Translate

Friday, August 14, 2009

KENAKAN TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK HINA ISLAM: SALLEH

KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak, termasuk orang politik (poltican) yang mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam.

Beliau berkata perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama Islam dianggap menghasut dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, justeru boleh dikenakan mengikut Akta Hasutan.

Katanya, setiap orang seharusnya peka dengan sensitiviti agama di negara ini dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan antara satu sama lain.

"Setiap orang tertakluk kepada batas undang-undang yang perlu dipatuhi biarpun negara kita mengamalkan prinsip kebebasan," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Kota Belud di Dewan Tun Said di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengulas kenyataan menghina agama Islam oleh pihak tertentu sebagai reaksi terhadap pandangan penceramah bebas, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, berhubung isu anak luar nikah.

Selain kritikan balas oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang lebih menjurus kepada serangan peribadi, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila wujudnya reaksi melampau dalam laman blog sehingga ke tahap menghina agama Islam.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO dan pembangkang Islam mendesak supaya pihak berkenaan dikenakan tindakan segera kerana ia boleh menimbulkan situasi tegang di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata pihak berkuasa perlu menyiasat segera perkara itu dan seterusnya mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan, kerajaan kena bertindak supaya tidak ada lagi pihak yang berani memperlekehkan agama Islam," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Salleh meminta Usia memainkan peranan secara proaktif dalam program dakwah termasuk mendekati golongan remaja dengan pelbagai pendekatan yang bersesuaian.

"Dalam agenda pembangunan dan penyatuan ummah, kita perlu tampil membimbing golongan remaja ini kerana mereka merupakan bakal pemimpin masa depan," katanya.

Beliau mengakui banyak cabaran perlu dihadapi oleh Usia dalam usaha pembangunan dakwah yang menjadi teras penubuhannya kira-kira 40 tahun yang lalu.

Salleh bagaimanapun memuji kejayaan Usia yang kini telah mempelbagaikan kegiatannya merangkumi ekonomi, termasuk pembangunan hartanah dan perladangan.

Usia kini diterajui oleh bekas Yang Dipertua Negeri Sabah dan bekas Ketua Menteri, Tun Sakaran Dandai. Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Usia Kota Belud, Lamsil Hamidsor.

No comments: