Translate

Wednesday, March 25, 2009

NAJIB MENAHKODA ZAMAN, MELESTARIKAN UMNO







NYANYIAN lima lagu membuka tirai perhimpunan agung Umno malam tadi ketika Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, merasmikan serentak ketiga-tiga sayap parti – Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Merdeka PWTC.

Perwakilan kelihatan begitu bersemangat ketika menyanyikan lagu-lagu itu, lambang keperkasaan jiwa mengharungi perjuangan di gelanggang politik tanah air.

Majlis perasmian tersebut menjadi detik bermulanya perhimpunan parti yang akan berlangsung sehingga hujung minggu ini.

Dalam ucapannya yang bertemakan “Menahkoda Zaman” itu, Datuk Seri Najib menitipkan peringatan dan pesanan cukup bermakna buat pemimpin dan ahli parti, termasuk di peringkat akar-umbi.

Lebih penting lagi, beliau mengemukakan beberapa cadangan dan pandangan yang menjurus ke arah memperkukuh dan memperkasakan lagi Umno, untuk dipertimbangkan perwakilan demi survival dan masa depan bangsa.

Datuk Seri Najib, yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Umno daripada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, turut meminta perwakilan yang berhimpun kali ini agar memberikannya satu saf kepimpinan yang padu untuk bersama-sama beliau mengharungi perjuangan.

Antara yang digariskannya termasuk barisan pemimpin mestilah setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi, agar ia menjadi sebuah armada yang cukup gagah menempuhi apa jua cabaran.

Justeru, peringatan dan nasihat serta harapan dan permintaan Datuk Seri Najib itu hendaklah dihayati oleh setiap pemimpin dan ahli Umno demi kelangsungan perjuangan parti.

Turut ditegaskannya ialah keberanian membuat perubahan dan menerima perubahan.

Bermakna, terpikul di bahu perwakilan Umno pada perhimpunan kali ini bagi menentukan masa depan dan halatuju Umno.

Pemimpin dan ahli Umno perlu mesra rakyat, mendekati rakyat dengan penuh dedikasi tanpa mengharapkan imbuhan.

Inilah juga antara lain mesej yang disuarakan oleh Datuk Seri Abdullah ketika menyampaikan amanat pada majlis Taklimat Presiden, petang Selasa di Dewan Merdeka PWTC.

Pak Lah antara lain mahukan agar barisan kepimpinan baru yang bakal dipilih pada perhimpunan ini, hendaklah terdiri daripada satu barisan kepimpinan yang disenangi rakyat.

Memandangkan perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008, maka setiap perwakilan sewajarnya menoleh jejak-jejak yang telah ditinggalkan untuk membolehkan kita melangkah dengan penuh keyakinan.

Ini kerana banyak pengalaman menjadi pengajaran dalam pilihan raya umum lepas, antaranya kelemahan dalaman parti yang terbiar tanpa usaha memperbetulkan keadaan.

Kini adalah masa terbaik bagi ahli Umno, khususnya perwakilan untuk melestarikan parti supaya Umno kekal relevan sepanjang zaman.

Selamat Bersidang!

No comments: