Translate

Tuesday, June 16, 2009

ANTARA REALITI PINDAAN PERLEMBAGAAN DAN MANIFESTASI KEKUATAN PARTI


MINGGU lepas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil keputusan meminda perlembagaannya atas matlamat mengisi Agenda Perubahan yang dijanjikannya kepada rakyat.

Tindakan parti pembangkang itu menyusuli keputusan yang dibuat oleh Umno ketika perhimpunan agung parti Mac lepas untuk meminda perlembagaan bagi tujuan menjadikan Umno terus relevan dan dekat di hati rakyat.

Bagi PKR, langkah meminda perlembagaan itu diambil kerana mendengar suara segenap lapisan anggotanya yang mahukan “perlembagaan yang menzahirkan semangat dan Agenda Perubahan”, manakala Umno pula berbuat demikian kerana mendengar denyut nadi ahli-ahli di peringkat akar-umbi.

Matlamat akhir pindaan perlembagaan kedua-dua parti itu adalah bertujuan menjadikan parti lebih demokratik dalam proses memilih pemimpin, sekali gus menjadikannya sentiasa relevan, kukuh dan berpengaruh.

Ia tentunya sebagai usaha menarik minat rakyat terhadap parti serta menunjukkan parti adalah bersifat terbuka dan bersih daripada amalan-amalan tidak sihat seperti pengaruh politik wang.

Sememangnya, setiap parti politik yang mahu kekal utuh atau sentiasa kelihatan berpengaruh, perlu mengambil tindakan-tindakan yang juga kelihatan proaktif dengan mengambil kira citarasa dan kehendak masyarakat umum.

Justeru, pindaan perlembagaan adalah satu daripada langkah untuk parti bergerak mara ke hadapan.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pindaan perlembagaan partinya itu adalah untuk membolehkan parti bergerak dengan lebih rancak ke arah mengisi Agenda Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat.

“Kita mahu Parti Keadilan Rakyat menjadi wadah perubahan sebenar,” katanya pada Kongres Nasional Khas minggu lepas, sambil menyatakan keyakinan pindaan itu mampu memantapkan lagi PKR daripada tahap sekarang.

Antara lain pindaan perlembagaan PKR itu membabitkan usul mengehadkan tempoh presiden kepada tiga penggal, memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa, memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti, menambah jumlah Naib Presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Yang lain termasuk mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR daripada 40 kepada 35 tahun.

Di pihak Umno pula, pindaan perlembagaannya akan dimuktamadkan pada perhimpunan agung parti yang dijadualkan pada Oktober depan.

Pindaan antara lain membabitkan rombakan sistem pemilihan jawatan dan kuota pencalunan.

Ketika perhimpunan agung lepas, para perwakilan begitu hangat dan bersemangat membahaskan isu berkenaan kerana berpendapat sistem sedia ada menuntut pembaharuan dan perubahan.

Ia sejajar dengan anjakan perubahan dan pembaharuan yang dibawa oleh Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pindaan yang bakal dibuat termasuk menyentuh sistem kuota pencalonan bagi barisan Majlis Tertinggi (MT) dan hak mengundi.

Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan UMNO sudah bermesyuarat beberapa kali bagi memperincikan pindaan berkenaan.

Ketika ini, kelayakan bertanding jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 191 bahagian UMNO, Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli MT (lima peratus).

Dalam konteks sistem kuota, penghapusannya akan membolehkan sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka layak, boleh menawarkan diri di semua peringkat.

Langkah ini dilihat mampu menjadikan Umno lebih telus, bebas serta memberi peluang kepada semua orang untuk menawar diri dan mendapat tempat jika ada sokongan daripada ahli.

Lebih penting lagi, semua lebih 20,400 cawangan UMNO di seluruh negara diberi peluang mengemukakan pandangan dan maklum balas berhubung draf pindaan perlembagaan itu.

Ini satu lagi pendekatan Umno untuk memastikan agar parti sentiasa dekat di hati rakyat.

Perhimpunan Agung Umno 2009 akan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober depan.

Natijahnya, pindaan perlembagaan yang dibuat oleh PKR dan Umno ini menjurus kepada matlamat untuk memenangi hati rakyat.

Sememangnya, setiap parti politik yang berhasrat senantiasa releven perlu mengambil kira citarasa dan kehendak masyarakat umum dalam membuat pindaan.

Parti tidak boleh menyisihkan diri daripada perkembangan semasa, termasuk yang berlaku di sekeliling kita setiap masa.

Bagaimanapun, akhirnya kejayaan sebuah parti tidak bergantung semata-mata kepada pindaan perlembagaan.

Dasar parti dalam usaha ingin membangun negara dan rakyat, pendekatan pemimpin-pemimpin parti menangani sebarang pemasalahan atau isu,penonjolan pemimpin-pemimpin yang ada pengikut peribadi, keyakinan rakyat ke atas kepimpinan akan menjadi antara faktor penting menentukan pengaruh parti di kalangan majoriti rakyat.
Parti kena dijadikan organisasi yang popular dan diminati oleh semua lapisan masyarakat.

No comments: