Translate

Wednesday, January 7, 2009

KEGANASAN ISRAEL: REALITI POLITIK DUNIA YANG MENYEDIHKAN

Sedih,kecewa dan marah. Itulah pastinya reaksi spontan kita apabila melihat laporan berita menerusi tv sejak akhir-akhir ini mengenai kekejaman Zionis ke atas penduduk Palestin.

Saya katakan demikian kerana itulah perasaan saya menyaksikan laporan berita mengenai konflik yang semakin meruncing itu.

Laporan terkini menyebut bahawa angka korban keganasan tentera Israel itu terus meningkat kepada hampir 600 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Sedih kerana begitu ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, termasuk kanak-kanak. Mereka yang tercedera pula, jumlahnya hampir 2,000 orang, berada di ambang maut berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan serta ketiadaan bekalan perubatan.

Perasaan sedih juga disebabkan ketiadaan muafakat di kalangan negara-negara Arab untuk bersatu menegakkan perjuangan.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) misalnya sekadar mampu bersuara dan bermesyuarat, tetapi tidak ada taringnya untuk bertindak. Ini akan memburukkan lagi keadaan kerana Israel pastinya mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk meneruskan keganasan.

Tambah kecewa dan marah lagi apabila melihat sikap hipokrit dan pro Yahudi kuasa dunia, Amerika Syarikat. Daripada perkembangan yang berlaku setakat ini, bakal Presiden Amerika, Barack Obama, juga akan seperti presiden-presiden terdahulu dalam hal ini.

Sesuatu yang pasti, Obama yang akan menjadi Presiden Amerika pada 20 Januari ini tidak akan mengubah pendirian Amerika Syarikat menyokong Israel walaupun rejim Zionis itu secara nyata telah bertindak kejam terhadap Palestin.

Justeru, Israel bebas untuk terus mengganas dan berboleh berbuat sesuka hati mereka tanpa sekatan, termasuk membunuh orang-orang tidak berdosa,

Kita hanya mampu berdemonstrasi, menghulur bantuan, mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi realitinya, Israel akan pasti terlepas daripada sebarang tindakan keras.

Resolusi PBB tidak akan dipatuhi. OIC sekadar bersuara dan bermesyuarat, tapi tidak akan ada kesudahannya. Inilah realiti suasana politik dunia yang amat menyedihkan.

Begitupun, diharapkan masyarakat antarabangsa akan mendengar desakan Malaysia supaya PBB mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk mencari jalan penyelesaian berkesan menghentikan kekejaman Israel di Palestin.

Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hanya melalui Perhimpunan Agung Khas saja `Perpaduan Untuk Keamanan' dapat mengetepikan sebarang tindakan penolakan Amerika Syarikat (AS) terhadap usul resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.

“Perbuatan AS itu sungguh tidak wajar dan dunia mesti menyuarakan dan membuat tuntutan dengan tegas untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Kita berharap AS dan puak-puaknya tidak cuba menghalang suara dunia kerana apa yang berlaku ini tidak dapat diterima dan tidak membawa kesan yang baik kepada dunia yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi,'' katanya.

Dalam menyelesaikan konflik di Semenanjung Gaza ini, seluruh dunia terutama negara-negara Islam perlu bersatu menyatakan pendirian dan tentangan terhadap pendirian Amerika.

Negara-negara Arab perlu mempunyai satu suara yang lantang, jangan memikirkan soal kepentingan nasional masing-masing. Apa yang berlaku sekarang ialah secara jelas tiada kesatuan di kalangan negara-negara ini, malahan ada yang sanggup bersekongkol dengan Israel atas dasar kepentingan bersama.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya rakyat Arab menuduh negara-negara konservatif Arab seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Palestinian Authority (PA) bersekongkol dengan Israel dalam serangan ke atas Semenanjung Gaza.

Sesuatu yang pasti, Israel tidak akan berani mengganas atau “menunjukkan belang” jika negara-negara Arab (dengan lebih 320 juta penduduk) bersatu dan mengambil tindak balas berbanding Israel (hanya enam juta orang).

Tetapi, oleh kerana tiada kesatuan di kalangan negara-negara Arab ini (dengan sebahagiannya pula menjadi musuh dalam selimut), maka Israel bermaharajalelah, seolah-olah ia menjadi pemerintah dunia.

No comments: