut yang menyeluruh. Ia bagi memastikan BN dan Umno sentiasa relevan dan kekal menjadi tunjang pemerintahan negara sampai bila-bila.

Jumlah undi yang diperolehi BN pada pilihan raya kecil ini menunjukkan bahawa Umno masih mempunyai ramai penyokong. Ia manifestasi bahawa Umno masih ada akar-umbi yang dapat mencegahnya daripada tumbang ditiup angin. Cuma mungkin permuafakatan pakatan pembangkang telah mula menampakkan hasil dan pengundi muda menerimanya.

Bagi kebanyakan penyokong kuat BN, keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu sesuatu yang mengejutkan dan di luar jangkaan. Ini berdasarkan sambutan kempen gerak-gempur yang dijalankan sejak hari penamaan calon lagi.

Dalam hal ini, satu lagi realiti yang perlu diterima – sorakan bukan lambang kekuatan, bukan juga penentu kemenangan mutlak. Sebab itulah ada ungkapan Melayu berbunyi “menang sorak, kampung tergadai”.

No comments: