Translate

Sunday, August 2, 2009

BERSATU MENYUBUR CITRA PERJUANGAN

TIADA penyediaan karpet merah, bunga manggar dan paluan kompang. Itulah pembaharuan suasana pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian saya, Kota Belud pada Sabtu lepas.

Sejurus tiba kira-kira jam 9.00 pagi, saya terus memasuki dewan sambil bersalaman dengan beberapa orang yang menunggu di pintu masuk.

Seperti biasa, mesyuarat dimulakan dengan doa dan nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Air dan parti sebelum saya menyampaikan ucapan perasmian. Lebih 600 perwakilan menghadiri mesyuarat tersebut selain pemerhati dan penyokong parti.

Selesai ucapan perasmian, mesyuarat ditangguhkan sementara untuk rehat dan jamuan ringan. Sekali lagi, pembaharuan dibuat dengan tidak menyediakan ruang minum khas VIP, sebaliknya semua orang minum di ruang yang sama, makan makanan yang sama, sambil berbual mesra antara satu sama lain.

Pembaharuan itu dibuat sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas mengambil alih teraju pemerintahan negara, agar segala proses protokol dalam satu-satu acara itu dikurangkan, kerana yang penting dan perlu diutamakan ialah pemimpin mendengar serta menyelesaikan masalah rakyat.

Saya mengambil tajuk "BERSATU MENYUBUR CITRA PERJUANGAN" sebagai tema ucapan pada pagi itu, dengan menghuraikan senario politik dan cabaran perjuangan yang harus diharungi bersama.

Saya memulakan ucapan dengan menyentuh soal pindaan perlembagaan Umno yang merupakan suatu perubahan drastik daripada amalan tradisi yang perlu difahami oleh setiap ahli parti.

Saya jelaskan kepada perwakilan bahawa Umno membuat pindaan itu kerana parti bersifat terbuka dan senantiasa mendengar suara ahli-ahli di peringkat akar-umbi.
Kemudian saya menghuraikan kebaikan kerja berpasukan dan mengetepikan sengketa peribadi.

Dalam hal ini, saya tegaskan bahawa setiap ahli parti perlu mempraktikkan semangat kerja berpasukan. Kerja berpasukan bermaksud kita bertindak bersama, melangkah serentak dan bergerak seiringan.

Paling utama dalam prinsip kerja berpasukan, kita kena memberi sokongan pada seorang ketua atau nahkoda yang mengemudi perjuangan, tidak kiralah sama ada pada peringkat cawangan dan bahagian mahupun negeri dan Pusat.

Kerjasama juga penting diperluaskan dalam konteks Barisan Nasional kerana ia merangkumkan gagasan lebih besar.

Intipati "point" saya dalam hal ini ialah hakikat bahawa satu undi pun penting. Sebagai iktibar, saya mengajak ahli Umno mengimbas keputusan pilihan raya kecil di DUN Manik Urai, di mana jumlah undi majoriti kecil yang diperolehi pembangkang menunjukkan betapa tingginya nilai setiap undi itu.

Gagasan pimpinan baru yang dibawakan oleh Datuk Seri Najib juga saya "highlight" dalam ucapan itu dan saya menyifatkannya sebagai suntikan semangat buat ahli-ahli Umno.

Slogan yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib "Berubah atau Rebah" membuktikan harapan pucuk pimpinan untuk membawa pembaharuan kepada parti demi survival masa depan.

Demikian juga slogan "1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang diketengahkan Perdana Menteri, merupakan suatu gagasan yang memberi keyakinan baru kepada rakyat, yang pastinya menjadi teras dalam apa jua tindakan yang dilaksanakan.

Saya nyatakan secara optimis kepada perwakilan bahawa segala usaha dan pendekatan proaktif kepimpinan Perdana Menteri ini, membawa dimensi baru buat rakyat dan negara seluruhnya.

Tidak lupa saya menyentuh mengenai citra perjuangan Umno Sabah dan prinsip-prinsip baru yang perlu diterapkan oleh setiap ahli.

Di sinilah saya mencadangkan lima prinsip tambahan yang perlu dijunjung oleh setiap ahli parti.

Lima prinsip tambahan yang saya rumuskan sebagai 5KB itu ialah Kesetiaan Berjuang (bermaksud mengikut dasar parti), Kejujuran Berbakti (bermaksud tidak mengharapkan balasan), Ketelusan Berkhidmat (bermaksud mengutamakan kepentingan umum), Keikhlasan Bekerja bermaksud tidak mementingkan diri sendiri) dan Kesatuan Bertindak (bermaksud satu tanggungjawab secara kolektif.

Saya nyatakan kepada mereka bahawa prinsip 5KB ini adalah sebagai tambahan kepada slogan yang dilaungkan oleh Umno selama ini iaitu "Bersatu Bersetia Berkhidmat" yang sememangnya akan senantisa menjadi pegangan pemimpin di bahagian ini, dalam mengayuh perjuangan parti.

Selepas berhenti rehat untuk jamuan ringan, mesyuarat disambung dan perwakilan memilih wakil tujuh dan membahaskan mengenai usul pindaan perlembagaan, manakala ucapan penggulungan dibuat oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Belud.

Keseluruhannya, mesyuarat pada hari itu berjalan lancar.

No comments: