Translate

Tuesday, April 21, 2009

PENANTIAN DI PENANTI: TANDING ATAU TIDAK?




KEKOSONGAN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang kini telah menjadi bahan perbahasan hangat dan polemik di kalangan pemimpin dan parti-parti politik sejak kebelakangan ini.

Perdebatannya bukan sekadar punca kepada kisah yang membawa kekosongan kerusi tersebut, tetapi juga berkisar kepada sama ada Barisan Nasional (BN) perlu bertanding atau sebaliknya dalam pilihan raya kecil itu kelak.

Ini berikutan pandangan yang dilontarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, yang membayangkan kemungkinan BN tidak bertanding.

"Terlalu banyak masa, tenaga, wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang tidak perlu sebenarnya," demikian kata Perdana Menteri, sambil menyatakan bahawa rakyat pada dasarnya tidak suka kepada pilihan raya kecil yang sengaja diadakan.

Soal pembaziran wang juga menjadi pertimbangan. Laporan media menyebut bahawa sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil membabitkan perbelanjaan lebih RM30 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis untuk mengendali dan memastikan kelancaran pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan juga bahawa sebarang keputusan mengenai perkara itu akan dibincang bersama parti-parti komponen BN yang lain, yang perlu sepakat untuk menyetujuinya.

Kerusi DUN Penanti kosong selepas penyandangnya yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohammad Fairus Khairuddin, 32, meletakkan jawatan minggu lalu, atas.alasan ingin memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

SPR dijangka bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Penanti.

Penanti adalah salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang disandang oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu, Mohammad Fairus Khairuddin memperoleh 7,346 undi dengan majoriti 2,219, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Kenyataan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Najib itu, yang disokong dengan asas-asas yang kuat, turut mendapat sokongan pelbagai pihak, tetapi ada juga yang berpendapat sebaliknya dengan alasan mereka yang tersendiri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, misalnya memberikan pandangan berbeza, juga dengan asas-asas yang rasional, sekali gus menimbulkan pandangan pro dan kontra.

Terbaru, beliau menyatakan bahawa sebarang keputusan BN, sama ada untuk bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, tidak harus berdasarkan kepada kepada peluang untuk menang sahaja.

"Ia bukan soalan untuk menang atau kalah, kita underdog di sana tetapi kita jangan pinggirkan penyokong-penyokong kita sendiri," demikian pendapat Dr Mahathir.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata jika cadangan BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu menjadi kenyataan, ia akan membantu meredakan suasana politik, manakala Timbalan Presiden Gerakan, Chang Ko Youn, berkata parti itu bersetuju jika BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu, berpendapat BN hendaklah bertanding di Penanti.

Perbahasan mengenai sama ada BN bertanding atau sebaliknya menghangatkan lagi penantian di Pananti.

Apapun, Datuk Seri Najib semestinya telah memikirkan semasak-masaknya sebelum mengemukakan syor itu, dengan mengambil kira keadaan persekitaran politik tanah air.

Sebagai ahli parti, kita sememangnya berhak memberikan pandangan mengenainya, malah kebebasan untuk melontarkan idea tanpa sekatan merupakan manifestasi sikap keterbukaan Datuk Seri Najib mendepani cabaran politik.

Yang penting pada akhirnya nanti, apabila parti memuktamadkan keputusan berhubung sesuatu perkara, setiap ahli parti perlu menerimanya dan sama-sama mempertahankan keputusan tersebut.

Bagi rakyat dan pemimpin Umno di Penanti, mereka menyerahkan kepada MT Umno dan BN untuk membuat keputusan sama ada bertanding atau sebaliknya.

Bekas calon BN di Penanti, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, berkata perkara itu terserah kepada pimpinan tertinggi memutuskannya, tetapi menegaskan: "Kami di Bahagian Permatang Pauh sudah bersedia untuk pilihan raya kecil ini jika parti bertanding."

No comments: