Translate

Monday, July 20, 2009

PUPUK SEMANGAT KERJA BERPASUKAN, HAYATI PRINSIP PERJUANGAN UMNO: SALLEH

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said mahu setiap ahli memupuk semangat kerja berpasukan kerana setiap ahli mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Pada masa sama, beliau mahu setiap ahli menghayati prinsip perjuangan menyertai Umno supaya parti kekal relevan, unggul dan menjadi tonggak pemerintahan.

"Setiap ahli Umno perlu bekerja sebagai satu pasukan, satu ketua atau nahkoda kerana kita semua ada peranan masing-masing. Kita bertanggungjawab membina sebuah pasukan yang mantap dan mampu mengharungi cabaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Bengkel Percambahan Minda Umno Bahagian Sepanggar di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian, Jumat Idris serta seluruh pimpinan Umno Bahagian Sepanggar. Bengkel sehari itu disertai 106 ahli Umno.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata setiap ahli Umno memahami erti perjuangan untuk parti, dan tahu membezakan antara perjuangan dan perkhidmatan.

Dengan cara ini, katanya, ia membolehkan setiap ahli melaksanakan tugas dan peranan serta mencapai matlamat berpolitik dan Umno sebagai wadah perjuangan.

"Umno bukan kementerian, jabatan dan agensi atau syarikat. Umno ada dasar dan kita mesti ada pegangan dalam perjuangan," katanya, sambil menyatakan bahawa perjuangan mestilah menjurus kepada soal agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, dalam konteks negeri Sabah, perjuangan tambahan adalah untuk rakyat dan negeri ini kerana itulah sebenarnya yang menjadi keutamaan apabila Umno diberi laluan mengembangkan sayapnya ke negeri ini pada tahun 1991.

Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud menegaskan bahawa setiap ahli parti komited kepada perjuangan kerana Umno berbeza dengan parti pembangkang.

Katanya, matlamat akhir berpolitik adalah untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya dan itulah sebenarnya Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) bagi parti politik di mana rakyat menghakimi apa yang diperjuangkan oleh parti.

"Kita mestilah menentukan bahawa penyokong tradisi tidak lari, manakala pengundi baru terus bersama kita," tegasnya, sambil mengakui banyak isu politik semasa yang boleh merubah senario politik dari semasa ke semasa.

Mengenai bengkel itu, Salleh memuji usaha yang dilakukan oleh Umno Bahagian Sepanggar dan menyifatkannya sebagai langkah proaktif ke arah menentukan halatuju dan masa depan perjuangan parti.

Katanya, program sedemikian juga membolehkan setiap ahli dan pemimpin di peringkat bahagian menyelami permasalahan dan seterusnya mengambil langkah penyelesaian.

Beliau mengakui pada umumnya Umno Bahagian Sepanggar cukup mantap, tetapi ia tidak seharusnya melalaikan kerana sejarah beberapa pilihan raya sebelum ini menunjukkan adanya sokongan pembangkang di kawasan itu.

"Kini dengan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan BN, sudah tentu mereka mempunyai penyokong tradisi dan ia perlu kita beri perhatian," katanya sebagai merujuk kawasan Parlimen Sepanggar yang sebelum ini ditandingi dan diwakili SAPP sebelum parti itu meninggalkan BN tahun lepas.

No comments: