Translate

Thursday, March 12, 2009

"KONSPIRASI POLITIK MELAYU" TAMBAH KHAZANAH BUKU POLITIK


PETANG Rabu lepas, saya diundang melancarkan buku "Konspirasi Politik Melayu" tulisan anak jati Sabah, Musli Oli di sebuah Restoran Rafflesia Chicken Hut di The Mall, Kuala Lumpur.


Kehadiran saya disambut ramai penulis politik dan blogger, antara mereka Syed Hussin Alatas atau lebih dikenali Pak Habib, Zabidi, Norza Kepol, Yassin Salleh,Sayuti,Yahya Ismail dan ramai lagi.


Ketika bersembang-sembang dengan rakan-rakan penulis itu, sebelum dan selepas acara pelancaran, perbualan kami terarah kepada cerita politik. Maklumlah, buku yang saya lancarkan itu juga buku politik.Tambahan lagi, suasana politik tanah air kini begitu hangat dengan pelbagai isu.


Saya katakan suasana politik hangat kerana tidak lama lagi Umno bakal mengadakan perhimpunan agung tahunan yang bakal menyaksikan proses peralihan kuasa, demikian juga di pihak parti pembangkang kini berhadapan dengan pelbagai kemelut. Dan tambah menarik lagi ialah pilihan raya kecil di Kedah, Perak dan Sarawak -- pastinya menghangatkan suasana politik tanah air.


Secara peribadi, saya rasa gembira dan bangga dengan kegigihan Musli Oli menyiapkan buku terbarunya itu. Kalau tidak silap saya, ia buku kelapan yang diterbitkannya.


Gembira kerana buku tersebut menambahkan lagi khazanah buku politik di negara kita. Bangga kerana Musli Oli adalah anak kelahiran Kota Belud, kawasan yang saya wakili sebagai Ketua Bahagian dan sebelum ini sebagai Ahli Parlimen.


Tidak ramai anak jati Kota Belud, dan Sabah barangkali secara umum, yang segigih Musli dalam menghasilkan sesuatu penulisan. Sementara kegigihannya itu menjadi kebanggaan, saya berharap ia juga menjadi sumber inspirasi dan pendorong kepada penulis muda untuk mengikut jejaknya.


Saya tambah gembira dan bangga kerana dengan kemunculan buku terbaru itu, Musli telah meletakkan namanya sebaris dengan nama-nama penulis politik tersohor tanah air.


Penerbitan buku politik setiap kali menjelang perhimpunan agung Umno adalah perkara biasa, dan telah menjadi satu trend. Ramai penulis menghasilkan buku, kebanyakannya untuk menonjolkan seseorang individu tertentu. Ini satu perkembangan yang harus dilihat secara positif.


Menerusi pembacaan buku-buku tersebut, orang ramai khususnya ahli Umno dan perwakilan yang menghadiri perhimpunan parti akan mendapat pandangan daripada pelbagai sudut. Tidak melihat seseorang dari satu sudut semata-mata.


Dengan membaca buku-buku sedemikian, kita tidak semestinya akur atau menyetujuinya. Setidak-tidaknya kita mendapat gambaran dari beberapa dimensi -- pro dan kontra -- dan itulah yang biasanya dijadikan sandaran apabila membuat pilihan nanti.


Yang penting, sesebuah buku itu ditulis dengan tulus dan ikhlas -- bukan atas perasaan dengi atau niat jahat bagi menjatuhkan seseorang. Seseorang penulis akan dinilai daripada hasil karyanya.

No comments: