Translate

Wednesday, May 6, 2009

MEMENUHI GAGASAN PERDANA MENTERI MENYELAMI KELUHAN RAKYAT






Pagi selasa saya hadir di Padang Merdeka, Kota Kinabalu untuk menghadiri Majlis Perhimpunan Rakyat Bersama Perdana Menteri.
Ribuan orang berkumpul memenuhi setiap ruang yang ada di situ.

Mereka hadir untuk sama-sama menyambut dan meraikan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sempena lawatan rasmi dua hari ke Sabah yang bermula pada Isnin.

Bahagian pentas utama juga sudah ramai tetamu – pemimpin politik dan pegawai kerajaan.

Saya melihat wajah-wajah mereka yang datang begitu bersemangat dan “excited” menantikan kedatangan Perdana Menteri.Pastinya rakyat Sabah rasa bertuah dan dihargai kerana negeri ini antara yang terawal dilawatinya setelah menyandang jawatan Perdana Menteri.

Acara sambutan begitu meriah dan tersusun rapi, pastinya menjadi kenangan bersejarah bagi Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta setiap pemimpin dan segenap lapisan rakyat yang hadir.

Di sebalik kemeriahan sambutan itu, majlis tambah bersejarah apabila ia diadakan di Padang Merdeka, iaitu tempat di mana ayahanda Datuk Seri Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mewakili Kerajaan Tanah Melayu menyaksikan perisytiharan penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia, kira-kira 46 tahun lalu, iaitu pada 16 September 1963.

Secara peribadi, saya menganggap majlis perhimpunan rakyat itu cukup berjaya, apatah lagi dengan kehadiran yang begitu ramai. Laporan media arus perdana menganggarkan lebih 10,000 orang menghadirinya.

Lebih signifikan lagi apabila Datuk Seri Najib telah menyampaikan beberapa mesej penting untuk dihayati bersama, selain membuat pengumuman buat rakyat seperti pembelian Sabah Medical Centre (SMC) oleh kerajaan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan terbaik buat rakyat Sabah.

Sebagaimana slogan yang dibawanya untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, Datuk Seri Najib dalam ucapannya secara berterus-terang menyebut beberapa perkara yang mesti dihayati oleh segenap lapisan pemimpin.

Antara yang disebutkannya ialah pentingnya setiap pemimpin turun padang mendekati dan menyelami permasalahan rakyat.

Ditegaskan oleh beliau bahawa soal protokol harus dikurangkan, sebaliknya keutamaan mesti menjurus kepada usaha membela nasib rakyat.

‘‘Tidak payah kita tunggu jemputan sebagai wakil rakyat. Tidak payah diundang, tidak payah ada bunga manggar, tidak payah dengan hamparan (permaidani) merah dan tidak payah tunggu televisyen.

‘‘Turun padang, tinjau masalah rakyat kerana dengan ini akan membuatkan BN terus dekat di hati rakyat. Ini gaya kepimpinan BN yang saya mahu lihat,” demikian antara inti ucapan bermakna Perdana Menteri.

Ternyata, mesej Datuk Seri Najib itu benar-benar dihayati oleh mereka yang hadir apabila setiap kali dilontarkan, ia disambut dengan sorakan mereka yang hadir.

Sememangnya, sejak mengambil alih teraju kepemimpinan negara, Datuk Seri Najib sering mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya supaya komited dalam membantu rakyat, sejajar usaha memulihkan keyakinan rakyat.

Beliau sendiri telah memberikan teladan dengan turun padang tanpa protokol ke beberapa lokasi di Kuala Lumpur, kemudian ia diulangi lagi ketika lawatan ke Sabah apabila berjalan kaki di kawasan pasar dan tumpuan awam di Jalan Tum Fuad Stephens di ibu negeri.

Saya sependapat dengan Perdana Menteri bahawa semua pemimpin perlu mengabdikan diri untuk rakyat.

Peringatan Perdana Menteri itu sewajarnya diberi perhatian dan dijadikan iktibar oleh setiap mereka yang bergelar pemimpin.

Mereka yang telah menawarkan diri menjadi pemimpin harus memahami hakikat bahawa mereka perlu mendambakan diri buat rakyat yang diwakili, bukannya menjauhkan diri atau bersembunyi.

Kini adalah masa untuk bekerja. Tidak boleh membuang masa. Kerja pemimpin tidak ada batas waktunya. Seorang pemimpin yang baik tidak akan bekerja hanya pada waktu menjelang pilihan raya, sebaliknya akan bekerja sepanjang masa.

No comments: