Translate

Friday, March 27, 2009

GANDINGAN PIMPINAN MANTAP MERINTIS PEMBAHARUAN UMNO



DEBARAN mengenai keputusan pemilihan pucuk pimpinan Umno berakhir malam tadi. Teka-teki siapa membarisi saf baru bagi penggal 2008-2011 sudah terjawab.

Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak diberikan oleh perwakilan gandingan pimpinan baru untuk memperkasakan Umno mengharungi cabaran, merealisasikan pembaharuan dan memenuhi harapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru, menewaskan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan majoriti 659 undi. Muhyiddin memperolehi 1,575 undi manakala Muhammad pula 916 undi.

Sementara tiga Naib Presiden yang dipilih ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ahmad Zahid memperolehi 1,592 undi, manakala Hishamuddin (1,515) dan Shafie (1,445).

Barisan kepimpinan baru Umno dimantapkan lagi dengan pemilihan 25 jawatan Majlis Tertinggi (MT) yang menggandingkan muka lama dan baru.

Terdapat beberapa kejutan dalam pemilihan kali ini – ada nama besar kecundang, ada pemimpin tidak berjawatan dipilih.

Apapun, perwakilan telah membuat keputusan pemilihan sebuah barisan baru untuk membantu Presiden menahkoda zaman dan melestarikan Umno.

Pemilihan yang dibuat oleh perwakilan pada peringkat MT ini adalah kesinambungan suntikan imunisasi politik pembaharuan yang dibuat, bermula di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum ini.

Umumnya, melihat kepada trend pemilihan yang dibuat, nampaknya ahli-ahli parti bersuara senada mahukan pembaharuan dan perubahan bagi menyegarkan semula Umno yang dilihat semakin layu.

Saf kepimpinan baru yang dipilih itu pastinya menjadi sandaran harapan perwakilan dan ahli Umno di peringkat akar-umbi, untuk berani melakukan anjakan paradigma supaya parti terus unggul dan relevan merentasi zaman.

Mereka perlu tangkas untuk mengembalikan semula kegemilangan Umno selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Ini bermakna terpikul di bahu setiap pemimpin berkenaan suatu amanah dan tanggungjawab besar untuk bangsa, agama dan negara.

Seperti disebutkan oleh Shafie: "Cabaran besar pertama yang akan dihadapi ialah untuk memenangi tiga pilihan raya kecil pada 7 April depan iaitu Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak)".
Beliau berkata Umno perlu mengangkat agenda rakyat sebagai perjuangan utama jika parti itu mahu mengembalikan semula sokongan rakyat yang lebih padu.
"Umno harus berubah dari segi pendekatan, melihat apa keperluan rakyat di akar umbi, termasuk konsep penyatuan rakyat," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan Datuk Seri Najib yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding dan Tan Sri Muhyiddin yang dipilih sebagai Timbalan Presiden, sebagai satu gandingan yang mantap.
Katanya, para perwakilan telah membuat keputusan yang bijak.Beliau juga gembira dengan barisan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang terpilih.
"Saya melihat 50 peratus anggota MT adalah muka baru, ketiga-tiga Naib Presiden juga adalah muka-muka baru."Ini adalah pasukan yang akan membantu Presiden untuk menunaikan tanggungjawab dan menterjemahkan agenda parti," katanya.
Hishammuddin yang merupakan bekas Ketua Pemuda Umno pula mengakui setiap pemimpin yang dipilih dalam barisan kepimpinan baru mempunyai peranan untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan Umno terus diterima rakyat.
"Yang penting adalah membentuk satu pasukan yang mantap yang mampu memimpin negara, bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi seluruh rakyat jelata," katanya.
Natijahnya, perwakilan telah membuat pilihan bijak dengan menyediakan suatu gandingan mantap kepimpinan Umno yang pastinya diyakini mampu membawa perubahan besar.

Sememangnya, Umno perlu melalui proses transformasi untuk kekal sebagai tunjang keutuhan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pengharapan segenap lapisan rakyat.

No comments: