Translate

Thursday, May 21, 2009

DEKLARASI ASET DAN KESIHATAN PILIHAN RAYA PRESIDEN INDONESIA



SEPERTI dijadualkan, Indonesia akan mengadakan pilihan raya Presiden pada awal Julai depan, iaitu tidak sampai dua bulan dari sekarang.


Tiga regu bakal bersaing, termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang juga Ketua Dewan Pembina Parti Demokrat yang mempertahankan jawatan dan memilih bekas Gabenor Bank Indonesia, Boediono sebagai regunya bagi jawatan Naib Presiden.


Regu kedua yang bertanding ialah Megawati Soekarnoputri, bergandingan dengan Prabowo Subianto, manakala regu ketiga pasangan Ketua Umum Parti Golongan Karya, Jusuf Kalla bersama Ketua Dewan Pembina Parti Hati Nurani Rakyat, Wiranto.


Yang pasti, pilihan raya umum Indonesia (Pemilu 2009) ini adalah antara yang terhangat dan mendapat perhatian. Seperti orang lain, saya juga mengikuti perkembangan politik di negara itu dari semasa ke semasa, termasuk menerusi alam siber.


Sesuatu yang menarik terkesan oleh saya ketika melayari internet ialah deklarasi aset dan pemeriksaan status kesihatan oleh calon-calon yang bertanding.

Semua yang bertanding dikehendaki membuat deklarasi aset kepada publik sebagai satu langkah ketelusan dan "membersihkan" diri daripada prasangka dan tohmahan umum mengenai unsur korupsi jika dipilih memegang jawatan itu kelak.


Deklarasi aset ini merangkumkan semua harta yang dimiliki atau apa yang diistilahkan sebagai harta bergerak dan harta tidak bergerak, termasuk tanah, mobil (kenderaan), peternakan, perikanan, perkebunan, pertanian dan kehutanan selain nilai simpanan dalam bentuk `surat berharga' dan "Giro" yang dimiliki.


Paling menarik lagi apabila disebutkan dalam deklarasi itu perincian harta dimiliki, termasuk jumlah ternakan, misalnya Prabowo Subianto yang menyatakan jumlah kuda yang dimilikinya sebanyak 90 ekor yang asalnya dari Eropah.


Perisytiharan harta Prabowo itu dilaporkan oleh media Indonesia dan menimbulkan sedikit kekeliruan sehingga memaksa KPK membuat verifikasi.


"Jumlah kekayaan calon wakil Presiden (Cawapres) Prabowo, setelah dilakukan verifikasi hanya 1,57 triliun dan bukannya Rp1,7 triliun seperti disampaikan sebelumnya," kata Direktur Direktorat Lembaga Harta Kekayaan Penyelenggara Negara (LHKPN) KPK, Muhammad Sigit.


Meski nilai asetnya sudah berkurang dari yang dilaporkan sebelum itu, Prabowo tetap kontestan yang paling kaya dibanding lima calon presiden dan wakil presiden lainnya. Harta Prabowo ini juga fantastis jika dibandingkan dengan kekayaannya tahun 2003 yang dilaporkan hanya Rp10 miliar.


Selain kuda berkenaan, harta lain yang dimilikinya termasuk tanah seluas 4,8 hektar, rumah seluas 3 ribu meter, lapan buah kendaraan roda empat dan perusahaan-perusahaannya yang tersebar di Indonesia, Argentina dan Perancis.


Secara perbandingan, laporan media menyebut bahawa daftar kekayaan Presiden Susilo yang lebih dikenali dengan panggilan SBY bagi bagi 2004 adalah Rp4,65 miliar, manakala pada 2007 adalah Rp7,14 miliar dan USD44.887 termasuk harta tidak bergerak, terdiri dari enam bidang tanah dan bangunan, alat transportasi dan mesin.


Demikian juga Megawati, daftar kekayaannya dilaporkan mencapai Rp59,80 miliar (2001) dan sebesar Rp86,26 miliar (2004), manakala Jusuf Kalla pula mengalami peningkatan harta kekayaan daripada Rp194 miliar (2004) kepada Rp253 miliar dan USD14.928 (2007).


Mengenai pemeriksaan kesihatan calon Presiden pula, Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) sudah mengumumkan bahawa ketiga-tiga pasangan yang menyertai pilihan raya Presiden Indonesia kali ini telah lulus pemeriksaan kesihatan.


Naib Presiden KPU, Syamsul Bahri, dilaporkan berkata bahawa ketiga-tiga pasangan itu sihat dari segi jasmani dan rohani serta bersedia melaksanakan tugas jika mereka terpilih.


Secara peribadi, saya melihat deklarasi aset dan pemeriksaan kesihatan ini sesuatu yang menarik dan sesuai dicontohi. Ini penting untuk menentukan ketelusan, keikhlasan dan kejujuran seseorang untuk menjadi pemimpin bagi membela nasib rakyat terbanyak.


Perisytiharan harta kepada umum misalnya akan membolehkan masyarakat menilai kemampuan seseorang yang mahu menjadi pemimpin, mengetahui latarbelakang dan statusnya sebelum diangkat sebagai pemimpin dan kemudian dapat pula dinilai kedudukannya selepas memegang sesuatu jawatan.


Tidak salah mempunyai aset yang banyak asalkan dapat dijelaskan sumbernya. Yang sering menimbulkan persoalan, tandatanya dan keraguan di negara ini adalah mereka-mereka yang tiba-tiba saja menjadi kaya setelah bergelar `orang besar'.


Di negara kita, perisytiharan harta sememangnya dikenakan bagi setiap pemimpin, tetapi ia terhad dikemukakan kepada pemimpin atasan saja, bukan untuk pendedahan umum. Mungkinkah sudah tiba masanya bagi kita mengikut jejak langkah sedemikian?


Bagi pemeriksaan kesihatan pula, sudah tentu ia langkah terbaik dan pastinya dialu-alukan oleh masyarakat umumnya. Pemeriksaan kesihatan bertujuan menentukan seseorang itu berkemampuan memberi khidmat terbaik kepada rakyat yang diwakili. Adalah sesuatu yang merugikan jika seseorang pemimpin yang dipilih terpaksa "direhatkan" gara-gara masalah kesihatan.

Saringan kesihatan mungkin boleh dijadikan sebagai prasyarat dalam memilih seseorang menduduki apa jua jawatan politik. Bagi penjawat awam dan juga sektor swasta, pemeriksaan kesihatan adalah sesuatu yang wajib dibuat sebelum ditawarkan sebarang pekerjaan.

No comments: