Translate

Tuesday, July 21, 2009

UMNO BUKAN SYARIKAT

Ahad lepas, saya dijemput menutup Bengkel Percambahan Minda Umno Bahagian Sepanggar di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika Ketua Bahagian Sepanggar, Saudara Jumat Idris, menyampaikan jemputan kepada saya beberapa hari sebelum itu, saya terfikir-fikir juga apakah intipati ucapan dan mesej yang hendak disampaikan.

Tengok tajuk program saja sudah cukup berat. Bengkel percambahan minda. Terfikir oleh saya, minda berkaitan mentaliti dan persepsi. Minda bermaksud pemikiran dan fahaman. Bukan mudah untuk membentuk minda, apatah lagi untuk merubahnya.

Lantas saya mengambil keputusan untuk fokus ucapan kepada soal perjuangan Umno. Bagi saya, dengan menghayati dan memahami falsafah perjuangan, kita boleh menjadi ahli parti yang berkualiti. Ahli yang berkualiti mampu memberi sumbangan bermakna kepada parti.

Sebagai parti tonggak pemerintahan, Umno perlu ahli yang berkualiti, terutama dalam saf kepemimpinan. Saya turut membuat kajian mengenai kualiti ahli dan falsafah.

Pada petang itu, saya memulakan ucapan dengan mengingatkan ahli Umno membezakan antara perjuangan dan perkhidmatan. Perjuangan bermaksud berusaha secara ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran. Perkhidmatan pula bermakna memberi bantuan dan ia adalah tanggungjawab.

Kemudian, ahli parti menilai dan membezakan antara perjuangan tulen Umno dengan perjuangan parti pembangkang. Kerana kedua-duanya ada perbezaan. Umno teguh berakar-umbi kerana perjuangan yang mendasarinya, ideologi yang dipegang serta prinsip perkongsian yang dipraktikkan, sedangkan pakatan pembangkang berpaut pada isu dan sentimen.

Saya tegaskan bahawa dengan memahami erti perjuangan untuk parti, ia membolehkan setiap ahli melaksanakan tugas dan peranan masing-masing serta mencapai matlamat berpolitik dan menjadikan Umno sebagai wadah perjuangan.

Lanjutan dari itu, saya tekankan lagi bahawa setiap ahli perlu memahami kedudukan Umno sebagai sebuah organanisasi politik. Umno bukan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan, juga bukan sebagai syarikat. Ini kerana Umno ada dasar. Setiap ahli mesti ada prinsip dan pegangan perjuangan yang seharusnya menjurus kepada soal agama, bangsa dan negara.

Manakala dalam konteks negeri Sabah, perjuangan tambahan adalah untuk rakyat dan negeri kerana itulah sebenarnya yang menjadi keutamaan apabila Umno diberi laluan mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991. Hasil perjuangan untuk parti dapat dilihat dalam pilihan raya. Kerana pilihan raya itu adalah Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) parti politik, di mana rakyat menghakimi apa yang diperjuangkan oleh parti.

Saya juga menceritakan mengenai perbezaan antara parti dan kerajaan. Parti membuat rekomendasi kepada kerajaan, manakala kerajaan antara lain melaksanakan dasar yang dibuat oleh parti. Untuk kefahaman lebih mudah, ahli Umno "pejamkan mata" dan berfikir sejenak apa yang boleh dibuat oleh Umno jika Umno bukan parti pemerintah?

Contoh mudah, untuk memohon projek rumah PPRT misalnya, seseorang perlu berdaftar dengan E-Kasih untuk mendapatkannya daripada kerajaan. Begitu juga jika berlaku kebakaran rumah, proses mendapat bantuan kerajaan seperti "menuntut insurans" kerana pelbagai perkara perlu dilampirkan, termasuk laporan pihak berkuasa.

Mesej akhir yang saya sampaikan pada bengkel tersebut ialah amalan kerja berpasukan sebagai teras kekuatan Umno. Bagi saya, setiap ahli perlu bekerja sebagai satu pasukan dengan seorang ketua atau nahkoda. Setiap ahli mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Kerja berpasukan membolehkan sesuatu disempurnakan secara mudah dan berkesan. Seorang nahkoda menentukan arah haluan pelayaran.

Saya melihat bengkel tersebut berjaya mengilap minda, memperkasa perjuangan parti, mengangkat darjat Umno.

No comments: