Translate

Tuesday, July 28, 2009

SEKETIKA BERSEMBANG DENGAN TAN SRI ABDUL TAIB MAHMUD



AHAD lepas, saya berkesempatan makan tengah hari dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Kuching, bersama-sama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Puan Sri.

Sambil makan, kami bercerita dan bersembang-sembang mengenai pelbagai hal, daripada soal politik dan pembangunan, hinggalah kepada masalah dan kisah masyarakat.

Sebagai seorang tokoh besar dan "veteran politican", cerita Tan Sri Abdul Taib amat menarik dan bermakna, terutama tentang bagaimana beliau mentadbir negeri yang begitu luas serta mengurus rakyat yang begitu banyak kaum dengan pelbagai budaya, adat resam dan kepercayaan.

Saya mendengar penuh minat ceritanya. Politik pembangunan yang menjadi perjuangannya nyata merupakan faktor kejayaan utama sehingga membolehkan beliau kekal sebagai pemimpin paling lama dalam sistem pemerintahan yang berasaskan demokrasi.

Tan Sri Abdul Taib bukan saja menjadi tokoh besar yang menjadi kebanggaan Sarawak dan Sabah (dua negeri di Malaysia Timur), tetapi juga merupakan satu-satunya pemimpin yang masih berkhidmat dan cergas memimpin sedangkan ramai pemimpin seangkatan dengannya sudah bersara, sama ada dalam politik mahu pun kerajaan.
Saya mengamati prinsipnya.

Nyata Tan Sri Abdul Taib seorang pemimpin yang tegas. Ketokohannya memang tiada bandingan, komitmennya jelas begitu tinggi. Sarawak beruntung mempunyai pemimpin berkaliber sepertinya.

Dari pengamatan saya, beliau merupakan seorang "leader" yang "cool" dan lembut ketika bercakap tapi setiap percakapannya itu amat berkesan.

Secara peribadi, saya dapat menyelami pendirian politiknya yang tidak suka berkonfrantasi, termasuk dengan Kuala Lumpur dalam apa-apa hal sekalipun. Dia menyelesaikan setiap urusan atau masalah politik menerusi pendekatan musyawarah.

Lantaran itu, beliau membayangkan keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah besar untuk mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang.

Saya melihat Tan Sri Abdul Taib mempunyai karisma kepemimpinan tersendiri yang tidak ramai orang memilikinya. Caranya bercakap, layanannya serta budi bahasa dan tutur kata tidak pernah berubah.

Saya kenal beliau secara peribadi dan saya masih ingat, ketika dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah dahulu, Tan Sri Abdul Taib adalah antara pemimpin terawal yang saya kunjungi.

Ketika itu, saya nyatakan kepadanya hasrat untuk berkongsi pengalaman bagaimana memajukan negeri Sabah dan Sarawak.

Tan Sri Abdul Taib sudah lebih 20 tahun memimpin negeri Negeri Bumi Kenyalang. Kestabilan politik yang dibawanya membolehkan agenda pembangunan dilaksana dengan berkesan.

Hari ini, Bandaraya Kuching yang indah dan cantik, bersih dan tersusun (terbahagi kepada dua, iaitu Utara dan Selatan) telah mencapai kemajuan pesat.

Sepanjang berada di Kuching untuk menghadiri program rasmi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, iaitu promosi kraf, di mana saya menjadi pengerusinya, saya menyaksikan kemajuan ketara berbanding beberapa tahun lalu.

Terbaru, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berharga RM300 juta menjadi mercu tanda kemajuan Sarawak dan kebanggaan rakyatnya.

Perbualan kami begitu rancak. Dari satu topik ke topik lain. Cerita panjang. Tanpa disedari, jam sudah menunjukkan hampir 3 petang. Ketika saya dan Tan Sri Pandikar serta Puan Sri berangkat meninggalkan kediamannya, Tan Sri Abdul Taib menghadiahkan kami CD kompilasi lagu-lagu allahyarham P Ramlee di mana beliau merupakan peminat penyanyi dan pelakon tersebut.

Sembang seketika bersama Tan Sri Abdul Taib memberi saya banyak pengalaman berharga. Saya rasa beruntung kerana kesempatan berbual bicara dengannya, dan tidak rasa rugi biarpun terlepas penerbangan balik ke Kota Kinabalu pada jam 3.30 petang itu.

Saya kemudian mengambil penerbangan Air Asia pada malamnya dan sampai di Kota Kinabalu menjelang 12 tengah malam hari yang sama.

No comments: