Translate

Thursday, March 26, 2009

SUNTIKAN IMUNISASI POLITIK JANA KEKUATAN BARU WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO



SEKALUNG tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Ketiga-tiga mereka telah dipilih oleh perwakilan Umno untuk mengetuai sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, dalam pemilihan yang diadakan malam kelmarin.

Shahrizat memenangi jawatan Ketua Wanita dengan mendapat 507 undi, manakala penyandang, Datuk Seri Rafidah Aziz, memperoleh 280 undi.

Sementara Khairy pula menang dengan memperolehi 304 undi, menewaskan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Muhkriz Mahathir (232).

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar memenangi jawatan Ketua Puteri dengan 245 undi, mengalahkan lima calon lain.

Kemenangan mereka membuktikan penerimaan ahli terhadap kepimpinan dan keyakinan terhadap kewibawaan mereka mengemudi perjuangan.

Di sebalik sokongan itu, sebenarnya tersimpan harapan tinggi perwakilan untuk melihat perubahan dan pembaharuan bagi menjadikan Umno terus kukuh dan unggul serta diterima rakyat seluruhnya.

Apapun analisa mengenai jumlah undi yang diterima atau faktor-faktor yang membawa kemenangan, kemenangan mereka adalah manifestasi kekuatan sebagai pemimpin terbaik pada pengamatan para perwakilan. Yang turut bertanding, tetapi tewas, juga sebenarnya dari kalangan pemimpin terbaik, cuma tidak mencukupi sokongan untuk diangkat dan dijulang sebagai ketua.

Kecuali sayap Wanita, jawatan Ketua Pemuda dan Puteri menjadi rebutan berikutan kedua-dua penyandangnya melepasi had kelayakan dan mengambil keputusan melepaskan jawatan.

Pemilihan ketua baru bagi ketiga-tiga sayap parti itu menunjukkan suntikan imunisasi politik yang diberikan perwakilan seiring dengan perubahan yang mahu digarap oleh pucuk kepimpinan parti.

Biarpun senario pemilihan ketua ketiga-tiga sayap parti itu mungkin berbeza, namun keputusan yang dibuat oleh perwakilan menunjukkan mereka mahukan sesuatu yang baru untuk membawa keyakinan baru kepada halatuju perjuangan parti.

No comments: