Translate

Wednesday, July 15, 2009

IKTIBAR DI SEBALIK KEPUTUSAN MANIK URAI



KEPUTUSAN pilihan raya kecil kawasan Manik Urai menyaksikan Pas mengekalkannya. Manik Urai melerai banyak persoalan, tetapi pada masa sama Manik Urai turut merungkai pelbagai teka-teki.

Setelah keputusan yang memihak kepada pembangkang (dengan majoriti tipis) diketahui, serentak itu macam-macam persepsi dibuat terhadap masa depan politik kepartian, survival terhadap perjuangan ideologi dan ramalan masa depan, dalam konteks sistem demokrasi berparlimen yang menjadi tonggak pemerintahan negara.

Pelbagai segmen masyarakat, memberikan bermacam pendapat, pandangan dan rumusan di sebalik keputusan pilihan raya kecil itu.

Mereka memberikan pelbagai teori dan anologi, malah ada yang berani membuat andaian drastik bahawa angin perubahan sudah mulai bertiup.

Dari sudut politik, keputusan itu tentunya suatu tamparan buat Pas yang pada awalnya yakin mempertahankan kawasan berkenaan dengan majoriti selesa sehingga 2,000 undi mengikut bancian awal.

Bagaimanapun, mereka pasti ada hujah tersendiri sebagai reaksi pada keputusan itu. Di sebalik berpesta gembira meraikan kemenangan itu, mereka tentu saja tercari-cari apakah sebab dan punca yang membawa kepada kemerosotan undi dan majoriti yang diperolehi. Di sebuah negeri yang dianggap sebagai kubu, bagaimana mungkin Pas hampir kalah?

Sementara pembangkang dengan hujah mereka, demikian juga Umno dan Barisan Nasional (BN). Sudah tentu ada analisis tersendiri untuk mengkaji keputusan yang hampir terduga itu. Realitinya, kemenangan moral kepada Umno/BN.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika memberi reaksinya menyatakan bahawa BN tidak perlu berasa kecewa dengan keputusan pilihan raya kecil Manik Urai itu kerana walaupun tewas, namun ia jelas menunjukkan sudah ada peningkatan sokongan yang jelas terhadap BN.

"Saya percaya ini petanda bahawa rakyat sudah faham menilai kepimpinan Perdana Menteri dan langkah-langkah yang diambil untuk membawa pembaharuan dalam negara," katanya, sambil menyatakan bahawa bedah siasat akan dilakukan untuk dijadikan iktibar bagi perkara-perkara yang perlu BN perbaiki.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, 50, menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dengan majoriti tipis 65 undi. Mohd Fauzi memperoleh 5,348 undi, manakala Tuan Aziz mendapat 5,283 undi.

Manik Urai mempunyai 12,293 pengundi berdaftar termasuk 25 pengundi pos. Daripada jumlah itu, seramai 10,631 atau 87 peratus pengundi keluar mengundi, iaitu jumlah peratusan tertinggi keluar mengundi dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Biarpun kemenangan Pas itu sememangnya sudah dijangka, namun jumlah majoriti yang merosot itu barangkali tidak terduga oleh kebanyakan orang. Ini kerana pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah negeri dikuasai Pas sejak sekian lama yang begitu kuat sentimen dan sudah berakar-umbi ideologi mereka, mengatasi prinsip dan dasar politik pembangunan.

Sudah tentu Pas akan memberi pelbagai alasan ke atas kekurangan majoriti yang agak besar itu. Awal-awal lagi orang kuat Nik Aziz Nik Mat, Husam Musa, melemparkan tuduhan kononnya Umno menggunakan politik wang sebagai faktor menyebabkan kemerosotan undi Pas.

Secara perbandingan, majoriti Pas merosot sebanyak 1,287 berbanding majoriti yang diperoleh penyandang sebelum ini, Allahyarham Ismail Yaacob sebanyak 1,352 pada pilihan raya umum 2008.

Ismail memenangi DUN Manik Urai sejak pilihan raya umum 1985, namun tidak bertanding pada pilihan raya umum 2004, yang menyaksikan BN menang kerusi itu dengan majoriti 53 undi melalui calonnya, Mohamed Zulkifli Omar. Ismail bagaimanapun bertanding semula kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lalu dan menewaskan Mohamed Zulkifli dengan majoriti 1,352 undi.

Manik Urai adalah satu daripada empat kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Krai. Tiga lagi kawasan DUN ialah Mengkebang, Guchil dan Dabong.

Saya berada di Manik Urai pada hari penamaan calon dan turut serta dalam beberapa siri kempen kemudiannya bersama Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Aman. Sejak awal, ramalan peluang bagi BN dan pembangkang adalah 50-50. Tetapi bermula kempen berlangsung, saya mendapati sudah ada trend perubahan di kalangan pengundi, termasuk golongan generasi muda Melayu, selain dari kalangan penyokong tradisi.

Sepanjang kempen, BN mengetengahkan isu pembangunan, sedangkan Pas dan pakatan pembangkang lebih cenderung memainkan isu agama, isu royalti minyak, selain menggunakan isu nasional seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan krisis politik di Perak.Strateji BN memberi tumpuan kepada kempen rumah ke rumah dan mempengaruhi pengundi yang dikategorikan sebagai "atas pagar" nampaknya amat berkesan.

Ada pengundi terpengaruh dan terpedaya, ada juga yang bersifat terbuka dan tidak mudah percaya. Di peti undi, mereka membuat pertimbangan sendiri. Keputusannya, jumlah undi Umno meningkat, undi Pas menurun.

Kemerosotan undi yang diperolehi Pas ini dengan sendirinya mencerminkan bahawa pengaruh Umno sudah kembali dan ia satu petanda yang baik.

Lebih penting, angin perubahan ini tentunya berkait juga dengan pendekatan serta polisi kepimpinan baru Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang baru saja melepasi 100 hari pertama pada minggu lalu, dengan membawa citra perjuangan menerusi gagasan 1Malaysia.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berpendapat Manik Urai memberi banyak hikmah untuk memantapkan parti mengharungi cabaran mendatang. Baginya, peningkatan undi diperolehi Umno adalah satu kemenangan. Umno telah berusaha sedaya mungkin, dan hasilnya majoriti Pas jatuh menjunam kepada 65 undi berbanding 1,352 undi pada tahun lalu.

Perangkaan ini dengan sendirinya manjadi manifestasi penerimaan terbuka sebahagian rakyat terhadap kerajaan dan parti pemerintah, sekali gus menangkis konotasi konon pengundi menolak politik pembangunan yang dibawa oleh BN.

No comments: