Translate

Sunday, May 31, 2009

MENCARI PENYELESAIAN DI SEBALIK KEKEJAMAN AH LONG



SUDAH beberapa hari akhbar dan tv menyiarkan laporan mengenai kes tiga lelaki yang dirantai leher dan kaki serta dikurung oleh ah long, setelah gagal membayar pinjaman mereka.

Laporan tersebut yang gambar-gambarnya dipamerkan dalam Utusan Malaysia pada Khamis lepas sangat menyayat hati, sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang terkejut dengan kekejaman yang dilakukan sedemikian rupa.

Bertolak dari kes tersebut, bermacam-macam pandangan dilontarkan. Perbahasan berkisar kepada akar-umbi permasalahan tersebut, sikap masyarakat dan kekangan yang dihadapi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka terbabit.

Biarpun tiada langkah dan penyelesaian konkrit dirumuskan sehingga kini bagi membanteras operasi ah long itu, namun kes yang menimpa tiga lelaki peminjam yang dirantai leher dan kaki serta dikurung dalam "lokap" buatan ah long setidak-tidaknya telah membuka mata pelbagai pihak selain menjadi iktibar bagi masyarakat seluruhnya.

Kes tersebut berlaku di Serdang, Selangor, dan sehingga kini pihak berkuasa sudah menahan ah long yang mengurung mereka termasuk seorang yang dikatakan menjadi ketua mereka.

Mengikut laporan, ketiga-tiga lelaki berkenaan, yang meminjam antara RM1,500 hingga RM4,000 hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil tanpa aliran udara yang hanya dilengkapi tandas itu. Mereka yang berusia antara 25 hingga 49 tahun dikurung antara 17 hari hingga dua bulan.

Bagi saya, ada dua aspek yang harus diberi perhatian untuk dijadikan iktibar bersama. Pertama, mencari punca yang membawa kepada permasalahan tersebut dan kedua, mencari mekanisme dan jalan penyelesaian untuk menanganinya.

Apabila faktor-faktor yang menjadi punca masalah itu ditemui, maka sudah tentulah mudah mencari jalan mengatasinya. Dan jika ada komitmen bersama dari semua pihak untuk sama-sama menanganinya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

Mengambil kira keadaan ekonomi yang tidak menentu pada hari ini, rasanya langkah segera perlu diambil sebelum keadaan menjadi bertambah kritikal.

Laporan media menyebut bahawa kira-kira 100,000 kakitangan awam dicengkam ah long, tidak termasuk mereka yang bekerja di sektor swasta dan bekerja sendiri.

Jika tiada langkah segera diambil, dikhuatiri akan lebih ramai lagi terjebak meminjam daripada ceti haram dan akhirnya menjadi mangsa apabila gagal melunaskan pinjaman yang diambil.

Berdasarkan pemerhatian saya, peminjam ah long ini juga ada dua kategori, iaitu mereka yang mempunyai pekerjaan (sama ada di sektor awam mahupun swasta) dan mereka yang bekerja sendiri, termasuk peniaga dan penjaja kecil.

Mereka ini terpaksa mencari ah long disebabkan usaha mendapatkan kemudahan pinjaman daripada institusi berlesen agak lambat dan syarat prosedur yang ketat, berbanding ah long yang dikatakan tidak "cerewet" biarpun disedari mereka dikenakan kadar faedah yang sangat tinggi.

Yang bekerja biasanya mendapatkan pinjaman untuk menutup hutang, menambah perbelanjaan, membeli keperluan rumah seperti perabot dan seumpamanya, manakala yang bekerja sendiri biasanya meminjam wang bagi dijadikan "modal pusingan" perniagaan yang dijalankan seperti berjualan sayur-sayuran, buah-buahan dan seumpamanya.

Tidak dinafikan, ada juga yang meminjam wang untuk berjudi dan berhibur atau sekadar menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah.

Melihat kepada trend sedemikian, mungkin ada dua pendekatan boleh difikirkan bersama.

Pertama, harus difikirkan ialah bagaimana kerajaan atau institusi kewangan boleh membantu mereka yang berpendapatan tetap untuk mendapatkan kemudahan pinjaman dengan menentukan mereka membayar balik pinjaman (menerusi skim potongan gaji) supaya mereka tidak terjebak meminjam daripada ah long yang mengenakan kadar faedah sangat tinggi.

Biasanya, kadar faedah pinjaman daripada institusi berlesen adalah terkawal dan jauh lebih rendah berbanding yang dikenakan ceti haram yang mengira serta mengenakan faedah mengikut harian atau mingguan.

Bagi pinjaman oleh petugas awam, bayaran balik pinjaman boleh dipotong dari gaji bulanan mereka menerusi Angkasa, iaitu badan koperasi kebangsaan.

Satu usaha yang dilakukan oleh Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mungkin boleh diberi pujian dan dicontohi oleh institusi lain. Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata pihaknya memperuntukkan RM100 juta bagi menyediakan pinjaman peribadi untuk guru-guru, susulan skim seumpamanya yang ditawarkan kepada anggota polis pada Mac lepas.

Menerusi skim yang ditawarkan MBSB, pinjaman maksimum ialah RM150,000 bagi tempoh 15 tahun pada kadar faedah 5 peratus setahun.

Kedua, harus difikirkan oleh kerajaan dan agensi berkaitan bagaimana membantu golongan yang bekerja sendiri, iaitu mereka yang tidak ada slip gaji bagi memohon pinjaman, misalnya peniaga dan penjaja kecil yang berjualan di pasar-pasar atau tamu.

Mereka ini biasanya berusaha mendapatkan tambahan duit bagi memperbesarkan perniagaan yang dijalankan atau mencari "modal pusingan" supaya perniagaan dapat berjalan.

Dalam hal ini, mungkin agensi-agensi kewangan kerajaan yang terlibat dalam peminjaman mencari jalan bagaimana kaedah atau mekanisme paling mudah untuk memberi pinjaman kepada peniaga dan penjaja kecil-kecilan, agar mereka tidak mengambil jalan mudah meminjam daripada ah long atau ceti haram.

Golongan ini biasanya mahu mendapatkan wang pusingan yang cepat, justeru apabila berusaha mendapatkan kemudahan pinjaman daripada agensi kerajaan mengambil masa agak lama, mereka mengambil keputusan mencari ah long.

Mereka biasanya juga tertarik dengan tawaran iklan-iklan haram yang ditampal di pondok-pondok telefon atau bangunan awam serta kad-kad perniagaan yang biasanya disisipkan pada kenderaan.

Langkah segera membanteras kegiatan ini perlu dilaksanakan segera. Ini kerana budaya meminjam wang melalui saluran tidak betul di kalangan rakyat negara ini, sama ada di bandar mahupun luar bandar, sudah mencapai tahap membimbangkan, antaranya mungkin disebabkan tuntutan gaya hidup.

Ia perlu dihentikan kerana jika tidak, ia boleh mengundang pelbagai masalah yang boleh mengancam serta menjejaskan kehidupan harian selain menjejaskan produktiviti bagi kakitangan perkhidmatan awam.

Mereka yang benar-benar memerlukan bantuan harus dibantu. Maknanya, peminjam tulen harus diberi pertimbangan untuk mendapatkan kemudahan pinjaman, manakala mereka yang meminjam untuk tujuan tidak pasti (berjudi misalnya) tidak harus diberi layanan.

Pada masa sama, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap ah long yang berselindung di sebalik lesen perniagaan mereka.

Yang penting lagi ialah kesedaran masyarakat sendiri untuk mengubah sikap. Mereka harus mendapatkan pinjaman daripada institusi yang diiktiraf saja. Yang sedihnya, masih ada individu yang belum insaf dan terus mendapatkan bantuan ah long biarpun pelbagai pendedahan dibuat oleh media mengenai keganasan dan kekejaman ah long.

Semoga pendedahan media mengenai tiga lelaki yang dirantai leher dan kaki serta dikurung dalam bilik kecil tanpa tingkap di Serdang, Selangor, minggu lepas menginsafkan kita semua!

No comments: