Translate

Sunday, January 18, 2009

MENTALITI PENENTU KEJAYAAN KEMPEN BELILAH BARANGAN MALAYSIA

JUMAAT lalu, kerajaan melancarkan kempen Belilah Barangan Malaysia Pilihan Bijak, serentak di tiga lokasi berasingan seluruh negara untuk menggalakkan rakyat menggunakan barangan tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkannya di Mydin Mall USJ Subang Jaya.

Di Sarawak pula, pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Patinggi Abdul Taib Mahmud di Boullevard, Kuching, manakala di Sabah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan di pusat beli-belah 1Borneo, Kota Kinabalu. Pelancaran kempen terbaru itu, selepas kali pertama diadakan pada 1998, menandakan komitmen serta kesungguhan kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengutamakan barangan tempatan.

Kempen itu dianggap bertepatan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan diramal bertambah gawat dalam tempoh mendatang ini. Dengan membeli barangan tempatan, ia bukan saja menyekat aliran wang ke luar negara, tetapi lebih penting menggalakkan pembangunan industri atau perusahaan tempatan.

Rakyat negara ini mempunyai banyak pilihan produk tempatan. Daripada barangan elektronik, keperluan rumah dan perhiasan, sehinggalah kepada barangan keperluan harian seperti makanan. Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.

Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi.

Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan.

Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan, ia perlu dibuang jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri. Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.

Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran. Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara.

Yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini.

Kita perlu memulakan usaha, kita perlu mencuba dan mempraktikkannya sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika melancarkan kempen berkenaan, Jumaat lalu.

Dalam ucapannya itu, Datuk Seri Abdullah mahu rakyat mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Kenyataan Perdana Menteri itu seharusnya menginsafkan kita semua, kerana dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak.

Pertama, ia akan mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.

No comments: