Translate

Friday, February 27, 2009

Sindrom SMS Mencemaskan

SETIAP subuh apabila saya “on” telefon bimbit selepas sembahyang subuh, lazimnya banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) akan terpapar pada skrin. Ini menunjukkan bahawa ramai yang menghantar SMS pada tengah malam selepas saya “off” telefon bimbit sebelum melelapkan mata.

Sudah menjadi kelaziman saya untuk tidak menutup telefon bimbit sepanjang masa kecuali ketika tidur pada waktu malam.

Apabila saya menghadiri acara atau sedang bermesyuarat, telefon bimbit saya sentiasa dalam mod ”silent” dan biasanya SMS sentiasa ada selang beberapa ketika. Saya tidak dapat mengira jumlah SMS yang saya terima setiap hari, begitu juga jumlah SMS yang saya jawap atau hantar.

Berdasarkan pengalaman ini, saya merumuskan bahawa SMS telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita hari ini. Ia menjadi satu kemudahan komunikasi paling mudah, cepat dan efisien berbanding cara komunikasi konvensional.

Dengan harga telefon bimbit pelbagai jenama yang mampu dibeli (selain set telefon terpakai) membolehkan sebahagian besar daripada masyarakat hari ini memiliki telefon bimbit, termasuk orang kampung di pedalaman terpencil.

Saya katakan SMS merupakan cara komunikasi paling mudah disebabkan ia boleh dihantar dari mana-mana lokasi, termasuk dalam kereta atau sedang berjalan mahupun ketika dalam tandas. Ia jauh lebih memudahkan berbanding cara dahulu seperti menghantar surat mahupun emel.

SMS juga cepat dan efisien kerana mesej dapat dihantar dan diterima pada masa yang sama, berbanding kemudahan komunikasi lain.

Pelbagai pandangan dan pendapat mengenai kebaikan dan keburukan SMS.

Ada yang menyalahgunakannya untuk tujuan tidak baik, termasuk menyebarkan fitnah dan khabar angin. Ada SMS yang memerlukan jawapan, ada juga yang sekadar untuk makluman.

Yang pasti, SMS telah menjadi seperti “habit” manusia era IT ini – tidak kiralah sama ada ia dianggap sebagai satu kemudahan, keperluan atau pembaziran. Saya katakan demikian kerana saya tertarik dengan laporan akhbar mengenai satu analisa yang menunjukkan Malaysia berada di tempat ketiga di Asia Pasifik dari segi aliran SMS ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru, dengan mencatat 1.075 bilion pesanan.

Perangkaan itu menunjukkan realiti sikap masyarakat Malaysia yang barangkali sudah dilanda “sindrom” SMS ke satu tahap yang mencemaskan.

Acision, syarikat pemesejan terkemuka dunia, dilaporkan menyebut bahawa Malaysia di tempat ketiga, selepas Filipina dengan 2.36 bilion dan Indonesia yang mencatatkan sehingga 1.193 bilion pesanan. Laporan itu juga menyatakan bahawa musim perayaan masih kekal menjadi tumpuan bagi trafik yang tinggi untuk kedua-dua pengendali dan pengguna.

Kita adalah sebahagian daripada penyumbang perangkaan itu.Sejauh mana kewajarannya, dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta tiupan kegawatan yang disebut-sebut, mungkin sudah tiba masanya untuk kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya.

SMS sebagai komunikasi murah, hanya beberapa sen bagi setiap pesanan, boleh melalaikan yang boleh menyebabkan bil telefon meningkat naik tanpa disedari.

No comments: