Translate

Saturday, May 2, 2009

PETUA MENJADI WAKIL RAKYAT YANG EFEKTIF



KETIKA menghadiri majlis kesyukuran kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil DUN Batang Ai di Kuching baru-baru ini, saya tertarik dengan pesanan yang diberikan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dr James Masing, kepada Malcolm Mussen Lamoh yang memenangi kerusi tersebut.


Dalam ucapannya, Dr James memberikan beberapa nasihat dan petua kepada Malcolm jika beliau ingin menjadi seorang wakil rakyat yang efektif.

Dalam pilihan raya kecil itu, Malcon memenangi kerusi Batang Ai dengan majoriti besar 1,854 undi dengan memperolehi 3,907 undi, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang (2,053 undi).


Bagi Dr James, perjalanan hidup Malcolm masih jauh. Kemenangan dalam pilihan raya kecil itu hanyalah kejayaan menyempurnakan fasa pertama tugasannya, manakala perjalanan separuh kedua pula menentukan sama ada beliau boleh mengekalkan statusnya sebagai seorang wakil rakyat.


Dr James menceritakan bahawa berdasarkan pengalamannya sendiri, perjalanan separuh kedua itu lebih mencabar kerana ia menuntut ketahanan, kecekapan, dedikasi dan kesabaran.


Menurutnya lagi, tugas di arena politik sebagai wakil rakyat jauh berbeza dengan tugas sebagai seorang kakitangan kerajaan, sambil merujuk status Malcolm sebelum ini yang menjawat jawatan Penolong Pengarah Pertanian.


Soal "privacy" tidak harus diungkit lagi kerana setiap pemimpin politik harus menerima hakikat bahawa "masa anda adalah masa pengundi, rumah anda adalah rumah pengundi, dan elaun anda adalah elaun pengundi."


Justeru, sebagai seorang pemimpin politik, seseorang itu perlu menjadi "philanthropist, banker, social worker" sekali gus kerana itulah ciri-ciri yang perlu dimiliki bagi menjadi wakil rakyat yang berkesan.


Kepada keluarga Mussen pula, Dr James berharap isteri wakil rakyat itu, Dorothy dan tiga anak mereka memberikan sokongan sepenuhnya supaya beliau boleh menjadi seorang "politican" yang bagus dan menjadi wakil rakyat yang efektif.


Saya turut berkongsi pandangan yang sama dengan Dr James, yang sememangnya sahabat yang saya kenali sejak dulu lagi. Sebagai seorang pemimpin politik veteran, apa yang disuarakan oleh Dr James itu bukan saja ada kebenaran, tetapi sememangnya satu realiti dalam dunia politik.


Dengan memberi pesanan dan petua itu di hadapan tetamu kehormat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr James sebenarnya bercakap jujur dan pastinya dengan niat mahu melihat wakil rakyat PRS yang dipimpinnya memberi khidmat terbaik.


Saya sependapat dengannya bahawa wakil rakyat sebenarnya adalah milik umum. Hakikat inilah yang perlu difahami dan dimengertikan oleh setiap mereka yang bergelar pemimpin atau baru bercita-cita mahu menjadi pemimpin.


Seseorang perlu mengetahui maksud sebenar istilah pemimpin itu. Rakyat tidak mahu, hanya setelah seseorang itu diangkat menjadi YB, pemimpin itu bersembunyi pula dan mengadu kononnya kehidupan peribadi (privacy) mereka terganggu atau diganggu, sedangkan mereka sendiri yang menawarkan diri sebagai calon pada peringkat permulaannya.


Yang diperlukan oleh rakyat adalah YB yang benar-benar prihatin dan membela nasib rakyat dalam ertikata sebenar. Orang kampung akan berasa muak dan jelek pada pemimpin yang bermuka-muka, lebih mengutamakan penampilan, protokol yang berlebihan dan berkonvoi apabila masuk ke kampung-kampung.


Secara peribadi, berdasarkan pengalaman saya sepanjang menjadi ahli politik, rakyat mahukan pemimpin yang pantas bertindak menyelesaikan masalah diadukan, simple apabila masuk kampung dan boleh duduk santai mendengar rintihan.


Setiap wakil rakyat mesti bersedia berhadapan rakyat, baik dalam keadaan senang mahupun susah. Rakyat sebagai pengundi telah mengangkat mereka menjadi pemimpin, atas keyakinan terhadap kemampuan mereka menjadi wakil rakyat. Yang mendukacitakan rakyat ialah adanya pemimpin politik yang cepat berubah hanya setelah bergelar YB.


Sebagaimana intipati pesanan Dr James itu, saya juga sependapat pentingnya "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" oleh setiap pemimpin, terutama mereka yang bergelar wakil rakyat.

No comments: