Translate

Monday, March 16, 2009

AHLI UMNO TINGGALKAN NEGERI, KINI BERKAMPUNG DI KUALA LUMPUR



DALAM tempoh beberapa hari akan datang, kota metropolitan Kuala Lumpur menjadi tumpuan ahli-ahli Umno dari seluruh negara.

Mereka berkampung di ibu negara menjelang berlangsungnya perhimpunan agung tahunan Umno Mac ini, yang bakal mencipta sejarah, sebagai detik peralihan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Selain ribuan perwakilan dari seluruh pelosok tanah air, ribuan lagi pemerhati menjejaki bangunan PWTC atas nama dan tiket perjuangan parti.

Inilah yang berlaku pada setiap kali perhimpunan parti di setiap tahun – ia dinantikan dengan penuh minat oleh setiap ahli Umno di mana mereka berlumba-lumba dan berusaha mencari peluang dan kesempatan untuk sama-sama hadir biarpun sekadar sebagai pemerhati.

Kesempatan mereka datang ke Kuala Lumpur turut dipergunakan untuk berkunjung ke pelbagai destinasi pelancongan menarik selain “menyerbu” pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

Tidak hairanlah jika dalam tempoh terdekat ini, kita sering terjumpa dengan ahli-ahli Umno berljalan-jalan di pusat beli-belah seperti The Mall, Sogo,sepanjang jalan Chow kit dan jalan Tuanku abdul Rahman.

Dan seperti lazimnya juga, selepas berakhirnya perhimpunan agung parti nanti, ramai juga ahli Umno akan ke Nilai, Negeri Sembilan, yang sememangnya terkenal sebagai tempat jualan borong pelbagai barangan yang menawarkan kadar harga yang cukup murah.

Bagi ahli Umno dari Sabah (satu-satunya negeri di seberang Laut China Selatan) yang mempunyai bahagian parti ini, perhimpunan tahunan parti telah menjadi seperti suatu pesta yang cukup meriah.

Selain perwakilan yang sememangnya dibiayai untuk hadir, ramai lagi pemerhati hadir menyertai rombongan bahagian masing-masing. Kewujudan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, memberi peluang kepada ramai orang untuk datang ke Kuala Lumpur. Mereka membuat tempahan awal, sama ada secara persendirian atau berkumpulan.

Sejak beberapa hari lalu, saya sendiri terserampak dengan ramai orang Sabah di Kuala Lumpur. Ada yang tinggal di hotel, manakala sebahagian pula menumpang dengan sanak-saudara atau pun anak-anak yang bekerja di ibu negara.

Ada yang saya temui itu kali pertama datang ke Kuala Lumpur. Ada juga yang saya temui pada setiap tahun perhimpunan parti diadakan.

Bagi pemerhati, perhimpunan ini menjadi ruang masa mereka “melancong” selain mengikuti proses dan perjalanan mesyuarat parti yang dianggotai bersama.

Tidak hairanlah, mereka menggunakan pelbagai cara dan kaedah untuk dapat bersama-sama hadir. Ada yang melobi pemimpin, ada yang mencari penaja sendiri. Tidak kurang juga yang datang dengan biaya sendiri.

Kesempatan untuk hadir bukan sekadar dapat mengikuti suasana dan kemeriahan perhimpunan itu sendiri, tetapi lebih penting dapat mengenali serta menjalin muafakat sesama ahli Umno dari tempat dan negeri lain.

Pertemuan ini bukan sekadar dapat mengeratkan muhibah dan integrasi antara kaum dan wilayah, tetapi lebih penting dapat membantu memperkukuhkan Umno yang menunjangi pemerintahan negara kita.

Ini kerana para pemerhati berkesempatan untuk berkongsi cerita dan pengalaman sesama pemerhati ketika berjalan-jalan di luar dewan persidangan.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini, ada segelintir pemerhati menjadi golongan yang lebih “excited” menghadiri perhimpunan kerana mungkin dengan agenda tersendiri mereka.

Bagi saya, kehadiran dalam perhimpunan, terutama di kalangan pemerhati, adalah satu hal yang subjektif. Yang penting adalah komitmen perjuangan untuk survival parti.

Saya katakan demikian kerana perjuangan ke arah memperkukuhkan parti tidak ada noktah dan penghujung. Usaha mesti berterusan bagi menentukan Umno sentiasa dan terus relevan.
Justeru bagi perwakilan, mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah cukup besar untuk ditunaikan pada perhimpunan kali ini.

Perwakilan bukan sekadar bertanggungjawab untuk mempertahankan parti dan memelihara kestabilan yang sudah terjalin, tetapi lebih penting bakal menentukan halatuju dan masa depan Umno menerusi proses pemilihan yang bakal dibuat pada kali ini.

Perwakilan perlu memilih barisan kepimpinan untuk mengemudi perjuangan parti, sekurang-kurangnya untuk tiga tahun ke hadapan.

Dengan persetujuan telah dicapai bagi proses peralihan jawatan Presiden daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kini gelanggang terbuka bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi selain daripada kepimpinan dalam sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Selamat Bersidang!

No comments: