Translate

Wednesday, August 26, 2009

KEMERDEKAAN: MENGHARGAI PEJUANG MERINTIS MASA DEPAN

Bersama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia (kiri) dan Serin Sudah (kanan) bergambar di Kg Taun Gusi Kota Belud sementara menunggu waktu berbuka puasa.

SETELAH beberapa hari demam, Selasa lepas barulah saya berkesempatan ke luar rumah. Petangnya berbuka puasa bersama ahli Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud, kemudian tarawih di sebuah perkampungan tidak jauh dari situ.

Demikianlah rutin saya setiap kali Ramadan menjelang. Begitu banyak undangan majlis berbuka puasa di kawasan selain majlis-majlis rasmi bersama kenamaan yang perlu dihadiri.

Ramadan kali ini lebih bermakna lagi kerana jatuhnya dalam suasana bulan kemerdekaan yang penuh makna dan pengertian. Ramadan menguji kesabaran dan ketaqwaan, manakala kemerdekaan menginsafkan tentang erti perjuangan.

Begitupun, suasana sambutan kemerdekaan yang bermula awal bulan ini tidak begitu dirasakan kemeriahannya.

Malahan kini, "mood" sambutan di kalangan masyarakat tidaklah semeriah tahun-tahun sebelum ini biarpun sambutan kemuncak 31 Ogos akan menjelang beberapa hari lagi.

Kelihatan jalan-jalan utama dan bangunan kerajaan sudah dihias dengan Jalur Gemilang, namun masih ada juga premis perniagaan dan bangunan persendirian yang tidak mengambil inisiatif serupa. Demikian juga rumah kediaman dan kenderaan-kenderaan di jalan raya, bilangan yang memasang bendera negara tidak sebanyak berbanding dahulu.

Biasanya sebelum ini, premis perniagaan dan bangunan serta pemilik kenderaan bersaing sesama sendiri, berlumba-lumba memasang bendera terbesar atau terpanjang, menghias yang tercantik, serta pelbagai idea kreatif untuk menarik perhatian.

Apakah faktor yang menyebabkan hal ini terjadi? Ada yang mengaitkannya dengan soal kegawatan ekonomi. Ramai dikatakan mengawal perbelanjaan bagi menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Di sebalik `mood' yang kelihatan suram ini, persoalan timbul apakah semangat patriotisme dan jatidiri di kalangan rakyat, terutama generasi muda, telah mulai luntur?

Pastinya, pengibaran bendera semata-mata tidak melambangkan keperibadian seseorang. Demikian juga nyanyian lagu-lagu patriotik tidak semestinya dapat mewakili suara hati dan semangat juang para perwira negara.

Bagi saya, sambutan kemerdekaan harus diterjemahkan ke arah usaha pembangunan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani. Setiap rakyat perlu mensyukuri kemerdekaan yang dikecapi, bergerak seiring membangun bersama.

Rakyat harus bersyukur kerana setelah 52 tahun merdeka, Malaysia kini telah mengecapi kemajuan hasil daripada perjuangan tokoh masa silam. Justeru pada detik ulangtahun kemerdekaan ini, setiap warganegara Malaysia sewajarnya bangga kerana akhirnya kita tidak lagi bertuankan penjajah asing.

Kini, kitalah sendiri membentuk dan menentukan masa depan mengikut acuan yang dikehendaki.

Tidak syak lagi bahawa sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudian disusuli pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, negara kita telah menghadapi banyak rintangan politik, ekonomi dan sosial.

Namun segala rintangan dan cabaran itu berjaya diharungi hasil perpaduan, muafakat dan semangat patriotisme setiap warga, yang akhirnya berjaya meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju.

Kepayahan kita mencapai kemerdekaan harus menjadi iktibar bersama dalam menempuhi cabaran masa depan. Segala yang dinikmati hari ini perlulah dipertahankan supaya tidak lenyap dan lesap begitu saja.

Kunci utama mempertahankan kemakmuran ini hanyalah menerusi jalinan muhibah dan ikatan perpaduan yang jitu, apatah lagi dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di kalangan rakyat negara ini.

Kita sewajarnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melindungi dan memelihara keamanan, kemajuan serta kemakmuran yang dinikmati selama ini untuk faedah masa depan anak-anak kita.

Hakikatnya, kemerdekaan yang dikecapi ini telah membahagiakan ramai orang. Selain telah menukar wajah dan dimensi landskap pembangunan negara, rata-rata kehidupan rakyat masakini sudah berubah ke tahap yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Sementara kita mengenang jasa para pemimpin terdahulu yang telah mempertaruhkan jiwa raga mereka mencapai kemerdekaan, marilah kita sama-sama menggalas tanggungjawab yang terpikul di bahu masing-masing dengan penuh dedikasi bagi merintis masa depan dan menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini.

No comments: