Translate

Tuesday, August 4, 2009

GALAK GENERASI MUDA SERTAI SEKTOR PERTANIAN: SALLEH

BEAUFORT: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyarankan agar langkah proaktif diambil bagi menggalakkan generasi muda berumur 40 tahun ke bawah dilibatkan secara aktif dalam sektor pertanian.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan peranan generasi muda dalam negara adalah amat penting dalam menjayakan pembangunan pertanian negara secara mampan dan berkesan.

"Dengan menggalakkan penglibatan secara langsung generasi muda dalam sektor ini, kita yakin ia mampu menyumbang ke arah menjana pertumbuhan ekonomi," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PPK Beaufort di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kehormat PPK Beaufort, Mohd Nazri Abdullah dan Pengerusi PPK Beaufort, Asmuni Jusrin.

Salleh sehubungan itu mengalu-alukan pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, baru-baru ini untuk melantik empat lagi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berumur 40 tahun ke bawah untuk memberi peluang kepada generasi muda melibatkan diri secara aktif dalam pertanian.

Bagaimanapun, kata Mohd Noh, mereka tidak akan dibayar elaun mesyuarat seperti yang diperoleh tujuh Ahli Lembaga Pengarah lain yang dilantik oleh PPK.

Salleh yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah yakin pelantikan tersebut dapat memberi pendedahan kepada generasi muda masa kini.

Beliau juga mengalu-alukan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian di setiap kawasan Parlimen seluruh negara.

Beliau berkata pelantikan wakil PPK dalam majlis berkenaan sekaligus membolehkan PPK yang dianggotai penternak, peladang dan nelayan terbabit secara langsung dalam penyelarasan projek pertanian di setiap kawasan Parlimen.

"PPK merupakan organisasi yang mengetahui dan memahami keadaan setempat di setiap kawasan, justeru adalah penting ia dilibatkan dalam agenda pembangunan pertanian negara," katanya.

Salleh berkata dengan menganggotai majlis berkenaan, wakil PPK dapat berbincang dan berinteraksi secara terus dengan para pegawai pertanian yang bertanggungjawab untuk kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Salleh meminta rakyat negeri ini supaya melipatgandakan usaha mmajukan kawasan tanah terbiar dengan kegiatan pertanian atau perladangan.

"Jangan biarkan tanah terbiar. Usahakan dengan kegiatan menguntungkan, apatah lagi dalam keadaan suasana ekonomi global yang tidak menentu," katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif bagi memajukan sektor pertanian.

Beliau berkata dengan mengusahakan kawasan tanah, ia sudah tentu dapat menampung keperluan sendiri, sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan kepada import bahan makanan.

"Ketika ini, kita berhadapan dengan cabaran ekonomi global yang membawa kesan rantaian apabila harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat.

"Fenomena ini mengakibatkan krisis makanan global yang turut memberikan impak negatif kepada negara kita, justeru PPK perlulah memainkan peranan secara proaktif," katanya.

No comments: