Translate

Sunday, March 29, 2009

BATANG AIR: KEYAKINAN DI SEBALIK KEMERIAHAN DAN KERAMAHAN PENDUDUK




KELMARIN (Ahad) saya berada di Lubok Antu, Sarawak, menyertai beberapa pemimpin mengiring calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air.

Pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 7 April ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Malcom Mussem Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang.

YB Datuk Seri Shafie,YB Dato Ahmad Shabery Chek dan saya sendiri telah
menaiki helikopter bersama YAB Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari Kuching ke Lubok Antu untuk menyertai perarakan menuju ke Pusat Penamaan calun.Ketibaan kami disambut dengan begitu meriah oleh penduduk tempatan di daerah itu yang majoritinya berketurunan Iban.

Umumnya, saya melihat kawasan Batang Air sudah mengecapi banyak kemajuan dan pembangunan asas.

Biarpun sungai menjadi sistem perhubungan dan pengangkutan utama penduduk di situ, namun kemudahan jalan raya turut disediakan selain bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan.

Begitu juga kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sudah dibawa ke kawasan itu.

Melihat kepada semangat dan reaksi penduduk tempatan itu, BN tidaklah mengharungi laluan sukar untuk mempertahankan kerusi DUN Batang Air.

Malahan, sentimen sedemikian turut dikongsi bersama oleh Tan Sri Abdul Taib yang berpendapat bahawa BN mempunyai banyak kelebihan berbanding pembangkang.

Selain agenda pembangunan untuk rakyat, katanya, BN mempunyai peluang cerah mengekalkan kerusi itu kerana faktor calon.

“Kita punya peluang yang baik. Kita ada calon yang amat baik,” kata Taib sebagai merujuk Mussem yang ditampilkan oleh BN.

“Jika dibuat perbandingan antara kedua calon itu, mereka adalah jauh berbeza. Mussem punya pengetahuan yang baik dalam operasi pentadbiran. Beliau tidak perlu menjerit atau menyalahkan orang lain untuk berkhidmat kepada rakyat,” tambah beliau lagi.

Kerusi DUN Batang Air kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot, pada 24 Feb lalu, selepas koma akibat serangan angin ahmar sejak 22 Mei tahun lalu.

Sambutan hangat penduduk tempatan kepada pemimpin dan penyokong BN, juga disebabkan sikap dan kepimpinan mendiang sebelum ini yang diakui sebagai mesra rakyat, sehinggakan pemergiannya begitu dirasai oleh penduduk kawasan Lubok Antu, khususnya di Batang Air.

Setiausaha Sulit mendiang, Nelson Naga Alam, dilaporkan berkata Unting banyak berjasa kepada penduduk apabila berjaya mengubah wajah daerah kecil itu dengan pembangunan.

Katanya, sumbangan Unting yang utama ialah mempertingkatkan kemudahan infrastruktur, jalan perhubungan, bekalan elektrik serta memperkenalkan Batang Ai, Lubok Antu sebagai tapak pelancongan yang baru menerusi Pesta Batang Ai Lubok Antu.

Dalam pada itu, Mussem berjanji untuk meneruskan agenda pembangunan yang dirancang untuk kawasan Batang Air.

"Saya sendiri sanggup bertungkus lumus bagi meneruskan usaha-usaha pembangunan di Batang Air. Oleh itu, penduduk Batang Air patut beri peluang kepada saya," katanya.

Beliau juga berkata bahawa beliau sudah melawat sebahagian besar kawasan berkenaan yang mempunyai 22,270 penduduk, kebanyakannya anggota masyarakat Iban, dengan 8,006 daripada mereka adalah pemilih berdaftar.

Katanya, beliau memang sudah biasa dengan kebanyakan tempat di daerah terpencil berkenaan, yang dikuasai selama tiga penggal oleh BN melalui Datuk Dublin Unting Ingkot, sehinggalah beliau meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

"Saya yakin saya lebih rapat dengan peringkat akar umbi, daripada kalangan kakitangan awam, hinggalah kepada penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan,” katanya.


No comments: