Translate

Friday, August 7, 2009

GEDUNG PERNIAGAAN PERLU PROMOSI BATIK. KRAFTANGAN: SALLEH

KOTA KINABALU: Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta gedung-gedung perniagaan membantu mempromosikan batik dan kraftangan tempatan sebagai usaha memajukan industri berkenaan di negara ini.

Katanya, gedung membeli-belah boleh mengambil peranan secara proaktif sama ada dengan menyediakan sudut atau ruang pameran khas mahupun insentif lain kepada pengusaha tempatan.

"Gedung membeli-belah boleh menawarkan diskaun untuk sewaan ruang jualan semasa promosi diadakan di mana usahawan akan dikenal pasti oleh Kraftangan Malaysia.

"Kita mengalu-alukan usaha dan penglibatan pihak swasta seperti gedung perniagaan dalam usaha mempromosikan batik dan kraftangan tempatan," katanya berucap merasmikan Promosi Batik dan Tenun di pusat beli-belah 1Borneo di sini petang ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata industri batik dan kraftanga mempunyai potensi cerah untuk berkembang da;ln Krftangan Malaysia akan terus membangunkan industri ini.

Katanya, nilai jualan di peringkat domestik dan antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini saja berjumlah RM30.98 juta, dengan seramai 1,502 penyertaan usahawan melalui 195 aktiviti promosi.

Beliau berkata jualan kraf bagi tempoh sama di Sabah adalah RM848,801 melalui 28 aktiviti promosi dan penyertaan seramai 191 usahawan tempatan.

Salleh juga berkata bahawa pihaknya akan terus berusaha membangunkan usahawan melalui projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di mana ketika ini terdapat 67 projek SDSI sedang dibangunkan di seluruh negara, termasuk 12 di Sabah.

"Jualan di bawah projek SDSI bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini ialah RM10.7 juta, termasuk RM2.4 juta di Sabah," katanya.

No comments: