Translate

Sunday, July 5, 2009

EKUINAS: LANGKAH BIJAK, PENDEKATAN PRAGMATIK





SETELAH kira-kira seminggu penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) diumumkan, pelbagai reaksi, komen dan pandangan kedengaran daripada pelbagai pihak -- pemimpin politik, masyarakat peniaga Bumiputera dan badan bukan kerajaan (NGO).

Umumnya mereka memuji langkah yang diambil kerajaan itu dan menyifatkannya sebagai pendekatan pragmatik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna dan efektif dalam bidang ekonomi.

Ekuinas juga dianggap sebagai antara pendekatan baru yang diperkenalkan kerajaan sebagai kesinambungan kepada dasar liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib di mana dasar liberalisasi itu turut mendapat pujian daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Daripada reaksi-reaksi tersebut dapat dirumuskan harapan tinggi masyarakat agar Ekuinas dapat membawa perubahan dan mengangkat martabat rakyat, khususnya dari kalangan Bumiputera yang selama ini dikatakan terlalu bergantung kepada "tongkat kerajaan".

Di sebalik reaksi tersebut tersimpan mesej kepada Bumiputera agar memanfaatkan kemudahan yang tersedia menerusi Ekuinas, iaitu sebuah institusi pelaburan baru dengan modal permulaan RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

Ini sejajar dengan fungsinya sebagai satu instrumen untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera, iaitu fungsi yang dikatakan gagal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) sehingga menyebabkan ia tidak berganjak daripada paras 19 peratus selama 19 tahun.

Ketika mengumumkan penubuhan Ekuinas itu, Perdana Menteri menyatakan bahawa ia adalah dana ekuiti swasta yang akan menumpukan pelaburan di dalam sektor-sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi – pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.

Ia dilaksanakan kerana berdasarkan fakta, sehingga kini jumlah penguasaan ekuiti Bumiputera hanya sekitar 19.4 peratus, iaitu masih jauh ketinggalan berbanding sasaran awal sebanyak 30 peratus.

Menyedari hakikat itu, maka kerajaan menggantikan FIC dengan satu instrumen baru, iaitu Ekuinas yang akan memberi tumpuan untuk meningkatkan pelaburan syarikat Bumiputera yang berpotensi.

Melihat kepada matlamat tersebut, adalah perlu bagi masyarakat peniaga Bumiputera khususnya memanfaatkan dengan sebaik mungkin peluang yang tersedia agar tidak terus ketinggalan dalam persaingan dengan bukan Bumiputera.

Selagi masyarakat Bumiputera terus berpeluk tubuh menunggu bantuan kerajaan semata-mata, maka selagi itulah mereka akan ketinggalan di belakang, apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan kini menuntut semua orang bertindak pantas dan cepat.

Sememangnya banyak sektor berpotensi diterokai oleh Bumiputera, kini proses transformasi itu terletak pada bahu mereka sendiri lantaran kemudahan-kemudahan telah pun disediakan. Masyarakat Bumiputera perlu ke hadapan, membangun bersama bangsa lain.

Oleh kerana Bumiputera sudah agak ketinggalan dalam persaingan sebelum ini, maka adalah perlu langkah mereka dipercepatkan supaya dapat bergerak dan mengejar bangsa lain.

Perlu diakui bahawa tahap kompetitif kini sudah berlainan berbanding dahulu, terutama daripada aspek modal, kemahiran dan pengetahuan. Begitu juga pentas persaingan telah berubah di arena global yang kini berdepan pula dengan krisis ekonomi sejagat.

Yang penting bagi masyarakat Bumiputera kini adalah mengubah "mind-set". Kalau dahulu sektor yang diusahakan mungkin dalam bidang-bidang kecil saja, tetapi kini seharusnya diperluaskan dalam lapangan lebih besar pula.

Jumlah usahawan Bumiputera yang berjaya masih sedikit bilangannya, justeru sudah tiba masanya usaha ke arah itu diperhebatkan lagi seiring matlamat mencapai Wawasan 2020.

No comments: