Translate

Thursday, May 14, 2009

PELANTIKAN PETER PANG BERTEPATAN, JADI ASET KEKUATAN BN




BERIKUTAN pelbagai komen, reaksi dan perdebatan mengenai jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang disandang pemimpin tidak berparti selama kira-kira sembilan bulan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akhirnya melakukan penyusunan semula dalam Kabinet negeri pada Rabu kelmarin.



Rombakan kecil Kabinet itu menyaksikan penyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri bagi kuota masyarakat Cina, Datuk Raymond Tan, yang mengambil keputusan tidak mengikuti parti asalnya, Parti Maju Sabah (SAPP) yang bertindak meninggalkan Barisan Nasional (BN), digantikan oleh pemimpin dari Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Peter Pang En Yin.


Raymond Tan bagaimanapun dikekalkan dalam Kabinet, tetapi bertukar portfolio daripada Menteri Pembangunan Infrastruktur kepada Menteri Pembangunan Perindustrian,


Peter Pang selaku Naib Presiden LDP mengekalkan portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan.


Keputusan yang dibuat oleh Datuk Musa melantik Peter Pang, dilihat sebagai bertepatan kerana sejarah politik dalam BN menunjukkan jawatan itu diberikan kepada pemimpin Cina daripada "Sabah-based party" biarpun Sabah juga mempunyai parti politik berasaskan kaum Cina dari Semenanjung.


Raymond Tan sebelum ini menyandang jawatan TKM itu mewakili SAPP, justeru apabila parti itu bertindak keluar daripada BN dan Raymond Tan tidak mengikutnya, maka sewajarnya ia diserahkan kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan dan pelantikan baru.


Sepanjang Raymond Tan menyandang jawatan TKM walaupun tidak lagi mewakili mana-mana parti komponen BN telah mengundang kritikan pelbagai pihak. Dan apabila beliau mengambil keputusan menyertai parti Gerakan, sebuah parti komponen BN berpusat di Semenanjung, terdapat juga suara-suara yang mendesak beliau melepaskan jawatan itu atas alasan ia disandang menggunakan tiket SAPP dahulu.


Justeru, tindakan yang diambil Ketua Menteri merombak Kabinet negeri, dengan memberikan jawatan TKM kepada pemimpin Cina daripada parti tempatan Sabah sambil mengekalkan Raymond Tan dalam Kabinet dilihat sebagai penyelesaian yang boleh meredakan pertikaian politik.


Biarpun Parti Bersatu Sabah (PBS), sebuah lagi parti komponen BN, juga mempunyai pemimpin Cina, namun jawatan itu tidak diberikan kepada mereka kerana presiden parti berkenaan sudah pun menjadi TKM mewakili kuota Bumiputera bukan Islam.


Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Musa, pelantikan itu dibuat setelah mendapat pandangan daripada pemimpin-pemimpin parti komponen BN serta persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


"Dengan barisan Kabinet yang baru ini, agenda kita tetap mengutamakan rakyat dan akan terus menumpukan usaha dengan lebih banyak bekerja dan kurang bercakap," katanya, sambil berharap pelantikan itu tidak lagi dipertikaikan.


Secara peribadi, saya melihat pelantikan Peter Pang ke jawatan itu diyakini diterima oleh rakyat, terutama masyarakat Cina berikutan penampilan yang "simple" dan personalitinya yang "relax" disertai pula dengan kemesraan dan wajah yang sentiasa tersenyum.


Kelihatannya beliau seorang yang lebih banyak bekerja daripada bercakap, iaitu sikap dan ciri-ciri kepemimpinan yang dituntut pada hari ini. Beliau adalah "aset" yang diyakini mampu membawa kekuatan kepada pimpinan kerajaan negeri yang telah menggariskan halatuju pembangunan, serta berkeupayaan menjayakan slogan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

No comments: