Translate

Monday, August 10, 2009

BANGGA BERBAJU BATIK, LAMBANG JATIDIRI DAN SEMANGAT PATRIOTIK

SELEPAS menunaikan solat di Masjid Kampung Likas pada Jumaat lepas, saya balik ke rumah makan tengah hari dan kemudian ke pusat beli-belah terkenal 1Borneo untuk merasmikan Promosi Batik dan Tenun, anjuran Kraftangan Malaysia, pada kira-kira jam 3 petang.

Sesuai dengan majlis itu, saya memakai batik lengan panjang. Demikian juga pegawai-pegawai lelaki Kraftangan Malaysia yang menyambut ketibaan saya. Sementara pegawai dan staf wanita yang lain mengenakan baju kurung selain ada yang berkebaya.

Majlis didahului dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti tarian sambut tamu sebelum ucapan dan selingan persembahan kebudayaan serta peragaan pakaian berasaskan batik dan tenunan.

Ketika berucap, saya menyatakan komitmen Kraftangan Malaysia di mana saya menjadi pengerusinya untuk terus memajukan industri batik dan tenunan tempatan, seterusnya berusaha mengangkatnya hingga ke persada global menerusi promosi di luar negara.

Saya juga berasa bangga dan kagum dengan sokongan pengusaha batik dan tenunan tempatan menjayakan promosi itu yang kali pertama diadakan di Sabah.

Dari atas pentas tempat saya berucap, terdapat gerai-gerai pengusaha batik dan tenunan, bukan saja dari Sabah tetapi juga dari beberapa negeri di Semenanjung, yang mengambil bahagian dalam promosi berkenaan yang berlangsung selama lima hari.

Sebahagian besar pegawai kerajaan dan tetamu yang hadir pada majlis petang itu juga berpakaian batik, termasuk mereka dari kalangan masyarakat Tionghua dan Kadazandusun. Ini menunjukkan batik merupakan pakaian untuk semua kelompok masyarakat.

Secara peribadi, saya sememangnya senang dan selesa setiap kali memakai batik. Malahan, dalam koleksi pakaian saya, memang terdapat banyak baju batik pelbagai corak dan jenis kain, dengan lengan pendek dan panjang.

Selain diperolehi dalam negara, sebahagiannya juga saya beli ketika berkunjung ke luar negara seperti Indonesia yang memang terkenal dan popular dengan batiknya. Dengan stailnya yang tersendiri, batik sesuai dipakai oleh semua rakyat negara ini tanpa kekok.

Malahan sekarang ini, sudah ada macam-macam fesyen batik diperkenalkan di pasaran, untuk memenuhi citarasa dan keperluan masyarakat. Batik lengan pendek misalnya, boleh dipakai semasa santai dan majlis tidak formal. Pemakainya nampak `smart'.

Seharusnya, masyarakat kena berasa seronok dan bangga memakai batik. Jangan kita asyik pakai `kot' dan tali leher dengan kameja saja. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berasa bangga setiap kali memakai baju batik kerana ia lambang jatidiri dan semangat patriotik.

Selaras usaha menggalakkan pemakaian batik, kerajaan telahpun mewajibkan semua penjawat awam untuk memakai batik pada hari Khamis. Pihak Kraftangan Malaysia akan menyokong dan membantu usaha menjayakan program berkenaan.

Mengambil kira komitmen ini jugalah, maka saya menyarankan supaya gedung-gedung perniagaan membantu mempromosikan batik dan juga kraftangan tempatan, dengan menyediakan sudut khas ataupun insentif lain kepada pengusaha.

Satu daripada usaha yang boleh dibuat gedung-gedung perniagaan ini ialah menawarkan diskaun untuk sewaan ruang jualan kepada pengusaha batik dan kraftangan.

Ketika saya mengadakan lawatan ke Indonesia baru-baru ini, saya dapati pihak swasta di sana termasuk gedung perniagaan di Sarena Tamrin, Blok M dan Dewan Pameran Industri Kecil dan Sederhana, Semanggi, Jakarta, ada memperuntukkan ruang jualan khas untuk produk kraf tempatan mereka. Ini menunjukkan usaha mereka sama-sama membantu industri dalam negara sendiri.

Penglibatan pihak swasta sangat penting untuk menentukan kejayaan usaha promosi yang dilaksanakan kerajaan. Semua "player" dalam sektor berkaitan, termasuk pemandu teksi dan pemandu pelancong memainkan peranan penting.

Pemandu teksi dan pemandu pelancong misalnya boleh membawa pelancong ke tempat jualan produk tempatan, termasuklah batik dan kraftangan.

Di Kota Kinabalu sendiri terdapat pasar kraftangan yang begitu popular dengan pelbagai kraftangan dari negara jiran sehinggakan ia menjadi tumpuan setiap pelancong yang datang. Biarpun pasar kraftangan itu turut menjual pelbagai produk tempatan, tetapi namanya sudah sinonim dengan kraftangan negara jiran, justeru keadaan perlu diperbetulkan.

No comments: