Translate

Tuesday, May 19, 2009

SAMPAIKAN MESEJ PEMBAHARUAN, PERKUKUH SAF KEPIMPINAN



SEJAK beberapa hari lalu, banyak sudah cawangan-cawangan Umno di Sabah mengadakan mesyuarat masing-masing. Perasmian diadakan secara berkelompok. Proses ini akan berlangsung sehingga 30 Jun.


Mengikut rekod, sehingga 31 Dis tahun lalu, Umno Sabah yang terbahagi kepada enam zon mempunyai 5,240 cawangan dengan keahlian seramai 425,093 orang.


Mesyuarat Umno pada kali ini, sama ada pada peringkat cawangan mahu pun bahagian, tetap penting demi perjuangan dan survival parti biarpun tiada proses pemilihan diadakan. Ia tidak boleh dianggap sekadar memenuhi kehendak dan peraturan parti, sebaliknya dijadikan sebagai platform ke arah memperkasakan Umno agar terus unggul, relevan dan kekal menjadi tonggak kepada Barisan Nasional (BN).


Malahan, mesyuarat kali ini harus dianggap sebagai lebih penting daripada sebelum ini kerana ia merupakan yang pertama selepas perhimpunan agung parti yang menyaksikan proses peralihan kepemimpinan tertinggi parti.


Pada mesyuarat inilah harus dijadikan wadah bagi pemimpin menyampaikan mesej kepada ahli peringkat akar-umbi, sejajar perubahan dan pembaharuan serta kehendak Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menahkoda zaman dan melestarikan Umno.


Dalam konteks Umno Sabah, kita juga perlu terus unggul, bukan saja sebagai kubu pertahanan, tetapi juga sebagai "fixed deposit" buat parti.


Dengan mengambil kira senario politik di pentas nasional mutakhir ini, adalah penting bagi seluruh pimpinan Umno di semua peringkat untuk bersatu padu, saling menghormati serta berpegang teguh kepada perlembagaan dan tatacara kerana ini akan menjadikan parti lebih kuat. Apabila parti kuat, kerajaan menjadi kukuh dan akhirnya ekonomi akan makmur. Inilah sebenarnya antara perjuangan Umno -- mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat.


Ada lah diharapkan agar mesyuarat di peringkat cawangan yang sedang berlangsung dan diikuti mesyuarat peringkat bahagian, menjadi landasan memperkuatkan saf kepimpinan parti. Ini kerana harapan begitu tinggi disandarkan oleh perwakilan ketika berlangsungnya perhimpunan agung parti-baru baru ini. Mereka mahu melihat perubahan dan pembaharuan. Mereka mahukan suatu anjakan paradigma untuk parti, supaya Umno kekal unggul dan relevan.


Kita perlu mendengar setiap denyut nadi rakyat supaya tidak hanyut dan terjerumus dalam putaran arus politik yang ganas. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Seri Mohd Najib sendiri, bahawa Umno harus berubah kerana, jika tidak, parti akan rebah dalam pilihan raya akan datang.


Kepada sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno ada lah diharapkan kita semua meneruskan perjuangan membela nasib rakyat tanpa henti. Kejayaan yang dicapai sehingga kini tidak bermakna perjuangan sudah selesai. Masih banyak perlu dilakukan. Masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri. Proses pembinaan negara bangsa melibatkan semua pihak. Pergerakan Wanita harus bersikap proaktif, Pemuda pula mesti agresif, manakala Puteri sentiasa dinamik.


No comments: